Pada 10 Disember lalu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM 2008) dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 (SPK 2008) di Parlimen negara itu dalam usaha beliau bagi mengotakan janjinya untuk membawa pembaharuan terhadap integriti bidang kehakiman dan agensi membenteras rasuah di negara berkenaan.
Pembentangan kedua-dua rang undang-undang tersebut adalah merupakan sebahagian daripada beberapa inisiatif dan komitmen yang akan dilaksanakan oleh Datuk Seri Abdullah sebelum beliau menyerahkan tugas kepada penggantinya selepas berakhirnya tempoh penggal Presiden UMNO pada Mac 2009 nanti. Inisiatif-inisiatif lain yang akan dipertekankan membabitkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan memperluas jaringan keselamatan sosial dan juga pembaharuan komitmen kerajaan terhadap usaha bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang bersatu padu dan harmoni.
Rang Undang-Undang SPRM 2008 itu secara umumnya bermatlamat untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta melalui penubuhan sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab. Intipati penting yang terkandung dalam rang undang-undang berkenaan ialah jaminan perlindungan penuh kepada pemberi maklumat rasuah.
Seksyen 65 rang undang-undang tersebut memperuntukkan bahawa sebarang aduan yang diterima oleh Suruhanjaya berhubung kejadian rasuah, maklumat mengenainya serta identiti pemberi maklumat hendaklah menjadi rahsia antara pegawai yang menerima aduan dan pemberi maklumat berkenaan. Seksyen itu juga memperuntukkan bahawa segala maklumat yang terkandung dalam aduan yang dibuat, identiti pemberi maklumat dan hal-hal lain yang berkaitan dengan aduan tidak boleh didedahkan atau diperintahkan supaya didedah dalam prosiding mahkamah, tribunal atau kepada pihak berkuasa lain.
Rang undang-undang tersebut turut memperuntukkan bahawa dalam keadaan sekiranya sebarang keterangan dalam prosiding sivil atau jenayah yang mampu menzahirkan identiti pemberi maklumat, mahkamah perlu menyembunyi, memadam atau menghapus setakat yang perlu bagi melindungi identiti pemberi maklumat daripada diketahui umum. Peruntukan ini bagaimanapun tidak terpakai kepada pemberi maklumat palsu yang boleh didakwa dan disabitkan kesalahan serta dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM 100,000.
Peruntukan-peruntukan lain yang turut terkandung dalam SPRM 2008 itu termasuklah jaminan kekebalan daripada tindakan perundangan terhadap kerajaan, penjawat awam, anggota Lembaga Penasihat atau Jawatankuasa Khas SPRM dan wakil sah kerajaan atau Suruhanjaya dan juga perlucutan hak atas harta yang disita yang terbukti diperolehi daripada hasil rasuah.
Rang undang-undang ini apabila diluluskan kelak, akan memansuhkan Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Rang Undang-Undang SPK 2008 pula digubal bertujuan untuk mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman di Malaysia. Di bawah rang undang-undang tersebut, Perdana Menteri mestilah mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman dengan mengambil kira keperluan mempertahankannya, di samping memastikan badan berkenaan mempunyai sokongan yang perlu bagi membolehkannya melaksanakan fungi serta peranannya.
Sekiranya diluluskan, rang undang-undang tersebut akan membawa kepada penubuhan SPK yang berfungsi memilih hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri.
Datuk Seri Abdullah ketika mengulas pembentangan kedua-dua rang undang-undang berkenaan menyatakan bahawa beliau percaya rang undang-undang tersebut bukan sahaja akan dapat meningkatkan keyakinan tetapi juga keselesaan rakyat dan pelabur terhadap kedua-dua institusi berkenaan. Kedua-dua rang undang-undang itu juga, menurut beliau, akan membawa kebaikan kepada satu tahap iaitu peningkatan tahap keyakinan rakyat dan pengurangan persepsi negatif rakyat terhadap kedua-dua institusi berkaitan.
Di Malaysia, persepsi masyarakat terhadap pihak penguatkuasa undang-undang, terutama berkaitan kesalahan rasuah dikatakan telah banyak menjejaskan imej Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kerajaan Barisan Nasional yang ada. Di pihak pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, isu kelemahan kerajaan dalam membenteras gajala rasuah telah dijadikan modal politik mereka seperti yang ketara berlaku semasa pilihan raya umum di negara itu dalam bulan Mac lalu.
Kerajaan juga dipersalahkan atas dakwaan gagal menangani gejala rasuah kerana tidak serius dalam usaha bagi menangganinya. Lebih jauh dari itu, kerajaan juga didakwa mengamalkan sikap memilih bulu dalam mendakwa seseorang pelaku rasuah dengan memejamkan mata terhadap mereka yang dikatakan ada kaitannya dengan kerajaan atau parti politik yang memerintah. Justeru dengan adanya SPRM itu nanti, kerajaan berharap segala dakwaan dan persepsi seperti ini akan terhakis dengan Malaysia kelak diharap akan bebas dari gejala rasuah.
Ketua pengarah BPR Malaysia, Datuk Ahmad Said Hamdan dalam satu kenyataan akhbarnya baru-baru ini telah membuat pendedahan bahawa dalam tempoh 10 bulan tahun ini, badan tersebut telah menerima 13,669 aduan rasuah dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,235 kertas siasatan telah dibuka membabitkan 548 individu. Pencapaian ini menurut beliau adalah sesuatu yang baik memandangkan kapasiti BPR sendiri yang tidaklah sebesar mana itu. Bagaimanapun, menurutnya, media asing seperti Transparancy International sering cuba meletakkan Malaysia dalam kumpulan negara yang tinggi kadar rasuahnya tanpa mengambil kira kesukaran kerajaan dalam usaha menangganinya mengambil kira jumlah penduduk Malaysia yang besar berbanding keupayaan BPR yang terhad itu.
Justeru dalam konteks pembentangan Rang Undang-Undang SPRM itu, apa yang diharapkan oleh semua pihak ialah agar suatu bentuk pendekatan baru dalam memerangi gejala rasuah akan dapat diwujudkan dengan badan berkaitan mempunyai kemampuan yang lebih untuk bertindak. Apa yang penting, seperti kata Datuk Seri Abdullah, semua pihak perlu mempercayai integriti siasatan yang dijalankan dan dengan itu, barulah keputusannya tidak akan dipersoalkan.
Dan dalam konteks Rang Undang-Undang SPK pula, apa yang diharapkan oleh rakyat Malaysia ialah agar badan kehakiman di negara itu dapat dikembalikan martabatnya sebagai sebuah institusi perundangan yang dihormati melalui perlantikan hakim-hakim yang berwibawa dan disegani. Penubuhan SPK itu, pendeknya, diharap akan dapat memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat untuk melihat wujudnya ketelusan dan keadilan dalam sistem kehakiman di negara jiran kita itu. Wallah a’alam - (mmo)