BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini bertitah Forum Demokrasi Bali dapat membantu negara dalam menghadapi masalah global seperti krisis pemakanan, tenaga dan kewangan.
Baginda bertitah semasa merasmikan Forum Demokrasi Bali hari ini yang seterusnya mengalu-alukan pendekatan positif yang diambil bagi menanganinya.
Menurut Baginda, masalah itu tidak berpunca daripada globalisasi malah ia memberikan peluang bagi negara meningkatkan kerjasama dalam menghadapi masalah berkenaan.
Yang turut berangkat mengiringi Baginda Sultan ke forum itu ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Baginda Sultan melahirkan rasa penghargaan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono atas inisiatif mengadakan forum itu yang dapat membantu mempromosi keamanan dan persefahaman antara negara yang hadir dalam usaha mencapai matlamat bersama.
Pada forum itu juga Baginda bertitah menyatakan forum berkenaan membuka peluang bagi ketua negara dan menteri untuk bertukar pendapat dan pengalaman dalam mempromosi pemerintahan yang baik dan kedaulatan undang-undang.
Baginda mengambil maklum mengenai sistem berlainan kerajaan di antara negara yang menghadiri forum seterusnya berpendapat semua itu adalah satu kontrak sosial yang perlu dihormati.
Bagi Brunei, kontrak sosial itu bermakna Kerajaan Baginda hendaklah memberikan kemudahan yang baik kepada penduduk seperti perubatan, pendidikan, peluang untuk berbincang bersama pihak kerajaan, kedaulatan undang-undang yang seimbang, perkembangan ekonomi dan penghormatan bagi setiap individu, keluarga dan masyarakat tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama.
Baginda bertitah, "Kerajaan Brunei akan berusaha untuk mencapai matlamat itu melalui wawasan dan projek serta program berkaitan.
"Usaha kerajaan dalam pencapaian itu berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Milenium yang mencerminkan pandangan serantau dan global yang kukuh serta memberikan penghormatan dan kesefahaman bagi setiap negara dan kerajaan," titah Baginda.
Sejurus selepas itu Baginda Sultan dan Pengiran Perdana Wazir serta Ketua Negara , Menteri dan Ketua Delegasi lain berangkat menghadiri jamuan makan tengah hari yang diberikan oleh Presiden Yudhoyono.
Forum itu dirasmikan oleh Presiden Yudhoyono dan dihadiri beberapa Ketua Negara dan Kerajaan serta Menteri dari negara Asia-Pasifik, Asia Selatan dan Tengah serta Timur Tengah.
Setelah selesai menghadiri forum itu, Baginda Sultan dan Pengiran Perdana Wazir berangkat meninggalkan Bali ke tanah air.
Sebelum berangkat, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Juned.
Yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai bagi mengucapkan selamat berangkat ialah Duta Brunei ke Indonesia Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Haji Husin Ahmad dan Pegawai kanan Kerajaan Indonesia. (Media Permata)