LIMBARUH HIJAU 12 DISEMBER 2008 - TIDAK sepatah perkataan 'demokrasi' pun disebutkan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di acara pembukaan Forum Demokrasi Bali yang telah berlangsung di Nusa Dua Bali pada Rabu 10 Disember baru ini.
Mungkin sebilangan pemerhati politik yang berharap agar titah mengungkapkan perkataan demokrasi, kecewa dengan perkara ini
Akan tetapi tidak demikian halnya bagi mereka yang memahami kebijaksanaan Baginda Sultan yang sangat tinggi diplomasinya.
Dan kebijaksanaan Baginda Sultan hanya dapat didalami jika kita meluaskan pandangan dan fikiran untuk melihat jauh dari apa yang tersurat dalam titah.
Justeru bercakap mengenai Forum Demokrasi Bali yang julung-julung kalinya diadakan, kita melihat terdapat mesej atau signal penting yang tersirat berhubung kesediaan Baginda Sultan untuk hadir dan membuat kenyataan di acara tersebut.
Dalam lain perkataan kesediaan Baginda Sultan untuk hadir dan bertitah di Forum Demokrasi Bali jelas mengambarkan keyakinan Baginda akan komitmen negara dan 'rakyat' untuk melaksanakan proses pembaharuan politik dan pembangunan demokrasi di negara ini.
Mesej ini diperjelas Baginda lagi dalam titah yang menyentuh mengenai perlunya mewujudkan 'Good Governance' (pemerintahan yang baik atau tadbir urus baik) dan komitmen negara kearah itu demi kepentingan kesejahteraan rakyat.
Titah Baginda, Kerajaan Brunei sentiasa bersama kerajaan-kerajaan lain yang menghadiri forum tersebut dalam mempercayai dan meyakini konsep 'Good Governance' yang sering di uar-uarkan dalam hal ehwal antarabangsa dan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Barangkali pada masa ini maksud yang paling teratas, titah Baginda Sultan, ialah perlunya kita mencapai semua sasaran yang telah di gariskan dalam 'Millennium Goals' (tajaan PBB).
Menurut Baginda Sultan, Negara Brunei dalam hal ini telah menjadikan usaha mencapai sasaran-sasaran 'Millenium Goals' sebagai tugas utama negara.
Titah Baginda, "kami melihat tugasan tersebut sebagai satu tugasan penting dalam usaha melaksanakan tanggunjawab kami (sebagai kerajaan) dalam memberikan keyakinan kepada rakyat akan masa depan mereka.
"Bagi kami ianya bererti berupaya menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihataan yang maksima kepada semua; pendidikan yang baik dari peringkat awal lagi; akses atau capaian perseorangan yang mudah kepada kerajaan; jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain; peraturan undang-undang yang adil dan saksama serta menghormati setiap individu, keluarga dan masyarakat tidak kira latarbelakang, budaya dan kepercayaan".
"Dalam masa sama, ia juga bererti pembangunan ekonomi dalam aspek menyediakan peluang perkerjaan, kerjaya dan prospek masa depan (yang cerah)".
Semua ini akan kami cuba capai melalui wawasan negara tiga puloh tahun, titah Baginda Sultan.
Garis permulaan, tambah titah lagi, ialah 'Millennium Goals'. Akhirnya harapan kita ialah pandangan serantau dan dunia yang kukuh terhadap rakyat, yang mana antaranya dapat mempromosikan semangat saling menghormati dan persefahaman dengan negara dan kerajaan lain.
"Inilah asas pegangan dalam kami memainkan peranan dalam hal ehwal serantau dan dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang kami anggotai".
Bersandarkan asas pegangan inilah, titah Baginda Sultan, Baginda dengan gembiranya menerima pelawaan untuk menghadiri Forum Demokrasi Bali tersebut.
Seterusnya Baginda bertitah meyakinkan bahawa kerajaan dan rakyat Baginda akan terus bersama Baginda dalam memberikan komitmen untuk terus berkerjasama dengan kerajaan-kerajaan yang menghadiri forum tersebut.
