ALAT-ALAT PERHIASAN ISTIADAT PERSIDANGAN KONGRES PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP)
Kongres Agung Tahunan merupakan persidangan utama besar-besaran bagi sesebuah parti atau organisasi.
Seperti mana juga pada setiap persidangan parlimen dalam sesebuah negara demokrasi di dunia ini juga punya acara dan perlambangannya masing-masing.
Dalam hal perhiasan-perhiasan yang terdapat pada sidang seperti itu ada terdapat persamaannya tetapi berlainan bentuknya.
Semuanya membawa pengertian yang hampir sama pada dasarnya akan apa maksud dan makna yang terkandung di dalamnya.
Bagi Parti Pembangunan Bangsa (NDP), kita juga punya perhiasan-perhiasan yang digunakan dalam sidang-sidang besar khasnya Kongres Agung parti. Perhiasan-perhiasan berkenaan terdiri seperti berikut:
Ø Jubah Pengerusi Tetap
Ø Kitab Suci Al-Qur’an dan Rehal
Ø Cokmar Persidangan dan
Ø Amar Kuasa
Ø
TAFSIRAN DAN MAKSUD PERHIASAN-PERHIASAN
Ø JUBAH YANG DIPAKAI PENGERUSI TETAP
Jubah yang
dipakai oleh Pengerusi Tetap Pertama, Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Allahyarham Cikgu Awang Haji Md. Zain bin Haji Omar merupakan baju luar
labuh warna hitam berjalur hijau di tepi hadapan.
Dipakai khusus oleh Pengerusi Tetap Kongres pada setiap kali mempengerusikan permesyuaratan Kongres Agung Parti. Dihasratkan sebagai busana yang membawa kewibawaan bagi seseorang yang diberikan amanah dan kepercayaan serta kuasa alam memimpin persidangan yang telah ditentukan.
Ø KITAB SUCI AL-QUR’AN
Al-Qur’an ‘Mushaf
Brunei Darussalam’ tulisan tangan Resam Othmani yang dicetak oleh Jabatan
Percetakan Kerajaan, Brunei Darussalam.
Al-Qur’an ini dijadikan simbol dan lambang
kebesaran tertinggi dan utama kedudukannya pada setiap persidangan Kongres
Agung Parti Pembangunan Bangsa. Sebagai lambang kebenaran serta panduan dan
pedoman dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Dalam menjunjung Kalam Allah yang merupakan hidayah yang mengandungi dan meliputi segenap bidang ilmu seperti konsep pengetahuan, pentadbiran, sosial, politik, hukum hakam dan sebagainya. Sebagai mukjizat bagi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bagi petunjuk seluruh manusia dan alam.
Firman Allah surah al-A’rat ayat 52 tafsirnya: “Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka sebuah kitab (Al-Qur’an) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu
berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi
orang-orang yang (mahu) beriman.”
Dihasratkan juga setiap ahli dewan persidangan akan sentiasa bercakap benar dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Surah A-li ‘Imraan ayat
138 tafsirnya: “(Al-Qur’an) ini adalah penerangan kepada seluruh umat
manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak)
bertakwa”. Cukup jelas akan maksudnya.
Al-Qur`an akan dibawa oleh pegawai keugamaan, ditatang diatas gangsa perak dihadapannnya, mendahului dan mengepalai perarakan masuk Pengerusi Tetap, dan ahli ahli Majlis Tertinggi semasa keluar daripada Dewan Persidangan : Apabila Al-Qur`an dibawa semua ahli dewan akan berdiri, Al-Qur`an akan diletakkan dihadapan sekali diatas meja Pengerusi Tetap.
Manakala rehal pula merupakan kedudukan bagi tempat meletakkan kitab suci Al-Qur’an berkenaan. Pada lazimnya digunakan semasa membaca Al-
Qura’an, terutama waktu mengajar mengaji, di majlis-majlis tadarus, di musabaqah Al-Qur’an dan seumpamanya. Diperbuat dari kayu yang berukiran bunga-bunga dan seumpamanya.
