Belajar teknik tanam buah naga

 
 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Disember 2007-    Sebagai usaha untuk mendedahkan tentang kaedah penanaman buah naga (Dragon Fruits) di kalangan ahli-ahlinya terutama kepada mereka yang melibatkan diri dalam bidang pertanian Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah menganjurkan satu Seminar Projek Penanaman Buah Naga yang berlangsung pada Jumaat lepas.

Seramai lebih 60 orang  menyertai seminar tersebut yang telah diadakan di Anjung Syura  Markas Parti tersebut di Jalan Jerudong dekat sini dan penceramah jemputannya ialah Dr Zainudin bin Haji Meon daripada ibu pejabat MARDI Kuala Lumpur Malaysia.

Juga ikut serta 2 orang kakitangan Jabatan Pertanian dari Kementerian Industri dan Sumber-Sumber Utama yang di undang khas sebagai pemerhati.

Seminar juga bertujuan bagi membukakan minda kepada petani-petani terutama ahli-ahli parti tersebut untuk meluaskan lagi usaha dalam penghasilan buah tersebut bagi keperluan pemasaran dalam dan luar negara.

Peserta-peserta telah diberikan kefahaman dan pengetahuan tentang pengenalan buah tersebut, cara-cara penanamannya dengan betul termasuk cara dan jenis penggunaan baja, penjagaan pokok, zat dan khasiat buah dan sebagainya.

Dr Zainudin berkata Buah Naga yang kaya dengan zat vitamin dan mineral itu melalui kajian juga telah mendapati ianya amat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah, selain bagi membantu mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam badan, serta ianya juga mempunyai kandungan karotin yang tinggi dan nilai perubatan yang tinggi.


Di Malaysia, kawasan penanaman buah naga sedang meningkat kepada hampir 800 hektar dan kebanyakkan kawasan penanamannya terdapat di Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Sabah.  Buah Naga mempunyai tiga varieti, putih, merah dan kuning, dengan tanamannya yang bersifat ‘long day plant’ dan menjalar serta memerlukan sokongan, bentuk penanaman yang mudah hanya dengan menggunakan keratan daripada bahagian pokok tertentu.

Menurut Dr Zainudin lagi potensi masa depan penanaman buah naga adalah sangat besar, kerana ianya cepat berbuah, harga hasilnya yang tinggi, produk hiliran yang   banyak, risiko dari segi pasaran adalah kurang.
“Walaupun pelaburan awal agak tinggi berbanding dengan tanaman lain tetapi buah naga ini merupakan hasil tanaman yang boleh memulangkan pelaburan hanya dalam masa dua hingga tiga tahun sahaja bergantung kepada harga pasaran” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa Awang Haji Mahmud Morshidi bin Haji Othman ketika berucap sejurus selepas seminar berkata selain hanya memfokuskan untuk dilakukan secara individu sebenarnya hasil yang lebih mantap penanaman buah tersebut adalah secara berkumpulan termasuklah dengan penubuhan koperasi ladang.

Beliau turut menekankan dalam jangka masa yang panjang pemasaran bukanlah hanya dilihat untuk dalam negeri sahaja malahan ianya boleh melangkah lebih jauh sehingga ke peringkat global tetapi hendaklah melalui kerja-kerja rangkaian yang erat bersama dengan Jabatan Pertanian terutama dalam bantuan binaan infrustruktur kawasan tanaman dan sebagainya.

Sijil-sijil penyertaan seminar tersebut telah disempurnakan penyampaiannya oleh Presiden Parti Pembangunan Bangsa Awang Haji Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.