Menyahut seruan KDYMM Baginda Sultan

Cabaran Pembangunan dan Impaknya Kepada Alam Sekitar

 
 

LIMBARUH HIJAU 29 JULAI2007 - KEJADIAN ANGIN KENCANG dan cuaca yang tidak menentu yang sedang di alami oleh negara sekarang seolah-olah berlaku untuk membantu memperkuatkan mesej titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini tentang isu cabaran pembangunan dan impaknya kepada alam sekitar.

Baginda Sultan pada 15 Julai 2007 sempena memperingati hari puja usia Baginda kali ke 61 tahun telah bertitah menyentuh mengenai cabaran dari pembangunan dan impaknya kepada alam sekitar.

Titah Baginda pada masa akhir-akhir ini kita sudah pun mula turut mengalami banjir kilat, tanah susur dan sungai dipenuhi lumpur.

"Walaupun ini tidak seburuk yang dialami oleh orang lain, namun nisbah keadaan kita yang jarang mengalaminya, maka apa yang berlaku ini tidak syak lagi adalah satu amaran supaya kita tidak lalai dari menilai keberkesanan ciri-ciri perancangan dan pembinaan infrastruktur di negara ini".

"Malapetaka alam dan pencemaran dapat dilihat sebagai dua perkara yang berkaitan. Namun pencemaran saja biasa nya lebih berpunca dari gaya hidup manusia. Misalnya longkang yang kotor, pasar, restauran dan lain-lain adalah penyebabnya itu tidak lain dari gaya hidup yang tidak mementingkan kebersihan".

Dan belum pun sampai dua minggu Baginda Sultan bertitah demikian ianya diikuti dengan kejadian angin kencang yang agak luar biasa seolah-olah mensahihkan untuk memboktikan kebenaran teguran dan pesanan Baginda Sultan kepada kita semua.

Menurut laporan sejumlah 190 buah rumah terjejas dalam kejadian angin kencang tersebut yang terjadi pada sebelah petang hari Isnin lalu. Sebilangan besar rumah-rumah yang terjejas terletak di kawasan kampong ayer. Selain dari menerbangkan atap-atap rumah, angin kencang itu juga menumbangkan pokok-pokok besar, beberapa gerbang-gerbang perayaan dan hiasan-hiasan perayaan.

Kejadian angin kencang tersebut sangat-sangat memeranjatkan dan mengejutkan sebilangan kita dari terus dibuai mimpi sehinggakan lupa bahawa kemakmuran dan kesejahteraan negara dan bangsa bukan sesuatu anugerah percuma yang tak terhad yang kekal abadi.

Kejadian itu merupakan mesej dari Allah SWT untuk menyedarkan kita agar tidak menulikan telinga kepada mesej Baginda Sultan yang telah dengan izinNya jua diangkatNya menjadi ulil amri yang wajib kita taati dan sanjung tinggi.

Sepertimana digambarkan melalui teguran Baginda Sultan bahawa segala rahmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang sedang kita nikmati merupakan rahmat yang boleh hilang disebabkan kecuaian, kelalaian dan sifat tidak mensyukuri nikmat Allah.

Umpamanya isu berhubung pencemaran. Menurut Baginda pencemaran biasa nya lebih berpunca dari gaya hidup manusia. Misalnya longkang yang kotor, pasar, restauran dan lain-lain adalah tidak lain berpunca dari gaya hidup yang tidak mementingkan kebersihan.

Dalam erti kata lain, natijah dari gaya hidup yang kurang mementingkan kebersihan ialah alam sekitar yang tercemar dan sebaliknya dimana pada akhirnya jika dibiarkan akan boleh mengancam keamanan, keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara dan bangsa.

Justeru ketegasan Baginda Sultan dalam hal isu alam sekitar dan pencemaran ini sangat dialu-alukan.

Titah Baginda "perkara ini tidaklah dapat dibiarkan. Agensi-agensi berkenaan mestilah peka dan menanganinya dengan pengurusan yang cekap atau jika perlu dengan penguatkuasaan semua peraturan atau akta mengenainya tanpa ada tolak ansur".

Sehubungan dengan ini, Parti Pembangunan melihat teguran Baginda Sultan itu tidak hanya terbatas kepada isu pencemaran yang berkaitan dengan isu kebersihan alam sekitar sahaja.

Dalam titah, Baginda Sultan hanya menyentuh contoh yang mudah difahami dalam memberikan pandangan mengenai cabaran pembangunan dan impaknya kepada alam sekitar.

Isu pencemaran dan kerosakkan alam sekitar yang lebih serious yang juga disasarkan oleh Baginda Sultan melalui titah walaupun tidak disebut ialah aktiviti-aktiviti pembangunan yang boleh memberi kesan negatif atau menyumbang kepada pencemaran, penghakisan dan kemusnahan alam sekitar sama ada di atmosfera, sungai-sungai, laut dan pantai dan keseluruhan ekosistem negara

Justeru Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dalam maifesto politiknya (Manifesto 2006 - 2016) telah mensyorkan dan akan bersedia menyokng dan membantu Kerajaan Baginda Sultan dalam sebarang usaha untuk memastikan pihak yang berwajib sentiasa mengambil kira faktor alam sekitar secara serius dalam sebarang usaha untuk memajukan atau membangunkan negara.

Dalam hal ini, NDP melihat kajian secara objektif dan telus perlu diadakan sebelum sebarang projek pembangunan atau projek mega dimulakan, agar kesejahteraan rakyat Kebawah DYMM dan generasi akan datang, serta alam sekitar tidak akan terjejas dan lebih terjamin.

