WACANA DARI MEJA PRESIDEN

BERSAMA MEMBINA NEGARA YANG KUKUH

 
 

(Untuk Renungan Ahli-Ahli NDP)

Dirgahayu Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Tanggal 31 Mei 2007 genaplah usia Angkatan Bersenjata Di Raja Brunei 46 tahun.

Angkatan tentera Brunei ditubuhkan pada tahun 1961 iaitu setelah kira-kira setengah abad Brunei di bawah jajahan Inggeris melalui “Perjanjian Persahabatan” Brunei-Inggeris 1906.

Dulu…Brunei seakan–akan tidak menghadapi ancaman keselamatan dari luar. Justeru keperluan untuk menubuhkan angkatan tentera Brunei tidak pernah difikirkan oleh British

Selaku Kuasa Pentadbir di Brunei. Yang penting bagi Inggeris ketika menjejakkan kaki ke Brunei untuk menjajah dan menjarah hasil buminya ialah mewujudkan pasukan Polis / lokap (1906) yang dipinjam dari Negeri-Negeri Selat dan membina Penjara Jerudong (1954).

Ini lebih mengarah kepada usaha untuk menjaga kemaslahatan Pentadbirannya dan kepentingan-kepentingan ekonominya di Brunei.

Inggeris mengambil masa begitu lama untuk menubuhkan pasukan Angkatan Tentera bagi Brunei.

Sesudah tertubuhnya Pasukan tentera ini kepimpinan Angkatan Tentera Brunei dimonopoli pula oleh pegawai-pegawai Tentera Inggeris dengan menikmati segala macam keutamaan dan keistimewaan berbanding pegawai-pegawai tempatan.

Keadaan ini menyebabkan ramai kalangan pegawai tentera tempatan semacam tidak berpuas hati.

Ramai yang marah. Ayahanda Presiden NDP dan teman-temannya ketika itu pun marah!

Ayahanda Yasin Affandy dan teman-temannya yang tidak berpuas hati dengan diskriminasi dan eksploitasi tersebut lalu menempelak Inggeris dan mengadukan hal itu di PBB pada tahun-tahun 1975/1976.

Mereka mendakwa bahawa pengaruh Inggeris begitu kuat dalam urusan hal ehwal dalam negeri Brunei dan dalam pasukan Angkatan Bersenjata Di Raja Brunei.

Rombongan Ayahanda Yasin Affandy ke PBB diketuai oleh Pak Azahari membuktikan dakwaannya dengan menyenaraikan nama pegawai-pegawai British yang berkhidmat dalam pentadbiran Kerajaan dan juga menyenaraikan pegawai-pegawai tentera Inggeris yang masih berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Di Raja Brunei ketika itu dan mengedarkannya kepada Komiti 24 dan Komiti Empat PBB.

Antara nama yang disenaraikan termasuklah:

1. Privy Councillors

A. Honourable Pehin Datu Derma Setia Dato Seri Paduka Awang P.A. Coates (Representing Brunei Shell Company Ltd.)

B. Honourable Pehin Orang Kaya Laila Kanun Di Raja Dato Seri Laila Utama Awang Idris Talog Davies (Attorney General)

C. Honourable Pehin Orang Kaya Khazanah Negara Laila Di Raja Dato Seri Laila Utama Awang John Lee (Treasurer)

D. Honourable Pehin Orang Kaya Tabib Laila Di Raja Dato Seri Paduka Seri Laila Jasa Dr. P.I. Franks (Director Of Medical Services)


2. Executive Councillors (Nominated)

Honourable Pehin Orang Kaya Laila Kanun Di Raja Dato Seri Laila Utama Awang Idris Talog Davies (Attorney General)

Honourable Pehin Orang Kaya Khazanah Negara Laila Di Raja Dato Seri Laila Utama Awang John Lee (Treasurer)


3. Legislative Councillors (Nominated)

Honourable Pehin Datu Derma Setia Dato Seri Paduka Awang P.A. Coates (Representing Brunei Shell Company Ltd.)

Honourable Pehin Orang Kaya Laila Kanun Di Raja Dato Seri Laila Utama Awang Idris Talog Davies (Attorney General)