Ø
COKMAR PERSIDANGAN
Simbol dan lambang kebesaran serta kewibawaan dalam persidangan agung, juga lambang kuasa Pengerusi Tetap. Sebagai alat istiadat dan peraturan di dalam persidangan.
Cokmar dan Al-Qur’an akan diletakkan ditempatnya selama berlangsungnya persidangan kongres berkenaan. Ahli tidak boleh meninggalkan persidangan sebelum Al-Qur’an dan
Cokmar di angkat keluar.
Cokmar akan di bawa oleh Bentara Dewan, di sahan (disandang) di atas bahu kanan, berjalan mengiringi di belakang pegawai pembawa Al-Qur’an dalam mengempalai perarakan masuk
dan keluar dewan persidagan berkenanan, seperti mana juga dengan Al-Qur’an tersebut, semasa perarakan ini semua ahli akan berdiri sehingga ia nya di letakkan di tempatnya.
Bentara Dewan akan
meletakakannya di hadapan meja Pengurusi Tetap di belakang Al-Qur’an.
Di samping
membnawa Cokmar, Bentara Dewan juga bertanggung jawab melaksanakan dan menjalan
kan arahan Pengerusi Tetap, mengawal ketenteraman dewan daripada kekecohan dan
perkara-perkara yang menganggu perjalanan Persidangan
Mana-mana Ahli Dewan yang di perintah keluar dewan oleh Pengerusi Tetap tetapi ingkar, maka Pengerusi tetap boleh memerintah Bentara Dewan supaya Ahli Dewan berkenaan meninggalkan dewan. Jika masih berdegil, Cokmar di gunakan bagi maksud tersebut dengan cara Bentara Dewan menyandang cokmar di bahu kanan dan menghampiri Ahli Dewan berkenanan dan memerintahkan ahli tersebut keluar.Semasa Benatara Dewan menyandang Cokmar masuk dan keluar Dewan, semua ahli mesti bangun berdiri.
SEJARAH PEMBUATAN COKMAR
Cokmar berkenaan adalah merupakan comar yang pertama digunapakai dan diperbuat bagi Kongres Agung Ke-2 iaitu Kongres Perwakilan Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) pada 23 Jun 2007.
Diperbuat daripada kayu ‘MADANG SISIK’ yang didapati di hutan Kampong Belais, Daerah Temburong.
Rekabentuk dan ciptaan asalnya oleh Hj. Md. Zapar Shamsuddin anggota Parti Pembangunan Bangsa.
Diukir dan pahatan kayu oleh Awang Abd Jalil bin Haji Tamin, Temburong.
Salinan semula tulisan khat dan tulisan-tulisan lainnya di atas kepingan perak dibuat oleh tukang perak Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Jalan Residancy, Bandar Seri Begawan.
TAFSIRAN PADA COKMAR
I. Ukuran panjang 48 inci garis pusat di atas 3 setengah inci dan 2 setengah inci di bawah. Pada mulanya bahagian kepala cokmar dicadangkan diperbuat daripada perak. Kepala berbentuk kubah masjid – bumbung rumah Allah tempat beribadah dan berkumpul para jemaah, bersatu dengan satu ‘VISI’ – huruf ‘ف’ -
‘ف’ lambang Parti Pembangunan Bangsa yang tertulis di atas puncaknya.
II. Ada 7 helai daun kecil pada mulanya dan akan dibuat mengelilingi bahagian bawah kepada cokmar berkenaan membawa erti 7 misi dan 7 objektif utama Parti Pembangunan Bangsa.
III. Khat jawi bertulis adalah firman Allah dalam Al-Qur’an surah A-li ‘Imraan ayat 159 yang tafsirnya: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah mesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah” – sebagai panduan dan peringatan dalam setiap permesyuaratan.
فرتي فمباعونن بعسا
i) Tulisan khat jawi Parti Pembangunan Bangsa Brunei Darussalam – nama parti.