"Kami akan terus menawarkan apa jua bantuan untuk sama-sama menangani segala yang menjadi kebimbangan yang kita kongsikan bersama dan dalam usaha mempastikan rantau kita dapat melihat masa hadapan dalam suasan aman, selamat dan penuh keyakinan", tegas Baginda Sultan.
Dari titah Baginda Sultan tersebut mengambarkan dengan jelas pendirian dan komitmen Baginda terhadap isu pembangunan demokrasi yang cuba di wacanakan dalam Forum Demokrasi Bali tersebut.
Seperti yang ditekankan dalam titah, Negara Brunei berpegang teguh kepada Millennium Development Goals (MDGs) yang telah dipersetujui dan di tanda tangani oleh 189 pemimpin-pemimpin dunia termasuk Baginda Sultan di Millenium Summit pada September 2000.
MDGs mengariskan 8 Matlamat pembangunan yang perlu dicapai oleh Brunei dan negara-negara ahli pada 2015 nanti atau 7 tahun dari sekarang. Matlamat-matlamat tersebut seperti berikut:
Matlamat 1:Menghapuskan kemiskinan dan kelaparan
Matlamat 2:Mencapai pendidikan rendah (Primary Education)
Matlamat 3:Mempromosikan kesamaan gender dan memperkasa wanita
Matlamat 4:Mengurangkan kadar kematian (mortalitas) dikalangan kanak-kanak
Matlamat 5:Meningkatakan kesihatan ibu (maternal health)
Matlamat 6:Memerangi penyakit HIV/AIDS, malaria dan penyakit-penyakit berjangkit yang lain
Matlamat 7:Mempastikan kemampanan alam sekitar
Matlamat 8:Membina 'Global Partnership' untuk pembangunan
Sementara itu 8 matlamat-matlamat diatas telah digariskan atau dihasilkan bersandarkan atau diasakan atas 8 bab dasar dibawah yang telah dipersetujui oleh Negara Brunei dan 188 negara ahli PBB yang lain iaitu:
- Nilai dan Prinsip
- Keamanan, Keselamatan dan Pelucutan Senjata
- Penghapusan Kemiskinan dan Pembangunan
- Memelihara kemampanan Alam Sekitar Kita
- Hak Asasi Manusia, Demokrasi dan Pemerintahan Yang Baik
- Melindungi golongan lemah
- Memenuhi keperluan khas Afrika
- Memperkukuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Dari apa yang kita bentangkan diatas jelas menunjukkan Negara Brunei dibawah kepimpinan Baginda Sultan yang bijaksana sedang giat melaksanakan usaha-usaha kearah mencapai Millenium Goals tersebut.
Strategi atau pendekatan negara, seperti yang ditekankan oleh Baginda Sultan ialah mensasarkan pembangunan negara kearah matlamat Wawasan Brunei 2035.
Alhamdullilah dalam hal ini dan selaras dengan 'Millenium Goals', Parti Pembangunan Bangsa (NDP), sebagai sebuah pergerakkan politik rakyat juga tidak ketinggalan mengambil peranan dalam proses negara menuju 8 matlamat MDGs PBB tersebut terutama sekali dalam konteks negara sekarang melaksanakan proses pembangunan demokrasi dan 'Good Governance'.
Insya Allah NDP akan terus maju kehadapan bersama membantu dan menyokong Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda mencapai matlamat-matlamat yang diharapkan.
Sementara itu seluruh warga NDP ingin berdatang sembah kehadapan majlis Baginda Sultan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kebijaksanaan Baginda memainkan peranan di sesi Forum Demokrasi Bali tersebut.
Mudah-mudahan kehadiran NDP akan terus memberikan kekuatan dan keyakinan kepada Baginda Sultan bahawa rakyat terus berada di belakang Baginda Sultan. Amin (MHO)
|