Sejajar dengan seruan Baginda Sultan berhubung dengan penguatkuasaan undang-undang melindungi alam sekitar, NDP juga telah menyarankan dan bersedia menyokong dan membantu Kerajaan Baginda Sultan dalam segala usaha untuk mengenalpasti serta mencegah segala aktiviti di Negara Brunei Darussalam yang mungkin memberi kesan atau menyumbang kepada pencemaran, penghakisan dan kemusnahan alam sekitar sama ada di atmosfera, sungai-sungai, laut dan pantai dan keseluruhan ekosistem negara.

Dalam masa yang sama NDP juga menyarankan agar usaha dapat dipertingkatkan untuk mengkaji dan menilai semula polisi-polisi yang sedia ada yang memberi kesan terhadap alam sekitar termasuk ekonomi, perikanan, perhutanan, pertanian, tenaga, pengangkutan dan sebagainya.

Apa yang penting kita perlu memastikan ianya lebih sejajar dengan prinsip pembangunan mampan (sustainable development) dan menyedari bahawa pembangunan dan pelindungan alam sekitar adalah saling bergantung dan tidak boleh dipisahkan.

Dalam konteks ini NDP juga melihat perlunya inisiatif dipertingkatkan bagi menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan perlaksanaan kajian kesan alam sekitar (environmental impact assesment) semasa di tahap cadangan (planning stage) apa-apa jua projek atau aktiviti yang akan mengubah bentuk mukabumi (shape of the terrain) dan atau merubah keadaan persekitaran, dan aktiviti yang berkaitan dengannya.

Ini untuk memastikan supaya isu-isu pelindungan alam sekitar dan kesihatan awam diberi pertimbangan sewajarnya dalam projek demikian dan yang paling utama ialah untuk menjamin generasi kini dan akan datang dapat terus menikmati khazanah alam sekitar dan kehidupan sihat; menjamin kebolehcapaian (accessibility) individu ke atas maklumat-maklumat yang sewajarnya berkenaan alam sekitar daripada pihak berkuasa, termasuk yang melibatkan bahan-bahan toksik dan merbahaya (toxic and hazardous) dan aktiviti yang berkaitan di dalam komuniti mereka, agar mereka berpeluang untuk turut serta dalam membuat apa-apa keputusan.

Seubungan dengan itu kita juga perlu mengambil langkah untuk menggalakkan penubuhan NGO-NGO yang berperanan sebagai pemantau ke atas isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar.

Kumpulan NGO-NGO ini boleh berfungsi sebagai penasihat kepada pihak yang berwajib dalam usaha membangunkan negara, agar kesejahteraan negara dan rakyat Kebawah DYMM tidak akan terjejas disebabkan oleh usaha-usaha sedemikian.

Beralih kepada isu kebersihan dan pencemaran alam sekitar, NDP dalam manifesto parti juga seirama dengan Baginda Sultan dalam hal mempastikan kebersihan sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air, laluan pengangkutan dan sumber kehidupan nelayan sentiasa dipelihara melalui pendidikan sivik dan penguatkuasaan undang-undang.

Kita juga perlu meneruskan usaha mempastikan pengurusan dan pemuliharaan hutan dan bukit-bukau dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah bagi mempastikan terpeliharanya alam sekitar sebagai satu warisan dan khazanah negara untuk dimanfaatkan oleh generasi yang akan datang.

Penguatkuasakan sepenuhnya undang-undang kebersihan dan pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran udara dan bunyi bagi mempastikan kualiti kehidupan dan kesihatan rakyat sentiasa terjamin juga perlu dilaksanakan seperti yan di sarankan oleh Baginda Sultan.

Dalam masa yang sama NDP juga melihat perlunya usaha dipertingkatkan bagi memupuk budaya cintakan kebersihan di kalangan rakyat bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang bersih dan sihat sehingga dapat memberikan gambaran bahawa masyarakat Brunei itu adalah bangsa yang pembersih.

Bagi tujuan mewujudkan kesedaran mengenai penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar di kalangan rakyat Kebawah DYMM dari semua golongan, usaha perlu ditingkatkan dibidang penerangan dan pendidikan iaitu dengan cara menjemput pakar-pakar untuk mengadakan ceramah umum, penyebaran maklumat melalui media elektronik, buku dan risalah.

Sehubungan dengan itu kita juga perlu menggalakkan penyertaan dan tindakan dari semua pihak sama ada korporat atau individu, NGO dan badan-badan sosial melalui kemudahan dan maklumat yang lebih terbuka dan usahasama dalam mencari penyelesaian isu-isu berkaitan alam sekitar.

Insya Allah NDP akan terus berusaha memberikan sokongan dan dokongan dengan melancarkan gerakan kesedaran melalui program pendidikan dan kempen kepada orang awam khususnya ahli-ahli parti supaya mencintai dan memelihara alam sekitar dengan mengambil daya usaha mengutamakan kebersihan serta menceriakan persekitaran tempat tinggal mereka dengan penanaman pokok dan lanskap.

NDP juga akan terus menyahut seruan Bagiunda Sultan dengan iltizam untuk sama-sama mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi membantu sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk memelihara alam sekitar dan menguatkuasakan undang-undang mencegah pencemarannya, termasuk mencecah kemungkinan pencemaran disebabkan oleh pembangunan industri yang dirancangkan, Insya Allah.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.