Isu Ketuanan Melayu nampaknya masih hangat diperkatakan di negara jiran kita, Malaysia, walaupun bahang pilihan raya umum di negara itu pada umumnya telah mula beransur reda.
Kenyataan yang dibuat oleh seorang bekas Menteri berbangsa Cina dalam komponen Barisan Nasional baru-baru ini bahawa orang Cina boleh menerima konsep pemerintahan Melayu, tetapi tidak Ketuanan Melayu, telah mengundang reaksi panas dari kalangan orang-orang Melayu yang melihatnya sebagai bertujuan mencabar status Ketuanan Melayu dalam tubuh politik Malaysia sejak merdeka.
Ekoran dari itu, orang Melayu bangun bersatu menunjukkan kemarahan dan penentangan mereka terhadap unsur-unsur yang dilihat sebagai bertujuan mencabar status quo dalam aspek hubungan kaum, khususnya menyentuh aspek kontrak sosial yang dipertahankan sejak lebih 50 tahun itu.
Kemuncak kepada bantahan terhadap kenyataan seperti itu telah kemudiannya diterjemahkan melalui beberapa tindakan yang telah dan sedang cuba diusahakan oleh orang-orang Melayu. Ini termasuklah usaha melibatkan Majlis Raja-Raja Melayu dalam membuat kenyataan balas bagi menekankan betapa hal berkaitan hak Ketuanan Melayu itu telah sebenarnya termaktub dalam perlembagaan negara sejak merdeka lagi, dan dengan itu, tidak wajar sama sekali dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak jua.
Kenyataan di pihak Majlis Raja-Raja Melayu itu juga turut mengingatkan rakyat tentang keluhuran Perlembagaan Negara yang seharusnya dipertahankan demi menjaga keharmonian dan perpaduan. Berikutan itu, Majlis Raja-Raja Melayu telah membuat kenyataan dalam meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan sehingga boleh mengguris hati dan emosi orang Melayu.
Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik Melayu bangun menyuarakan agar Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dipinda semula bagi mengembalikan kuasa raja-raja dalam memperkenankan sesuatu rang undang-undang di Parlimen. Langkah ini dilihat sebagai perlu bagi memastikan kekebalan raja-raja Melayu kekal dan orang Melayu lebih yakin serta percaya bahawa institusi beraja di negara jiran kita itu masih relevan.
Dilihat sepintas lalu akan punca di sebalik memuncaknya polimik menyentuh Ketuanan Melayu di Malaysia kebelakangan ini, ianya boleh diperkirakan sebagai bermula ekoran adanya kejayaan besar di pihak pembangkang dalam merampas begitu banyak kerusi pilihan raya dari parti kerajaan pada pilihan raya umum Mac lalu.
Hal ini begitu ketara berlaku di negeri-negeri di mana bukan Melayu, khususnya kaum Cina, merupakan penduduk majoriti di negeri-negeri berkenaan. Negeri Pulau Pinang yang sebelumnya diterajui oleh parti Gerakan (di bawah kerajaan Barisan Nasional) terlepas ke tangan parti pembangkang Cina, DAP. Demikian juga dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, turut jatuh ke tangan DAP.
Begitu juga yang terjadi kepada kebanyakan kawasan pilihan raya di beberapa negeri lain seperti Perak dan Selangor, asalkan saja ramai pengundi Cina, kawasan tersebut akhirnya terlepas ke tangan DAP. Sementara kawasan berstatus Melayu, khususnya kawasan campuran dengan erti kata mempunyai pengundi yang hampir seimbang antara kaum, kawasan berkenaan banyak terlepas ke tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat sebagai lebih liberal dari sudut perjuangan kemelayuannya jika dibandingkan dengan UMNO.
Hal ini kemudiannya menjelmakan satu tafsiran bahawa kemenangan pembangkang, khususnya DAP, adalah disebabkan mereka berjaya memutarkan isu perkauman dalam kempen pilihan raya mereka. Dalam masa yang sama, parti-parti Cina dalam kerajaan Barisan Nasional merasakan salah satu sebab mengapa mereka gagal mempertahankan kawasan masing-masing adalah kerana mereka cuba mempertahankan status quo yang ada dalam aspek hubungan kaum di Malaysia dengan Ketuanan Melayu dipertahankan sebagai teras politik negara.
Maka atas perhitungan seperti inilah, tidak menghairan bilamana ada di kalangan pemimpin Cina dalam gagasan Barisan Nasional sendiri yang akhirnya bangun memperjuangkan tuntutan bagi memansuhkan Ketuanan Melayu, yang di dalamnya, turut merangkumi peruntukan berhubung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan agama Islam.
Amat malang kerana kemelut menyentuh hal ini telahpun memakan ruang yang banyak dalam tubuh politik negara jiran kita itu. Apa yang dapat kita lihat kini ialah kedudukan UMNO selaku parti teras bagi orang-orang Melayu yang semakin lemah angkara perpecahan orang Melayu sendiri yang kini terpisah dalam beberapa kelompok politik, UMNO, PAS dan PKR.
