LIMBRUH HIJAU KHAMIS 31 MEI 2007 - Sering di perkatakan era globalisasi membawa bersamanya cabaran-cabaran yang lebih hebat dari zaman-zaman sebelumnya tetapi berapa ramaikah kita yang hidup di era yang penuh mencabar ini menyedari perlunya kita menyesuaikan diri dengan suasana baru yang di bawa oleh gelombang teknologi info komunikasi yang dinamik ini?
Seperti yang di katakan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) baru-baru ini Brunei tidak terlindung dari menghadapi senario ekonomi, politik dan cabaran sosial yang semakin mencabar termasuk globalisasi, perubahan ekonomi, kemusnahan alam sekitar dan perubahan teknologi hubungan global yang pesat.
Justeru Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Halbi Haji Md Yussof berpendapat dalam zaman perubahan yang pesat ini, sebuah pasukan eksekutif yang efektif diperlukan untuk memimpin sesebuah organisasi.
Beliau berpendapat pasukan eksekutif tersebut mestilah berupaya memberikan hasil yang berguna dan menepati harapan dan kehendak semua sektor yang mempunyai kepentingan darinya termasuk orang ramai.
Dalam masa yang sama pasukan eksekutif yang efekti akan berupaya memberikan hasil
yang memuaskan dengan sumber dan fleksibiliti yang terhad, kata Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Halbi lagi pada majlis penutup dan penyampaian sijil Program Pembangunan Eksekutif bagi Dasar Awam dan Pengurusan Keempat yang diadakan di Mes Pegawai, Bolkiah Garison baru-baru ini.
Beliau menaruh harapan melalui program tersebut ianya akan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, rangka kerja dan cara pengurusan peserta serta memperkasakan keupayaan mereka untuk memimpin dalam suasana kompleks dan juga mampu bertindak dengan kreatif dan efektif untuk menghadapi cabaran berkenaan.
Untuk terus maju dan berjaya dalam era perubahan yang pesat, ujar beliau lagi, memerlukan peserta untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan mereka secara berterusan dan untuk mencari jalan baru, kreatif dan inovatif dalam melaksanakan serta menghadapi cabaran yang datang.
Sehubungan itu, pemikiran yang baru harus diterapkan oleh pegawai serta sentiasa bersedia untuk menerokai jauh dari zon keselesaan mereka dalam hasrat untuk mencapai keputusan terbaik dalam usaha yang dilaksanakan.
Apa yang bentangkan oleh Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Halbi itu dan hubungannya dengan suasana era globalisasi masa kini sangatlah bertepatan sekali dan sangat relevan.
Di era globalisasi ini isu-isu ekonomi, perdaggangan, politik, sosial, survival bangsa, keselamatan, kedaulatan negara dan sebagainya pada dasarnya masih sama. Apa yang membuatkan ianya lebih mencabar ialah suasana globalisasi yang dinamik hingga begitu menekan untuk kita bergerak cepat, kreatif dan inovatif dalam menanggani isu-isu tersebut.
Di dalam suasana yang sangat menekan ini ruang untuk sesuatu bangsa bergerak dengan rentak lama sangat sedikit kerana dalam era globalisasi tanpa sempadan
hanya terdapat peluang untuk satu bangsa itu terus hidup maju jaya dan cemerlang.
Peluang ini hanya dapat di rebut oleh satu bangsa yang juga dinamik sesuai dengan suasana era globalisasi yang subur untuk pertumbuhan bangsa dan negara yang mesra cuaca globalisasi tersebut.
Setentunya bertepatan dengan yang di sarankan oleh Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Haji Halbi itu, negara memerlukan pasukan eksekutif yang kreatif dan efektif untuk membawa nya ke mercu kecemerlangan, dan terus wujud sebagai sebuah masyarakat yang bermaruah dan berdaulat di perkampongan globalisasi.