Budaya keintelektualan Islam semakin subur

 
 
Oleh Abdulrahman Haqqi

Penubuhan UNISSA di Brunei seiring UIAM menyemarakkan dakwah secara formal di Asia Tenggara

ANTARA fokus perbincangan dalam pertemuan empat mata di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, Isnin lalu ialah bagaimana kedua-dua negara boleh menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan.

Perkembangan pusat pengajian tinggi secara amnya di Malaysia adalah sangat memberangsangkan kerana ia kini hampir sampai ke tahap yang dihasratkan kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara alternatif hab pusat pengajian tinggi dunia.

Jika beberapa dekad lalu Eropah menjadi tumpuan pencari ilmu maka dalam beberapa dekad ke hadapan, Malaysia dijangka akan menjadi tumpuan pencari ilmu masyarakat dunia.

Sebagai contoh, pada 2005 pelajar antarabangsa yang mengambil kursus di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia ialah 6,622 dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai bilangan pelajar paling ramai iaitu 2,151, 13 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajarnya yang membabitkan 16,131 orang.

Institusi pengajian tinggi swasta pula iaitu Universiti Multimedia Malaysia (MMU) mempunyai seramai 2,900 pelajar antarabangsa (13,18 peratus) daripada 22,000 jumlah keseluruhan pelajarnya.

Universiti di Malaysia kini mula diperakui masyarakat akademik antarabangsa. Contoh pada 2006, beberapa universiti negara memenangi puluhan pingat dalam International Invention Exhibition di Geneva, Switzerland dan juga acara sama di Nuremberg, Germany dan Seoul, Korea Selatan. Di samping itu, universiti tempatan juga mengadakan perjanjian persefahaman dengan universiti seberang laut. Ini membuktikan bahawa hasrat dan kerja berjalan selari dalam mencapai tujuan mengantarabangsakan institusi pengajian tinggi Malaysia.

Dalam mewujudkan pusat pengajian tinggi yang cemerlang, Brent D Ruben et. Al (2004) menyenaraikan lapan cabaran iaitu memperluas penghargaan masyarakat awam atas usaha universiti;

- mempertingkatkan pemahaman mengenai dunia kerja dan persekitarannya;

- menjadikan universiti sebagai institusi keilmuan yang lebih efektif; mensepadukan penilaian, perancangan dan peningkatan; memperkukuh dan memperluas komitmen dalam kerjasama;

- memperakui bahawa setiap individu dalam institusi adalah guru bagi yang lain;

- memberikan perhatian dan sumber-sumber lebih besar kepada kepemimpinan;

- dan membuat kerangka visi keunggulan secara lebih luas. Azyumardi (2007), ‘Menuju Universiti Cemerlang’

Oleh itu, paradigma pentadbiran universiti mesti diperbaharui supaya pusat pengajian tinggi mencapai kecemerlangan termasuk pentadbiran universiti berasaskan prinsip Good Governance, pentadbiran profesional berasaskan efisien dan aktiviti, memanfaatkan seluruh aset universiti secara maksimum, terus membina tenaga pengajar, pelajar dan pentadbir dan memiliki rancangan strategik yang mengandungi sasaran dan tujuan yang ingin dicapai dalam jangka waktu tertentu dengan menggunakan analisis SWOT.

Semua paradigma baru ini dalam pentadbiran pusat pengajian tinggi diterapkan oleh pusat pengajian tinggi Malaysia.

Pada 6 Ogos 2007, tercatat sejarah baru pengajian tinggi di Brunei Darussalam apabila sebuah lagi pusat pengajian tinggi memulakan tahun akademiknya iaitu Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Pusat pengajian tinggi itu ialah saudara kandung kepada universiti sedia ada iaitu Universiti Brunei Darussalam seperti yang dititahkan Sultan Hassanal Bolkiah tiga tahun lalu sempena konvokesyen universiti berkenaan.

Sultan Sharif Ali adalah Sultan Brunei ketiga yang datang ke Brunei sekitar tahun 1370 dari Taif.

Allahyarham Haji Wan Mohd Shagir dalam Ensiklopedia Nusantara tidak lama dulu ada menulis tulisan bertajuk “Syarif Ali penyebar Islam dan Sultan Brunei”.

Dalam ruangan itu, beliau menulis: “Dipercayai Syarif Ali adalah seorang ulama, tujuan pengembaraannya ialah menyebarkan agama Islam. Di Brunei, daripada aktiviti mengajar masyarakat awam akhirnya dapat mempengaruhi pemimpin Kerajaan Brunei sehingga Syarif Ali diambil jadi menantu oleh Sultan Ahmad (Sultan Brunei yang kedua).

Sultan Ahmad mangkat sekitar 1425, pembesar dan rakyat Brunei sepakat menabalkan Syarif Ali sebagai Sultan Brunei (Sultan Brunei yang ketiga).

Selanjutnya beliau digelar Sultan Berkat. Sebagai seorang ulama, selepas menjadi Sultan, beliau menjadi contoh sebagai insanul kamil bagi masyarakat Brunei.

Beberapa penulis sejarah Brunei merakamkan, “Maka Syarif Ali inilah mendirikan agama Islam dan mengeraskan syariat Nabi Muhammad SAW di Brunei dan membina masjid.”

Menurut riwayat, sebelum Syarif Ali menjadi sultan, sultan yang terdahulu belum mendirikan masjid.

