Bersama Diplomat: Konsep zakat bantu pelarian Islam

 
 

Oleh Jamhariah Jaafar

Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian ke Malaysia, Volker Turk

Negara OIC patut lebih prihatin selesai isu kemanusiaan, kebajikan sejagat


KETIKA dunia meraikan Hari Hak Asasi Sedunia pada 10 Disember lalu, ada lebih 8.7 juta pelarian berlindung di negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), termasuk empat juta pelarian Palestin yang berdaftar dengan Agensi Penyelamat Pelarian Palestin PBB (UNRWA).

Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian ke Malaysia, Volker Turk, menegaskan tidak ada satu pun anggota OIC yang terkecuali daripada menghadapi isu pelarian, malahan banyak mencatat situasi dramatik membabitkan jumlah pelarian dan sebab mereka melarikan diri.

"Contoh terbaik adalah isu pelarian Palestin, manakala pelarian Afghanistan pula melalui pengalaman perit yang berbeza. Amat sukar untuk sesiapa membayangkan kesukaran dihadapi Iran dan Pakistan, kerana masing-masing terpaksa menanggung lebih satu juta pelarian Afghanistan selama beberapa dekad.

"Bagaimanapun, suasana di Afghanistan semakin pulih. Lebih 4.8 juta pelarian sudah kembali ke tanah air sendiri sejak beberapa tahun lalu. Ini adalah gerakan pemindahan semula secara besar-besaran yang pernah berlaku dalam sejarah UNHCR," katanya pada lebih 200 peserta yang menyertai Persidangan PBB Mengenai Perlindungan Suaka dan Islam, di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Katanya, sejak 2003 UNHCR adalah antara agensi PBB yang berusaha menangani isu pelarian Islam terutama dari Darfur di Chad dan turut mengalami kejutan melihat kemelut yang dilalui 2.2 juta pelarian Iraq yang kini berada di Jordan, Syria dan beberapa negara Asia Barat dengan 2.4 juta lagi warga Iraq menjadi pelarian di negara sendiri.

Bagaimanapun, kata Turk di sebalik angka yang tidak membawa sebarang makna kepada banyak pihak, perkara yang perlu diberi perhatian ialah cerita manusia dan kemanusiaan yang semakin hilang. Antaranya, kata wakil PBB yang bertaraf duta ke Malaysia ini ialah nasib lebih 2,000 pelarian Palestin yang kini tersadai lebih dua tahun di daerah yang dikenali sebagai 'no man's land' di Kem Al-Waleed di sempadan Iraq-Syria.

"Suasana di sana amat menyedihkan dan tidak dapat dibayangkan nilai kemanusiaan masih begitu rapuh dalam dunia bertamadun hari ini. Pelarian Palestin ini tiba di sempadan berkenaan pada Mac, 2006, melarikan diri ketika serangan ganas ke atas mereka di Baghdad.

"Terbaru, tujuh orang meninggal dunia di kawasan gurun pasir itu, termasuk tiga kanak-kanak. Laporan terkini mendapati suasana di kem terbabit semakin menggerunkan - pelarian di Kem Al Waleed menjadi mangsa seksual dan penderaan lain oleh beberapa elemen di kawasan berkenaan.

"Secara peribadi, saya amat sedih kerana pernah bertugas dengan UNHCR di Kuwait pada awal 1990-an, melihat sendiri ramai rakyat Palestin di Kuwait dihalau secara kejam selepas tentera Saddam Hussein keluar dari negara itu. Bagi sebahagian besar pelarian berkenaan, mereka telah beberapa kali dihalau," katanya mengimbau memori pedih ketika bertugas di negara Teluk.

Kembali ke rantau Asia Tenggara, Turk berkata 27,000 pelarian Islam Rohingya dari Myanmar berada di Bangladesh, 15,000 lagi di Malaysia sejak lebih dua dekad lalu.

Bagi Malaysia katanya, selain menyedia kemudahan sementara kepada lebih 200,000 pelarian dari Indo-China pada 1970-an dan 1980-an, negara ini juga menjadi tumpuan pelarian Islam Chams dari Kemboja dan ribuan pelarian Islam Filipina dari Mindanao di Sabah, serta menghulur bantuan penempatan kepada ratusan pelarian Bosnia Herzegovina pada 1990-an.

