Cabaran-cabaran negara di masa mendatang

 
 

 

OLEH : BUJANG SI GANDAM

Negara-negara Islam di dunia telah diramal akan menghadapi krisis hebat yang boleh membawa malapetaka kepada penerusan hayat umat Muslimin menjelang pertengahan abad kedua puluh satu ini disebabkan oleh beberapa faktor yang telah pun dikenal pasti.

Di antara faktor utama yang dimaksudkan ialah penurunan kadar kelahiran di kalangan umat Muslimin sejagat, tidak terkecuali mereka yang berada di Negara Brunei Darussalam. Ini jelas dapat dirumuskan melalui penganalisisan ke atas statistik yang disebarluaskan secara terbuka.

Disebabkan oleh fenomena modenisasi dan peningkatan ke atas tahap literasi di kalangan Muslimah khususnya, makanya mereka telah turut mengikuti trend di kalangan wanita Barat yang menunda perkahwinan sehingga setelah mereka mencapai usia 30an dan 40an, di mana perkembangan karier masing-masinglah yang diberikan prioriti.

Mereka juga lebih senang untuk tidak melahirkan dan mengasuh anak yang ramai, menjadikan keluarga Muslimin mirip keluarga masyarakat Barat yang maju. Natijah daripada trend ini ialah penurunan kadar kelahiran, sehingga terdapat kajian yang menunjukkan bahawa menjelang tahun 2050, di kebanyakan negara Islam, setiap Muslimah akan mempunyai kurang daripada dua orang anak, sedangkan kadar penggantian yang diperlukan ialah 2.1.

Pada tahun 2002, kadar kelahiran di Negara Brunei Darussalam ialah 2.17, suatu perangkaan di persempadanan yang agak membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan jangkaan yang masyarakat negara ini tidak akan dapat berselindung atau bertahan daripada mengikuti trend yang dibawa oleh arus kemodenan. Penurunan pada kadar tersebut mengikut ramalan yang telah dibuat di dalam beberapa kajian antarabangsa adalah suatu yang dinilai menghampiri kepastian.

Dalam masa yang sama, kemajuan di dalam bidang kesihatan telah secara langsung mempertingkatkan tahap jangkaan hayat setiap individu di negara-negara yang maju dan membangun.

Di Negara Brunei Darussalam, jangkaan hayat pada tahun 2002 bagi lelaki ialah 74.8 tahun dan bagi wanita ialah 77.4 tahun.

Jika dianalisis perangkaan ini dengan mengambil kira trend pada kadar kelahiran yang dijangkakan, maka dapatlah diramalkan bahawa di dalam masa beberapa dekad yang akan datang, Negara Brunei Darussalam, seperti mana situasinya di negara-negara lain, akan berhadapan dengan keadaan di mana rakyat dari kalangan warga emas semakin banyak dan mereka yang dikategorikan belia semakin berkurang.

Kekurangan ini juga memberikan implikasi negatif secara langsung terhadap kadar pertumbuhan ekonomi, mempertingkatkan bebanan negara dalam menyara kehidupan dan kebajikan rakyat yang lanjut usia, serta menimbulkan kemungkinan yang negara akan terpaksa lebih banyak bergantung kepada tenaga pekerja asing untuk tujuan-tujuan pembangunan.

Negara-negara maju dan membangun yang lain telah pun menyedari akan hakikat kemungkinan ini dan telah pun mengatur langkah-langkah yang bersesuaian untuk menghadapinya.

Di antara langkah yang dimaksudkan ialah mempelbagaikan sumber pendapatan dan hasil negara melalui proses diversifikasi di sektor perekonomian dan tidak hanya bergantung kepada satu atau dua sumber hasil bumi sahaja.

Di dalam konteks Negara Brunei Darussalam, sumber pendapatannya masih bergantung sebahagian besarnya kepada hasil minyak dan gas.

Bulletin Ekonomi Brunei mungkin memberikan statistik yang mencanggahi pandangan ini. Walau bagaimanapun, bagi statistik yang diberikan untuk sektor selain minyak dan gas, perlu juga diajukan beberapa soalan seperti berikut: berapakah sumbangan rakyat Kebawah DYMM secara langsung ke arahnya; berapakah peratus daripadanya berupa “government-generated” di mana Kerajaan hanya mampu berbuat sedemikian dengan menggunakan hasil yang diperoleh daripada minyak dan gas; sejauh manakah hasil yang diperolehi daripada sektor selain minyak dan gas itu sebenarnya telah menghakis sumber-sumber utama yang lain, seperti perhutanan, bagi mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan negara, dan adakah ianya suatu kondisi perekonomian dan pembangunan yang “sustainable”?

Terdapat pula hasil kajian ilmiah di peringkat antarabangsa, seperti yang dilaksanakan oleh ASPO (Association for the Study of Peak Oil and Gas) yang menunjukkan bahawa puncak produksi minyak akan dicapai pada kira-kira tahun 2008, dan setelah itu, deposit dan hasil galian akan mula berkurangan. Ini dijangka membawa beberapa kesan yang membimbangkan. Di antaranya ialah, kekurangan bahan strategik itu akan mempertingkatkan perebutan untuk memiliki sebanyak mungkin minyak dan ini akan menyebabkan berlakunya lebih banyak konflik di dunia dan kestabilan politik serta ekonomi antarabangsa tergugat olehnya.

