Bhutto Terbunuh Dalam Serangan Berani Mati Di Rawalpindi

 
 
Oleh P. Vijian

NEW DELHI, 27 Dis (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto dilaporkan terbunuh dalam serangan berani mati di Rawalpindi petang ini.

Laporan televisyen yang belum disahkan dari Pakistan dan India berkata Bhutto menghadiri satu perhimpunan di bandar raya ini apabila beliau terkena tembakan seorang pengebom dan cedera parah, bersama dengan 15 pekerja parti serta setiausaha politiknya.

Pemimpin itu, yang pulang ke Pakistan pada Oktober lepas selepas lama hidup dalam buangan bagi mengelak tuduhan rasuah, dikatakan baru selesai memberikan ucapan dalam perhimpunan politik di Rawalpindi apabila insiden itu berlaku.

Bhutto dan parti pimpinannya Pakistan People's Party ketika ini berkempen menjelang pilihan raya kebangsaan yang dijadualkan pada 8 Jan tahun depan.

Pada hari kepulangannya Oktober lepas, Bhutto terselamat dalam dua serangan berani mati ketika beliau sedang melakukan perjalanan dalam perarakan kereta terbuka tetapi hampir 140 orang terbunuh dalam insiden itu.

Laporan awal media di Delhi menyebut ibu kepada dua anak itu pada mulanya cedera parah tetapi kemudian disahkan meninggal dunia di hospital semasa dirawat kerana kecederaan di leher dan belakang.

-- BERNAMA
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.