Bagaimanapun jelas Turk, hanya 36 daripada 57 anggota OIC menandatangani Protokol PBB mengenai status pelarian mengikut Konvensyen Geneva 1967, dan di Asia Tenggara, hanya Indonesia menyatakan komitmen untuk menjadi penandatangan protokol itu.

"Tapi Malaysia dan Bangladesh, yang menjadi tuan rumah kepada banyak kumpulan pelarian Islam di rantau ini, masih belum mengambil langkah menerima pakai protokol yang digariskan itu. Kami berharap negara ini akan menyertai Indonesia tidak lama lagi.

"Ramai berdebat bahawa akses kepada instrumen pelarian antarabangsa (protokol) tidak penting selagi setiap negara terbabit menerima pelarian serta melayan mereka dengan baik. Bagaimanapun, daripada pengalaman kami, walaupun banyak negara bersikap murah hati, selalunya sikap itu tidak bersifat kekal atau stabil atau boleh diramal, ia amat mudah berubah mengikut pendapat umum," kata Turk mengenai pentingnya negara seperti Malaysia menandatangani protokol khusus untuk pelarian.

Mengenai perlindungan suaka atau pelarian dan Islam, Turk menjelaskan walaupun beliau kurang arif mengenai agama Islam, namun sejarah 'hijrah' Nabi Muhammad SAW ke Madinah pada 622M adalah antara contoh terbaik di mana penghijrahan berkenaan memberi perlindungan daripada tindakan membunuh Baginda di Makkah.

Bagaimanapun, katanya konsep memberi perlindungan dalam Islam dikenali sebagai 'aman' dan individu yang menerima perlindungan dirujuk sebagai 'musta'min', mengalami pelbagai masalah hari ini kerana jumlah pelarian terlalu ramai akhirnya menjadi beban yang tidak mampu ditanggung oleh negara yang menerima mereka.

Justeru, Turk meminta negara dan kumpulan pejuang Islam mengambil konsep zakat sebagai satu daripada cara untuk menghulur bantuan kepada kumpulan pelarian Islam, bagi memastikan mereka tidak terus mengalami kesengsaraan dan dipinggirkan.

"Ketika di Kuwait, saya diperkenalkan dengan tradisi Islam yang mengagumkan iaitu zakat, cukai yang dibayar untuk membantu kumpulan miskin. Perkara ini adalah relevan berikutan kebanyakan negara yang menjadi tumpuan pelarian Islam, mempunyai sumber terhad.

"Banyak negara yang memberi perlindungan kepada pelarian menanggung perbelanjaan amat tinggi, sekali gus bebanan itu akan memberi kesan kepada kumpulan pelarian di negara terbabit," katanya ketika mencadangkan pengeluaran zakat boleh dijadikan instrumen untuk membantu kumpulan pelarian yang tidak diketahui untung nasib serta rezeki mereka.

Turk berkata, satu perkara yang amat nyata ialah tradisi agama dan kerohanian menjadi ikutan kumpulan pelarian, mempunyai hubungan rapat dengan rejim perlindungan yang akan diberi oleh mana-mana negara.

Bagaimanapun, Turk mengakui hakikat bahawa nilai kemanusiaan lebih ketara dimiliki negara Islam, berikutan ajaran agama yang memiliki nilai kemanusiaan yang amat tinggi. Beliau memetik kata-kata penulis Islam, Ghassan Arnaout pada 1987:

"Melalui Islam, perlindungan suaka mencerminkan karektor sejagat, walaupun pengaruh dan asas perundangannya berubah. Sesuatu agama tidak terhad kepada satu puak, bandar, orang atau negara, tapi membabitkan kemanusiaan sejagat.

"Islam sudah menjadikan perlindungan suaka sebagai satu institusi yang wujud di mana saja ia berlaku dan diterima semua pihak, sama ada umat Islam atau bukan Islam dengan memasukkannya ke dalam undang-undang manusia – dengan al-Quran dan Sunnah menjadi asas perundangannya."

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.