مجنجوع تيته ممباعون بعسا
ii) Tulisan khat jawi “Menjunjung Titah Membangun Bangsa’ semboyan dalam mendukung dan menyokong pada merealisasikan Konsep Melayu Islam Beraja (MIB).
iii) Tulisan ‘NATIONAL DEVELOPMENT PARTY, BRUNEI DARUSSALAM’ – nama parti dalam bahasa Inggeris.
iv) Lima lingkaran jalur yang dipahat melingkari batang cokmar – Simbol ikatan kekukuhan yang digenggam mengikut lima jalur rukun Islam yang melingkari kehidupan untuk berdiri tegak dalam menegakkan kebenaran dan mencari kebahagiaan dunia akhirat.
v) 31 biji ukiran corak air muleh untuk 31 hari bulan, 8 helai daun kecil untuk bulan Ogos dan 5 biji bulan bintang untuk tahun 2005 Sempena kelahiran Parti Pembangunan Bangsa (NDP) pada 31 Ogos 2005.
4 AMAR PERSIDANGAN
Amar
dan tempat pengetuknya diperbuat daripada kayu yang didatangkan dari Hauge,
Negeri Belanda Diletakkan di depan atas meja Pengerusi Tetap. Fungsinya diketok
bagi memanggil perhatian ahli-ahli sidang, menandakan pengisytiharan dan
pembukaan dan penutup sidang selepas percakapan terakhir pengerusi, atau bagi
menarik perhatian sidang.
Sepanjang persidangan dijalankan, ketukan tukul tersebut juga digunakan sebagai pemberitahuan dan peringatan, memberhentikan percakapan atau hujah anggota sidang yang masih bercakap dalam tempoh waktu yang sudah melewati.
SUSUNAN PERHIASAN ISTIADAT PERSIDANGAN
Ketua Biro Agama Islam
Pembawa Al- Qur’an
Bentera Dewan
Pembawa Tukul Persidangan
SUSUNAN PERARAKAN
Perarakan masuk ke dewan persidangan mengikut susunan seperti berikut :
Ketua Biro Agama Islam
Pembawa Al- Qur’an
Bentera Dewan
Pembawa Tukul Persidangan
· Pengerusi Tetap
· Timbalan Pengerusi Tetap
· Presiden
· Timbalan Presiden
·
Naib Presiden
Ø Daerah Brunei Muara
Ø Daerah Belait
Ø Daerah Tutong
Ø Daerah Temburong
· Setiausaha Agung
· Bendahari Agung
· Ketua Hal Ehwal Agama Islam
· Ketua Hal Ehwal Non-Muslim
· Ketua Himpunan Pemuda
· Ketua Himpunan Wanita
· Ketua Penerangan Dan Hal Ehwal Awam
· Ketua Jawatankuasa Disiplin dan Hisbah
· Penolong Setiausahan Agung
· Ahli Majlis Tertinggi yang lainnya..
SYURA
Bagi membentuk kesempurnaan dan keharmonian dalam sesebuah masyarakat kumpulan baik berupa persatuan, kesatuan, organisasi besar mahupun sebuah negara, ianya hendaklah mempunyai sistem atau dasar dan membentuk peraturan yang akan menjadi garispandu baik dalam jurusan pentadbiran, perundangan dan semua yang meliputi apa jua jenis perkara yang ada hubung kaitnya dengan tujuan pembentukan dasar berkenaan. Kearah inilah perlunya Majlis Syura atau permesyuaratan diperlukan bagi sama-sama mencari ketetapan dan kesempurnaan sama-sama berfikir dan memberikan pendapat bagi tujuan tersebut.
Majlis Syura atau permesyuaratan merupakan kumpulan ke arah perpaduan yang kukuh, diwujudkan bagi mencari kesepakatan dan kebulatan tekad untuk membentuk kesatuan. Ianya melahirkan masyarakat yang bersatupadu, bekerjasama, bantu membantu bagi pembangunan masyarakat, bangsa, negara dan agama. Melahirkan masyarakat harmoni dan bertanggungjawab.