Diriwayatkan pula bahawa Syarif Ali selain sebagai sultan, beliau sendiri menjadi imam sembahyang fardu, sembahyang Jumaat dan menjadi khatib hari Jumaat dan kedua-dua hari raya. Ini bererti dirinya sebagai seorang ulama, imam dan sultan mesra menyatu, bersepadu dan tertanam kasih sayang ke seluruh lubuk hati masyarakat yang beragama Islam.

Secara rasminya, UNISSA ditubuhkan awal tahun ini dan baru memulakan program akademiknya.

Dalam ucapan perasmian program berkenaan, Menteri Pendidikan Brunei Darussalam, Pehin Datuk Abdul Rahman Mohamed Taib, berkata UNISSA perlu membuka pintunya kepada pelajar luar negara dan menjalin hubungan kerjasama dengan universiti tersohor di dunia selaras dengan visinya iaitu menjadi sebuah universiti Islam yang tulen bertaraf antarabangsa yang progresif dan dinamik berteraskan al-Quran dan sunnah.

"Itu sudah tentu akan dapat melahirkan persekitaran pembelajaran yang serba kompetitif sekali gus dapat mencetuskan mutu pengajian yang berkualiti tinggi, berdaya saing dan kreatif," katanya.

Beliau juga percaya UNISSA akan menjadi antara pilihan terbaik bagi pelajar yang inginkan ketulenan Islam berdasarkan al-Quran dan sunnah serta kecemerlangan insan yang bersahsiah murni dan syumul.

Abdul Rahman juga menekankan aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, pengkajian, penerbitan dan khidmat masyarakat amat penting bagi mempertahankan kualiti sesebuah universiti.

Penubuhan UNISSA menunjukkan keprihatinan Kerajaan Brunei dalam menjaga dan memelihara kebesaran dan syiar Islam di negara itu. Penubuhannya juga dihasratkan menjadi mercu tanda kegemilangan Islam di Brunei yang berperanan melahirkan ulama dan cendekiawan Islam bagi menyuburkan dan memperkembangkan kefahaman ajaran Islam di sana.

Program yang ditawarkan pada Sesi Pengajian Akademik 2007/2008 adalah Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Lanjutan Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Penentuan programnya berasaskan kepada keperluan sumber tenaga manusia yang mempunyai identiti kebolehpasaran berdasarkan perkembangan semasa dan permintaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Brunei, Pengiran Datuk Dr Mohammad Pengiran Abdul Rahman yang juga selaku Rektor UNISSA dalam ucapan alu-aluannya berkata, seramai 152 pelajar akan memulakan pengajian mereka di empat fakulti iaitu Fakulti Usuluddin, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam serta Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.

Daripada jumlah itu, seramai 125 pelajar berjaya menamatkan kursus pra-sesi selama tiga bulan, merangkumi program Intensif Pembelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Pelajar terbabit akan memulakan pengajian mereka sebagai mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda.

Mereka ini terdiri daripada 39 pelajar Fakulti Usuluddin, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (52), Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam (16) dan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (18).

Di samping itu, seramai 26 pelajar mengikuti pengajian dalam program Ijazah Lanjutan dalam Program Sarjana iaitu Usuluddin 8 orang, Syariah (12) dan Bahasa Arab (6), sementara seorang lagi mahasiswa Program Doktor Falsafah.

Selain daripada empat fakulti yang ada, dua pusat penyelidikan juga akan disediakan oleh UNISSA iaitu Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa dan Pusat Penyelidikan Mazhab Shafie.

Dengan pembinaan UNISSA akan bertambah panjang lagi lakaran sejarah pengajian Islam di Asia Tenggara yang pada umumnya ada dua cara mengenainya iaitu cara Timur dan Barat. Yang pertama lebih banyak memindahkan pemahaman dasar mengenai Islam manakala yang kedua lebih menekankan pada analisis masyarakat Islam dan tamadunnya. Yang petama terlalu menekankan dimensi normatif manakala yang kedua terlalu mengutamakan historik.

Fazlur Rahman telah menyatakan dengan jelas mengenai perlunya rekonstruksi sistematik ilmu kerana pertama, adanya jarak intelektual antara ilmu-ilmu Islam dengan al-Quran dan Sunnah dan kedua, adanya fenomena budaya yang membezakan antara ilmu agama dan ilmu umum.

Permasalahan yang berkaitan dengan pengajian Islam sebenarnya tidak pernah lepas daripada permasalahan kemasyarakatan, kebudayaan, pembangunan bangsa dan negara. Oleh itu, Prof Tan Sri Mohd Kamal berpendapat pengajian Islam sememangnya meliputi disiplin sosiologi, antropologi, politik, ekonomi, sejarah, geografi dan sebagainya. Disiplin ini pada abad pertengahan dikenal dengan “al-Ulum al-Syar’iyyah” atau “al-Ulumul Naqliyyah” (revealed scienses) yang berbeza dengan “al-Ulumul Aqliyyah” (rational sciences), tetapi kedua-duanya harus dipelajari.

Diharapkan dengan penubuhan UNISSA dengan visinya dan pusat pengajian tinggi yang sama di Asean, cabaran pengajian Islam seperti dikotomi sistem pendidikan, Islamisasi ilmu pengetahuan, pengembangan model institusi pengajian tinggi, pengembangan metodologi, perancangan kurikulum dan pengembangan buku-buku teks boleh dihadapi dengan sebaik-baiknya agar tercipta pada masa hadapan insan kamil yang memahami dengan sebenar-benarnya maksud daripada tujuan manusia sebagai khalifah. Wallahu a’lam. (Dipetik dari Berita Harian)


 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.