Beberapa negara lain telah pun menjangka akan berlakunya senario sebegini dan telah pun berusaha untuk mencari bahan bakar yang alternatif serta hebat mempergiat diversifikasi ekonomi masing-masing agar tidak terlalu bergantung kepada minyak dan gas, sama ada sebagai sumber utama kekayaan mereka, atau sebagai bahan utama yang menggerakkan ekonomi mereka.

Dengan itu, walaupun pengeluaran minyak dunia kelak akan berkurangan, tetapi dengan adanya sumber yang alternatif serta kaedah penggunaan yang lebih menjimatkan melalui pengeksploitasian ke atas teknologi, maka harga minyak tidak semestinya stabil pada paras yang tinggi dan menguntungkan negara-negara pengeluar minyak seperti Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam juga tidak dapat berselindung daripada menghadapi senario yang dinyatakan itu.

Persoalannya ialah: adakah negara sudah bersedia untuk menghadapinya, di mana pergantungan kepada sumber minyak dan gas dapat dikurangkan ke tahap yang jika berlakunya kemerosotan di dalam kadar pengeluaran, ianya tidak akan memberikan kesan yang amat negatif sehingga boleh menggugat kestabilan politik, sosial dan ekonomi di dalam sempadannya? Sejauh manakah usaha ke arah diversifikasi ekonomi telah berjaya mendatangkan hasil yang mampu menghalang Negara Brunei Darussalam daripada menghadapi senario negatif seperti ini?

Kesan kepada kegagalan untuk memesatkan diversifikasi ekonomi dengan cepat, di antaranya, ialah menggendalakan sebarang rancangan untuk membuka peluang pekerjaan seluas-luasnya di sektor swasta untuk rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Dasar pendidikan negara juga dinilai telah memainkan peranan ke arah mewujudkan situasi ini. Ini bermakna, di kala negara menghadapi kemungkinan di mana di dalam jangka masa yang terdekat sumber utama kekayaannya akan mula berkurangan, ketika itu juga kadar pengangguran akan semakin bertambah. Ketika ini sahaja ianya dianggarkan sudah menjangkau lebih kurang 7,000 orang dan angka ini dipercayai adalah suatu perkiraan yang konservatif.

Bagi mengelakkan timbulnya masalah-masalah sosial yang lebih kronik, kebajikan mereka yang menganggur itu terpaksa dijaga oleh Kerajaan.

Hasil pendapatan negara yang semakin berkurangan kelak disebabkan oleh menurunnya tahap pengeluaran minyak akan menyebabkan bertambahnya bebanan untuk menjaga kebajikan rakyat, khususnya mereka yang menganggur dan juga warga emas yang jumlah mereka dinilai meningkat sejajar dengan kemajuan proses pemodenan negara.

Bebanan yang dimaksudkan adalah dalam pelbagai bentuk, termasuk pemberian subsidi ke atas barangan asas dan kemudahan tertentu, dan juga pemberian secara percuma pelbagai jenis perkhidmatan sosial, seperti perubatan dan sebagainya.

Mengharap diberikan pelbagai jenis subsidi juga adalah di antara penyebab mengapa rakyat Negara Brunei Darussalam menjadi bangsa yang leka dan berterusan menanti diberikan segala-galanya secara percuma oleh Kerajaan Kebawah DYMM.

Ini menyebabkan kesempitan pada minda dan ketiadaannya bibit-bibit daya saing yang tumbuh di kalangan mereka, menjadikan mereka terus-menerus memiliki perspektif dan gaya hidup yang pasif sehingga tidak mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara berkesan.

Mereka inginkan kesenangan, tetapi tidak ingin berusaha keras untuk mendapatkannya secara halal. Mentaliti subsidi rakyat Negara Brunei Darussalam ini, jika tidak dirubah, boleh menggugat “survivality” bangsa jika dibiarkan berterusan.

Meneruskan pemberian subsidi dan pemberian beberapa perkhidmatan secara percuma akan juga menyebabkan berterusannya keterhadan dalam keupayaan atau kapasiti Kerajaan Kebawah DYMM untuk mempergunakan peruntukan baginya untuk membangun atau melabur di dalam ekonomi negara.

Selain itu, ianya juga merencatkan perkembangan sektor swasta. Ini dinilai akan memburukkan lagi keadaan yang diramal berlaku di dalam jangka masa yang sederhana dan panjang.

Senario masa hadapan yang diketengahkan inilah yang diramal akan ditempuh negara di masa-masa yang mendatang.

Isu-isu yang berkaitan dengan senario tersebut adalah amat rumit dan negara mungkin akan menghadapi pelbagai kesukaran yang berat untuk menanganinya.

Kegagalan menghadapinya adalah merupakan suatu kemungkinan besar yang tidak boleh diketepikan sama sekali, nauzubillah.

Menyedari akan kemungkinan ini, Parti Pembangunan Bangsa (NDP), insya-Allah, bertekad untuk sama-sama berganding bahu dengan Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda, sebagai rakan strategik pembangunan, dalam usaha menangani segala macam cabaran yang bakal dihadapi.

Insya-Allah, di dalam NDP, ianya akan dimulakan dengan kempen kesedaran di kalangan ahli-ahlinya terhadap isu-isu yang diketengahkan di atas, di mana melaluinya diharap akan berlaku revolusi mental yang menjadikan mereka rakyat Kebawah DYMM yang proaktif dan progresif, yang bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang dalam usaha menjunjung titah membangun bangsa dan tidak mengharapkan kesemuanya disubsidi oleh Kerajaan semata-mata sehingga negara tidak mampu mewariskan apa-apa yang berharga dan bermakna kepada generasi-generasi yang akan datang.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.