Perpaduan yang dimaksudkan adalah perpaduan dalam membuat apa jua perkara-perkara yang berkebajikan yang membawa kebaikan masyarakat dan umat pada dasarnya, dan bukan dalam perpaduan bagi menjalankan perkara-perkara yang mungkar dan kufur. Dalam hal tersebut itu hendaklah berpandukan akan ajaran-ajaran Islam sebagaimana firman Allah subhanahu wataala dalam surah al-Maa’idah ayat 12 tafsirnya:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertawakallah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi siapa yang melanggar perintahnya).”
Mesyuarat yang didasarkan kepada kebajikan dan kebijaksanaan dapat melahirkan demokrasi, kerana demokrasi harus berdasarkan mesyuarat. Dalam sejarah dunia mencatatkan bahawa negara yang pertama kali melahirkan demokrasi melalui mesyuarat ialah negara Greek Tua, pemerintah dipilih oleh seluruh penduduk iaitu penduduk kota dan bila hendak membuat undang-undang, seluruh rakyat berhimpun dalam sebuah dewan yang disebut ‘Ecclesia’. Dengan berdasarkan demokrasi inilah Greek menjadi kuat dan sentosa dan telah menaklukkan beberapa negara lain yang lebih besar terutama di bawah pimpinan pemimpinnya bernama Pericles iaitu lima tahun sebelum lahirnya Nabi Isa alaihi sallam. Zaman disebut Demokrasi Perbakalan. Asas demokrasi yang terhimpun dalam ajaran bermesyuarat sebagaimana firman Allah subhanahu wataala dalam surah as-Syuraa ayat 38 tafsirnya:
“… dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka …”
Dalam zaman kita hari ini, bertambahnya manusia penduduk dunia di negara masing-masing menjadikan tidak perlu lagi rakyat atau masyarakat berkumpul semuanya dalam satu permesyuaratan untuk membincangkan soal-soal yang hendak diselesaikan. Dibentuklah wakil-wakil yang dipilih bagi mewakili kelompok, kumpulan atau kawasan-kawasan yang tertentu, wakil-wakil itu akan bermesyuarat mengadakan majlis syura yang dipanggil ‘Dewan Perwakilan’. Asas berkenaan tersimpul dalam ajaran Ulul-Amri, sebagaimana firman Allah surah an-Nisaa’ ayat 59 tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan kepada Ulul-Amri (pemerintah) daripada kalangan kamu…”
SEJARAH PERMESYUARATAN
Dalam mencari penyelesaian pada perkara-perkara yang tidak diwahyukan Baginda Nabi mengadakan permesyuaratan dengan para sahabat dan ketua-ketua kabilah wakil pilihan masing-masing. Keputusan atau majoriti ramai tetap Baginda Nabi ikuti meskipun tidak sependapat dengan pandangan baginda. Permesyuaratan perwakilan diakui dalam sejarah bahawa Islamlah pertama kali mengemukakan asas tersebut, dan negara Islamlah yang pertama mengamalkannya dengan sebutan ‘Demokrasi Perwakilan’ dan ‘Demokrasi Moden’.
Setelah wafatnya Rasulullah sallalahu alaihi wasallam, pemilihan khalifah diadakan dengan terpilihnya Sayyidina Abu Bakar, dan seterusnya pengganti beliau Sayyidina Umar, Sayyidina Othman dan Sayyidina Ali. Pemilihan pertama diadakan di Balai Bani Sa’id, bermula dari situlah berkembangnya sistem mesyuarat perwakilan, permesyuaratan antara Ulil-Amri (pemerintah) bersama wakil-wakil berkenaan.
Islam mengajarkan agar kita umatnya mengadakan syura bermufakat dan berunding dalam mencari ketetapan dalam apa jua urusan keduniaan. Perundingan secara terbuka antara pemimpin dengan pengikutnya, antara ketua dengan anak buahnya mahupun pemerintah dengan rakyatnya. Sedangkan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri seorang Rasul dan nabi yang merupakan manusia paling tertinggi kedudukannya di dunia dan akhirat, seorang pemimpin umat, pemimpin perang, pentadbir negara, penegak akidah dan contoh tauladan yang sempurna, pun melaksanakan syura bagi menyampaikan pendapat dan meminta pandangan serta saranan daripada pengikutnya.
