Brunei bersedia bantu Lubnan

 
 
Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) pagi tadi membuat satu kenyataan rasmi bagi mengalu-alukan kesediaan negara untuk menghulurkan bantuan kepada Lubnan yang menjadi mangsa serangan-serangan bom Israel yang dianggap oleh ASEAN sebagai tindakan kejam, tidak adil dan pencerobohan rantau.

“NDP sangat bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas langkah yang akan diambil untuk membantu rakyat dan penduduk di Lubnan yang pada saat ini mengalami kehancuran berikutan tindakan ganas tentera Israel mencerobohi kedaulatan mereka”, kata Ayahnda Yasin Affandy.

NDP, tambahnya, berharap bantuan yang akan dihulurkan walaupun sedikit akan dapat meringankan bebanan yang sedang dihadapi oleh rakyat dan penduduk di Lubnan.
“Apa yang penting kita dapat menunjukkan keikhlasan kita bukan sahaja dalam sama-sama meratapi penderitaan yang sedang mereka lalui akan tetapi menunjukkan kesediaan kita menghulurkan bantuan yang boleh menyumbang kearah keamanan dan kedamaian sejagat”, kata Ayahnda Yasin Affandy.

Beliau seterusnya berkata sebagai sumbangan termampu oleh NDP, semua ahli-ahli telahpun disarankan untuk melakukan sembahyang hajat khusus selepas sembahyang fardhu Maghrib nanti memohon pertolongan Allah SWT untuk memberikan perlindungan kepada rakyat dan penduduk di Lubnan, Gaza dan juga Tebing Barat dan memohon agar keamanan dapat dipulihkan dengan segera di Timur Tengah.

Ayahnda Yasin Affandy membuat kenyataan tersebut berikutan satu laporan agensi berita Bernama mengenai kesediaan Negara Brunei Darussalam menghantar bantuan ke Lubnan.

Dalam laporan tersebut Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdaggangan ll, Pehin Dato Lim Jock Seng dilaporkan sebagai berkata Brunei bersedia menghulurkan bantuan kepada Lubnan.

Katanya Brunei sedang mengkaji keadaan di Lubnan untuk memastikan bentuk bantuan yang akan dihulurkan. Katanya lagi Brunei juga berkongsi perhantian dengan negara-negara Islam dalam mengutuk pembunuhan orang awam yang tidak berdosa, agensi tersebut melaporkan.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.