Pada penghujung November lalu kerajaan Malaysia telah mengumumkan satu lagi insentif baru untuk kakitangan awam di negara itu. Di bawah Insentif tersebut kakitangan awam yang sebelum ini mengambil opsyen skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dibenarkan untuk bertukar ke skim pencen, berkuatkuasa pada 1 Februari tahun depan.
Pengumuman mengenai insentif berkenaan telah dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu majlis Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008. Menurut Datuk Seri Abdullah, insentif ini sudah tentunya akan memberikan kebaikan kepada mereka yang terbabit seperti kemudahan perubatan dan semua kemudahan lain yang dinikmati oleh para pesara di bawah skim berpencen.
Sayugia dinyatakan, kerajaan Malaysia dalam bulan Mei lalu, telah mengumumkan beberapa insentif dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi kualiti serta prestasi sektor perkhidmatan awam di negara itu. Ini antara lain, termasuklah perlanjutan umur persaraan kakitangan awam yang dinaikkan dari 56 kepada 58 tahun, melaksanakan dasar pemberian pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun (berbanding 25 tahun sebelum ini), dan menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan yang sebelum ini ditetapkan kepada 70 peratus selepas 12 setengah tahun dari tarikh persaraan atau kematian anggota sektor awam.
Melalui insentif baru ini, yang mana penguatkuasaannya akan bermula mulai bulan Februari 2009, kakitangan awam yang memilih untuk kembali bertukar ke skim pencen dalam tempoh 30 hari yang diberikan iaitu sepanjang bulan Januari 2009 nanti, akan berpeluang untuk menerima kembali semua kemudahan sepertimana yang dinikmati oleh mereka yang bersara di bawah skim berpencen kerajaan Malaysia.
Dilihat dari sudut latar belakang, kakitangan awam di Malaysia telah diberikan tawaran untuk menyertai skim KWSP semasa Skim Saraan Baru diperkenalkan dalam tahun 1992. Ekoran dari itu, sejumlah 40,000 kakitangan awam telah memilih untuk menyertai skim berkenaan sebagai alternatif kepada skim berpencen mengikut Seksyen 6A(1) Akta Pencen 1980 dan Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980.
Kakitangan awam yang memilih skim KWSP ini bagaimanapun kehilangan faedah gantian cuti rehat, faedah rawatan kesihatan sebagai pesara kerajaan dan juga ganjaran persaraan.
Bagaimanapun, apa yang berlaku kemudian dari itu, ramai kakitangan awam merungut bahawa mereka tidak mendapat maklumat yang jelas semasa diberi peluang membuat opsyen Skim Berpencen atau KWSP disebabkan ketiadaan sessi penerangan yang sewajarnya oleh pihak-pihak yang terbabit. Mereka merasakan tindakan mereka tersilap, merugikan dan mungkin akan berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu apabila mereka mengakhiri perkhidmatan dalam kerajaan nanti.
Mereka juga merasakan segala impian yang ingin mereka capai dengan menyertai kerajaan melayang begitu sahaja kerana mereka tidak lagi berpeluang menerima bayaran pencen bulanan yang kemudiannya boleh diperlanjutkan kepada pasangan mereka seandainya mereka meninggal dunia nanti.
Mereka juga turut menghitung bahawa selepas bersara nanti mereka yang memilih skim KWSP akan menjadi semakin miskin kerana terpaksa menanggung sendiri bayaran perubatan serta lain-lain bayaran seperti perjalanan dan penginapan. Apa lagi pada masa itu usia mereka semakin lanjut sementara kesihatan mereka tidaklah lagi akan sebaik semasa mereka muda dahulu.
Dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu, pendedahan mereka kepada bayaran perubatan yang tinggi sudah pasti akan membebankan mereka. Apa lagi sekiranya pada masa itu nanti mereka gagal menguruskan simpanan atau pelaburan secara berhemah atau mungkin juga keperluan keluarga, terutama pendidikan, tidak memberikan peluang bagi mereka untuk membuat tabungan untuk masa depan.
Semua ini menyebabkan mereka sering diselubungi kekesalan, bimbang dan berkemungkinan hilang motivasi untuk menghasilkan kualiti kerja yang tinggi yang boleh membantu kerajaan mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam.
Datuk Seri Abdullah bagaimanapun terkenal sebagai seorang insan yang begitu prihatin terhadap semua permasalahan seperti ini. Maka atas kesedaran dan perhitungan itulah beliau telah berusaha untuk mengembalikan hak kepada para penjawat sektor awam yang hampir seratus peratus terdiri daripada orang Melayu itu.
Hak tersebut ialah jaminan masa depan kepada kakitangan awam yang akan bersara yang mana mereka akan menerima ganjaran pencen bulanan serta beberapa perlindungan kewangan lain apabila bersara nanti sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan mereka kepada kerajaan dan juga negara.
Di negara kita isu ini juga wujud dan hampir sama keadaannya. Isu skim simpanan Tabung Amanah pekerja(TAP) ini sentiasa hangat diperbincangkan bukan hanya dikalanagan kakitangan awam tetapi juga orang ramai. Sebagai sebuah pertubuhan siasah yang prihatin, Parti Pembangunan Bangsa(NDP) juga telah mengetengahkan perkara ini pada Kongres Agung Tahunannya 2007 dan 2008 June lalu yang menyeru pihak berkenaan agar menimbangkan semula supaya dipulihkan semula skim berpencen warga perkhidmatan awam.
Menurut dapatan kajian oleh Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS) Brunei Darussalam, warga perkhidmatan awam yang dilantik dalam skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan yang akan bersara pada 2023 dengan sendirinya akan jatuh ke dalam jurang “absolute poverty” dalam jangka masa tidak sampai setahun selepas bersara.
Ini kerana, kajian tersebut menunjukan faedah persaraan yang akan diterima hanya mampu bertahan untuk tempoh 10 bulan sahaja berdasarkan gaya perelanjaan sekarang dan kos kehidupan yang kian meninkat.
Kerisauan ini dikongsikan sama oleh Kebawa DYMM seperti yang dizahirkan Baginda pada Titah sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda ke 62, 15hb Julai 2008 lalu. Antara lain Baginda bertitah “Di masa akhir-akhir ini, terdapat perbincangan mengenai keselamatan sosial, khasnya membabitkan penyaraan diri dan keluarga sesudah berakhirnya tempoh perkhidmatan, sama ada dalam perkhidmatan awam, sektor swasta atau pekerjaan sendiri.
Kearah ini Kerajaan Beta sedang meneliti mekanisme yang lebih menjamin bagi kehidupan dihari tua rakyat dan penduduk, dan memandu perlaksanaan serta penambahbaikan dasar atau sistem persaraan dinegara ini”. Alhamdulillah, titah Baginda ini telah memberikan harapan baru kepada mereka yang terlibat. Wallahu a’alam - (mmo).