Kisah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam mengatur strategi perang Uhud. Peperangan antara orang-orang Islam dengan tentera Quraisy. Baginda mengadakan permesyuaratan di waktu pagi dengan mengumpulkan kaum bangsawan Madinah. Baginda mengemukakan pendapat dan pandangan supaya membuat benteng pertahanan dalam kota itu dan tetap berada di sana dan mempertahankannya dari dalam. Pendapat dan usul Baginda ini disokong oleh Abdullah bin Ubayy seorang pemimpin Yatrib yang mempunyai banyak pengikut-pengikut dan banyak pengalaman dalam peperangan, dan juga sokongan daripada beberapa tokoh lainnya. Namun demikian golongan pemuda yang bersemangat berkobar-kobar begitu ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat dan cadangan Baginda Nabi, malah mengusulkan supaya peperangan diadakan di luar kota Madinah sahaja dengan alasan bahawa jika bertahan akan menjadikan pihak musuh menyangkakan mereka pengecut. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam akhirnya menerima keputusan majoriti tersebut, dengan itu urusan dapat diselesaikan selepas mesyuarat. Namun Baginda melakukannya berhati-hati dan memberikan nasihat serta arahan yang patut diikuti dan ditaati.
Sepeningglaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam masuk ke rumahnya untuk persiapan perang, seorang pemimpin suku ‘Aus bernama Sa’d bin Mu’az telah berucap kepada golongan pemuda yang bersemangat berapi-api tadi dan dia menyatakan bahawa tindakan golongan mereka sebagai tekanan terhadap Baginda Nabi bagi melakukan apa yang tidak disukai baginda dan mungkin hal itu sesuatu yang tidak baik. Akhirnya golongan pemuda berkenaan merasa menyesal lalu menemui Baginda dan menyatakan menarik balik usul mereka dan menyerahkan keputusan mengikut keputusan baginda. Walau bagaimanpun jua Baginda tetap dengan keputusan awal sambil Baginda bersabda:
“Memang aku mencadangkannya, tetapi kamu menolaknya, tidak ada seorang nabi pun, apabila telah memakai baju besi membukanya kembali sehingga Allah memutuskan di antaranya dan musuhnya. Maka dengar dan taatilah perintahku, dan sekiranya kamu sabar dan tetap teguh, kemenangan akan menjadi milik kamu.”
Menghormati dan mematuhi keputusan sidang syura adalah merupakan tuntutan rukun Islam sendiri, baginda nabi enggan menarik keputusannya tadi kerana mentaati hukum al-Qur’an seperti firman Allah dalam surah A-li ‘Imraan ayat 159 yang tafsirnya:
“Mesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat satu keputusan) maka bertawakallah kepada Allah.”
Dalam membuat sebarang keputusan, kita di tuntut yakin bertawakal kepada Allah kerana Dia yang menentukan dan melaksanakan seluruhnya sedangkan kita hanya sekadar merancang dan berkira-kira. Usah panik dan merasa keberatan dengan terlalu lama mengambil masa membuat keputusan, usah ragu dalam melaksanakan kerana kita melaksanakan dengan iman dan tawakal.
TINGKAH LAKU DALAM PERMESYUARATAN
Dalam permesyuaratan kita juga dituntut supaya mempunyai sikap hormat menghormati, dapat mengawal percakapan dan perbuatan atau tingkah laku dengan istilah yang boleh mendatangkan kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain. Permesyuaratan yang dijalankan dalam suasana tolak ansur dan setiap memberikan pandangan, pendapat secara bijak dan hikmah walaupun tidak sesuai dan bertentangan pendapat akan dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan pemimpin sidang. Sehingga tidak akan menjejaskan suasana menjadi medan perang mulut dan pertikaian sehingga mengeluarkan hujah atau perkataan yang terkeluar daripada perkara asal yang diperbincangkan.