Di satu sudut lain pula, peningkatan yang ketara dari sudut komposisi pengundi kaum Cina, khususnya di kawasan bandar yang strategik dari sudut sosial dan ekonominya, telah seolah-olah memberi isyarat kepada berakhirnya penguasaan politik UMNO/orang Melayu di kawasan-kawasan berkenaan buat selama-lamanya.
Inilah yang terjadi sekarang ini dan tidak mustahil, akan terus berlaku dengan lebih parah di masa depan dikawasan-kawasan lain pula andainya orang-orang Melayu tidak segera menyusun strategi berkesan, bangun bersatu memperkemaskan saf dan tekad perjuangan memelihara dan mempertahankan hak mereka dibumi sendiri.
Justeru dalam konteks seperti inilah, tuntutan beberapa pihak dalam menggesa kekebalan institusi raja dipulih dan diwujudkan kembali seharusnya mendapat perhatian dan direnung sedalamnya.
Selama ini kuatnya orang Melayu dan agama Islam di Negara jiran kita itu, adalah kerana adanya institusi raja yang dilihat sebagai pelindung - baik di masa susah atau senang, semasa krisis mahupun aman.
Maka atas hakikat inilah, tidak menghairankan apabila orang-orang Melayu di negara jiran kita kembali mencari institusi raja, bermatlamat bagi membantu menghadapi situasi yang ada. Ianya tidak syak, dibuat dengan tujuan dan kesedaran bahawa hanya institusi raja mampu menyelesaikan keadaan yang ada atas kapasiti kekebalannya dan peranannya selaku payung pemerintahan negara.
Alhamdulillah, sejak adanya beberapa penegasan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dalam meminta semua pihak menghentikan ‘politiking’ menyangkut isu Ketuanan Melayu, isu berkenaan diperhatikan sedikit demi sedikit kini mula beransur reda.
Dalam konteks negara kita, kalaulah benar bagai dikata, yang kita ini sayangkan kepada Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, zuriat-zuriat Baginda dan bangsa kita, maka janganlah kita katakan bahawa kita “malas tah kan ingau”, “nyaman udah ku, selesa dan aman bersama harta dan anak pinakku”, “kan bahapa lagi ku kan payah-payah ba parti - parti”…...
Jangan kita menganggap apa yang dilalui oleh negara jiran kita tidak akan sampai kepada kita. Jangan kita menganggap bahawa senario di Malaysia tidak sama dengan dengan proses perubahan yang kita lalui seterusnya. Tidak sama mungkin hanya benar pada masa sekarang. Tetapi bagaimana keadaannya dalam masa 40 atau 50 tahun akan datang dizaman Duli Yang Termat Mulia Cucunda Baginda Kebawah Duli menjadi Sultan dan Yang Di Pertuan kelak?.
Malah, jika diambil kira aspek demografi dan kependudukan rakyat Brunei; pada tahun 1911, Brunei hanya mempunyai 4% penduduk bukan Melayu, tetapi kini peratusan mereka sudah menjangkau 33%. Bolehkah kita bayangkan senario seterusnya 40 – 50 tahun mendatang seperti yang disebutkan itu? Bagaimanakah keadaan cucu cicit kita yang akan menjadi rakyat Cucunda Baginda ketika itu?
Lebih menggerunkan ialah, jika ditambah lagi dengan aspek perkembangan kemajuan masa kini yang bertunjangkan globaliasasi, liberalisasi, hak kemanusiaan (human right) dan gelombang demokrasi yang diperjuangkan oleh Barat khususnya Amerika yang sedang “mengasak” dan “mengamuk” tanpa memilih bumi.
Inilah yang membimbangkan NDP. Mungkin ada orang yang sinis dan marah pada NDP sekarang ini kerana terlalu “laju” dan terlalau “imiginatif”, tapi tidak mengapa, marahlah sepuas-puasnya pada NDP…. Kita hanya mengongsikan kebimbangan bahawa, kita mungkin tidak boleh terlepas dari semua tekanan ini, lebih malang mungkin kita terpaksa pasrah bulat-bulat mengikut telunjuk orang lain untuk menentukan halatuju kehidupan kita; dan menunggu ihsan orang lain untuk menyuap nasi kemulut kita.
Justeru itu perkukuhkanlah jatidiri kita bernegara dan beraja. Perkukuhkanlah sistem pertahanan kita melalui empat teras iaitu, pembangunan ummah yang holistic dan mantap, memperkasa sosio-budaya, sosio-ekonomi dan sosio-politik bangsa yang berdaya maju.
Dengan mengambil kira iktibar serta pengalaman yang dilalui oleh Malaysia dalam konteks perbincangan ini, tidakkah ternampak oleh kita betapa peri mustahaknya institusi beraja diperkukuh dan falsafah negara kita, Melayu Islam Beraja (MIB) itu kita institusikan dan perkasakan sebagai satu lagi sistem pertahanan bangsa dan Negara yang ampuh? – kalau setuju dengan pandangan ini, lakukanlah segera! kalau tidak sekarang bila lagi? Dan kalau bukan “tuan-tuan yang ada kuasa” untuk melakukannya siapa lagi? – Wallahu a’alam (mmo).
|