'Elitism' memperkasa keupayaan bangsa?

 
 


Bergambar ramai bersama Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP
dan Ayahnda Omar Tamin,
Naib Presiden Brunei-Muara

LIMBARUH HIJAU 26 FEBRUARI 2007: Seramai 300 ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) ikut serta di acara perbarisan sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan negara ke 23 tahun yang berlangsung di Taman Sultan Haji Omar Ali Saiffudein pada Sabtu baru ini.

Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP dan Ayahnda Omar Tamin, Naib Presiden NDP Brunei-Muara walaupun sudah lanjut usia namun semangat untuk sama-sama merayakan hari gilang gemilang tetap membara dalam diri mereka walaupun terpaksa menaiki kerusi roda di panas terik.

Dengan semangat nasionalisma dan patriotisma yang masih membakar dalam jasad mereka yang sudah dimakan usia tua mereka dengan bangganya melontarkan senyuman dan melambai-lambaikan tangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berdiri diatas pentas diraja dengan segaknya untuk memberikan penghormatan kepada semua peserta-peserta yang berbaris lalu dihadapan pentas diraja tersebut.

Pasti ramai dari kalangan generasi muda yang berada di sekitar kawasan dan di Taman Sultan Haji Omar Ali Saifuddien termasuk sebilangan pegawai-pegawai kanan kerajaan dan elit-elit pentadbir angkatan muda yang berada di atas pentas tidak begitu mengetahui siapa sebenarnya Yasin Affandy dan Omar Tamin yang masih 'berkarih' untuk turun padang menyertai acara perbarisan itu walaupun sudah lanjut usia.

Ramai pasti tidak mengetahui kisah perjuangan dan pengorbanan Ayahnda Yasin Affandy, Ayahnda Omar Tamin serta teman-teman seangkatan mereka di tahun 50an dan 60an mewakili rakyat 'sepakat' dengan istana untuk menuntut hak menentukan nasib sendiri dan kemerdekaan dari kuasa penjajah.

Kemerdekaan yang kita nikmati selama 23 tahun ini, seperti yang dungkapkan oleh Ayahnda Yasin Affandy kepada ahli-ahli NDP (yang berkumpul di markas NDP di Limbaruh Hijau Jerudong) selepas perbarisan tersebut tidak pernah dihidangkan kepada kita diatas dulang emas. Ianya diperjuangkan dengan darah dan air mata, dengan pengorbanan yang tidak ternilai harganya.

Justeru bagi kedua warga emas ini dan beberapa orang lagi ahli-ahli NDP termasuk Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman, ikut serta diacara perbarisan sempena memperingati ulang tahun hari kemerdekaan pada pagi Sabtu itu merupakan suatu yang manis.

Ianya akan lebih manis lagi jika sekiranya semua lapisan rakyat dan penduduk negara ini terutama golongan elit pentadbir angkatan muda yang berada di Taman pada hari itu menyedari akan hakikat dimana senyuman dan anggukkan berkali-kali yang dilemparkan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan kearah Ayahnda Yasin Affandy sebagai membalas lambaian jari jemari yang sudah dimakan oleh usia tua itu, seperti memberikan isyarat luar biasa dari seorang raja kepada peserta perbarisan.

Ianya menggambarkan satu talian rohani yang wujud antara raja dan rakyat yang pernah secara tidak langsung dan semacam ada kesepakatan untuk sama-sama berusaha menuntut hak menentukan nasib sendiri dan kemerdekaan dari kuasa penjajah.

Sayangnya kisah perjuangan dan pengorbanan ini senghaja 'disembunyikan' dari pengetahuan umum oleh kuasa pentadbir penjajah yang telah memutar belitkan sejarah dengan tujuan untuk menjarakkan pertalian rohani yang wujud antara istana dan rakyat.

'Jenayah sejarah' ini senghaja dibuat untuk menanamkan syak wasangka antara kita dan untuk melunturkan hubungan akrab yang tulen antara istana dengan rakyat yang telah wujud sejak beratus tahun.

Dan malangnya agenda 'colonialism' ini yang sepatutnya sudah berakhir dengan berakhirnya era penjajahan, seolah-olah diteruskan lagi oleh golongan-golongan yang jelas berfahaman 'elitism' dalam sistem pentadbiran negara.

Diacara perbarisan dan persembahan padang sempena perayaan ulang tahun Hari kebangsaan ini, umpamanya, mereka yang berfahaman 'elitism' jelas terlalu taksub dengan pantang larang sehingga membuatkan sebilangan mereka yang sudah mempunyai iltizam untuk ikut serta marayakan hari bersejarah itu 'tawar hati' untuk ikut serta.

Contohnya diacara perbarisan itu peserta-peserta dari NDP tidak dibenarkan memakai lencana parti dan juga selendang parti serta apa jua lambang yang menggambarkan peserta-peserta mewakili parti politik. Apa rasional disebalik arahan tersebut kita kurang jelas dan bertambah keliru apabila memikirkan kenapa persatuan-persatuan lain yang bukan parti politik dibolehkan memakai lambang-lambang mereka.

Satu contoh lagi, NDP dengan hasrat untuk mentarbiah dan menjinakkan seramai mungkin anak-anak muda yang menganggagur dan cendrung dengan gaya hidup dan tren masakini, seperti mewarna rambut dan beranting-anting, untuk menjadi warga yang cintakan tanah air, raja dan bangsa tidak kesampaian apabila syarat dikenakan tidak membolehkan mereka ikut serta.

Ketua perbarisan NDP, Pengiran Shahminan Pengiran Ismail telah ditegur supaya mengeluarkan anak-anak muda berkenaan dari perbarisan ketika raptai diadakan.



"Kita berasa sangat kecewa dan sedih kerana harapan kita untuk berjinak-jinak dengan golongan muda ini dan secara berperingkat-peringkat menanamkan benih-benih nasionalisma dan patriotisma kedalam diri mereka tidak kesampaian", komen Awang Haji Mohiddin DPP Haji Othman, Timbalan Setiausaha Agong NDP.

"Sikap 'elitism' dan fahaman 'elitism' yang menganggap hari kemerdekaan hanya layak dirayakan oleh orang-orang tertentu sahaja dan yang 'bisai-bisai' gaya hidupnya sahaja telah dengan secara tidak langsung mematikan semangat iltizam mereka yang sekarang terasa dipinggirkan", ujar Haji Mohiddin lagi.

"Pimpinan-pemimpin NDP amat kecewa kerana penat lelah mereka untuk mendekati anak-anak muda ini mungkin boleh terjejas jika pendekatan 'elitism' ini diteruskan".

"Saya bimbang jika penyakit 'elitism' ini menular ianya akan menjejaskan hasrat dan semangat tema hari kemerdekaan tahun ini yang berbunyi 'Iltizam Memperkasa Keupayaan Bangsa', tegas Haji Mohiddin lagi.

"Apa yang jelas 'elitism' tidak dapat berjalan seiringan dengan usaha menanamkan iltizam kedalam diri bangsa yang ingin kita perkasakan keupayaan mereka ini".

"Penyakit 'elitism' ini jika tidak dibendung tidak syak lagi boleh menjarakkan hubungan antara raja dan rakyat, antara pemerintah dengan yang diperintah dan ini akan menyukarkan usaha untuk merealisasikan tema 'Ilitizam Memperkasa Keupayaan Bangsa' yang mana untuk mencapai kejayaan memerlukan kerjasama dan sokongan padu dari semua lapisan rakyat yang hendak diperkasakan itu sendiri, tambah Haji Mohiddin.

   

 

 

 

 
 
 
     
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.