Permesyuaratan sekarang bukan lagi permesyuaratan yang dihadiri semua penduduk atau rakyat atau masyarakat umum, tetapi merupakan para wakil-wakil yang dipilih, menjadikannya mesyuarat perwakilan dan sudah tentu wakil yang dipilih adalah calon-calon yang terbaik dikalangan yang memilih, maka itu selaku wakil yang diamanahkan pengikutnya harus jujur dalam menyampaikan apa yang diamanahkan dan mencontohkan sikap selaku pemimpin dari setiap kalangan mereka, selaku figur atau idola yang baik.
Orang yang selayaknya menjadi pemimpin sebagaimana firman Allah surah al-Anbiya ayat 105 tafsirnya:
“Sesungguhnya penolong kamu ialah Allah, dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (menyanjung perintah Allah).”
PERLUNYA MEMILIH KETUA
Perlunya memilih ketua baik ketua pemimpin langsung atau perwakilan, baiklah yang dapat menuntut manusia kearah perlaksanaan perintah agama, berwibawa, bertanggungjawab bukan mengharap kedudukan, pangkat, kuasa dan harta kekayaan semata, berjuang demi kepentingan umat, masyarakat apapun bentuk keturunan, bangsa dan agama, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Apabila ada tiga orang dalam perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat seseorang di antara mereka jadi amir (ketua).” Selanjutnya baginda bersabda lagi “Manakala ada yang mengangkat seseorang untuk memimpin sepuluh orang dan dia mengetahui bahawa di antara orang yang sepuluh itu ada yang lebih baik daripada yang diangkatnya, maka orang itu telah menipu Allah, menipu Rasul-Nya dan menipu kaum Muslimin.”
Mungkin kita lebih mengerti akan maksud sabda Rasulullah sallallahu alalhi wasallam tersebut dan tidak perlu kita huraikan dengan panjang lebar. Cuma yang penting adalah memperkukuh dan memperjuangkan kesatuan dengan adanya perpaduan dan kesefahaman yang bererti tidak terdapat di dalamnya anggota yang bersifat apportunis dan munafik yang bermuka dua, pepat di luar rencung di dalam. Usah heran jika ianya wujud dewasa ini kerana hal serupa sudah ada di zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lagi malah diingatkan Allah melalui firmannya seperti dalam surah at-Taubat ayat 67 yang tafsirnya:
“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang membuat yang makruf dan mereka menggengam tangan mereka lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik.”.
Banyak lagi firman dan hadis mengenai sikap orang munafik tersebut.
Pada kesimpuannya, Majlis Syura, Permesyuaratan atau Kongres adalah merupakan perhimpunan dan pertemuan yang bertujuan pada membentuk asas yang baik atau berkebajikan serta mufakat yang berhimah yang dituntut Islam dan mengikut sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
Bulat Air Kerana Pembentung
Bulat Manusia kerana Mufakat.
Bersatu Kita Teguh
Bercerai Kita Roboh.
“… dan berpegan teguhlah kamu kepada tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai berai…” A-li ‘Imraan: 103
Wabilahi Taufik Wal Hidayah.
HM Zapar Shamsuddin
Setiausaha Hal Ehwal Agama Islam,
Parti Pembangunan Bangsa
Bibliografi
1. Tafsir Pimpinan ar-Rahman – Jabatan Perdana Menteri, KL, Malaysia.
2. Falsafah Politik Moden (Jawi) – Abdullah Muhammed (Nakula) – terbitan Pustakan Dian Press, Kota Bharu, Kelantan – Ogos, 1959.
3. Dasar-Dasar Pemerintahan Islam – Prof. Dr. Ahmad Shalaby – Terbitan Pustaka Nasional, Singapura – alih bahasa Prof. Mukhtar Yahya – 1967.
4. Kehidupan Nabi Muhammad SAW – Tahlia al-Ismail alih bahasa Siti Sujinah Sarnap – terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, Malaysia – Edisi Ketiga 1990.