4. Heads Of Departments

Director Of Agriculture – P.B. Woodroofe

Auditor General – Holmes

Controller Of Air Traffic – P. W. Bradley

Commissioner Of Development – John Firth

Advisor Of Education - A.D Bumford

Chief Electical Engineer – Brown

Fisheries – Richard Wallace Beales

State Geologist – Bobe Tate

Government Printer – Max Buse

Judicial Commissioner – Derek Cous

Attorney General – Talog Davis

Director Of Marine – Jack Turner

Director Of Medical Services – P.J. Frank

Supervisor Of Detention Camp – L.J Brown

Police Advisor – H.J Burns

Head, Intelligence Department – Peter Coster

Senior Commisioner Of Police – T. Miller

Superintendent Of Police – Owens

Surveyor General – N.C. Peat

Controller Of Telecommunications – C. Parrots

Controller Of Radio/Television – James Miller

Treasurer – John Lee

Labor Advisor – J. Rutherford

Military ADC To H.H. The Sultan – Major Buttrel

Private Secretary Cum Palace Household Controller – Mrs. P. Doulby


5. Military Personnels

A. Commander Of Royal Brunei Malay Regiment , Col. B.F. Rooney

B. Deputy Commander ditto , Lt. Col. T.A. Bachelor

C. Signal Officer ditto , Major Philip Spooner

D. Welfare Officer ditto , Major Sidney Buttrel

E. Record Officer ditto , Major P.M.C. Fue

F. Education Officer ditto , Major Douglas

G. Military ADC To The Ex-Sultan , Major Christopher

H.Dental Officer ditto , Major Hardie

I. Staff Captain A/Q ditto , Captain Holden

J. Commanding Officer, First Battalion RBMB , Lt. Col. John De Cordova

K. Secon In Command ditto , Major Crook

L. Officer Commanding Company ditto , Major Peat

M. Officer Commanding ‘C’ Company , Major Patrick

N. Motor Transport Officer, 2nd Battalion , Captaion Victor

O. Officer Cammaning, Air Wing, RBMR , Major H. A. Raley

P. Company Second In Command, Air Wing, RRBMR , Cap. J.J. Betie

Q. Operation Officer, Air Wing, RBMR , Captain Hoper

R. Second In Command HH 748 Unit, Air Wing , Captain Tanar

S. Commanding Officer, First Flotilla , Lt. Col. J.R. Widdconbe

T. Second In Command/Training First Flot , Cpt. Kent Johnson
(plus few dozen of N.C.O)

Ketika pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ditubuhkan, Brunei hanya bertongkat kepada tiga asas sebuah ‘negara bangsa’ iaitu, rakyat, wilayah dan kerajaan.

Elemen keempat iaitu ‘kedaulatan’ sebagai sebuah Negara merdeka belum diperoleh oleh Brunei lagi.

Natijah dari penjajahan itu Negara kita tidak berdaulat, kita tidak mempunyai wibawa mentadbir Negara sendiri walaupun kita telah memiliki elemen yang lainnya.

Walhal kedaulatan itu memberikan kita hak untuk menentukan hala tuju negara kita sendiri.

Semua orang tahu, bahawa semua negara moden berdiri di atas empat asas iaitu rakyat, wilayah, kedaulatan dan kerajaan.

Keempat-empat ciri ini bergabung, membentuk apa yang diistilahkan sebagai ‘negara bangsa’ atau nation state.

Ini adalah elemen dasar yang tercetus selepas berlakunya Perjanjian Westphalia di Eropah pada tahun 1648.

Sebagai sebuah negara kecil dalam kerangka dunia globalisasi yang melebar sayap ke setiap penjuru, adalah penting untuk setiap pihak menjaga kepentingan negara dalam pelbagai aspek.

Dalam keadaan negara yang secara umumnya mempunyai sumber terhad, penduduk yang kecil dan keluasan wilayah yang terbatas, keselamatan negara amat bergantung kepada kemampuan negara Brunei bertahan dalam arus ancaman luar, sama ada yang nampak atau tidak nampak, ancaman fizikal atau psikologi.

Peranan untuk menjaga kepentingan Negara ini pastinya bukan hanya digalas oleh Angkatan Bersenjata dan lain-lain pasukan keselamatan, tetapi juga segenap lapisan masyarakat awam.

Cara paling mudah, rakyat boleh membantu Negara ialah melalui curahan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah DYMM dan zuriat baginda serta mengukuhkan kerukunan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat.

Menurut sarjana terkenal, Barry Buzan (1991) keselamatan secara umumnya difahami sebagai kebebasan daripada ancaman.

Dalam erti kata lain, negara mahupun individu merasa selamat.

Di peringkat antarabangsa, perkataan keselamatan digunakan untuk merujuk kepada kemampuan negara atau masyarakat untuk mengekalkan kemerdekaan identiti dan keutuhan fungsinya.

Jika begitu, apakah sebenarnya yang ingin dipertahankan?.

Seorang sarjana, Wolfers (1962:150) melihat bahawa kemerdekaan negara dan kesatuan wilayah (territorial integrity) adalah nilai yang paling minimum yang mesti dipertahankan.

Manakala Treager dan Simonie (1973:38) menekankan bahawa matlamat utama national security ialah untuk mempertahan atau meneruskan unsur-unsur atau nilai utama yang dianggap penting.

Inilah yang perlu diperjuangkan dan dipertahankan sekiranya aspek keselamatan negara di bincangkan. Ia amat bersesuaian sekali dengan semangat ‘merdeka’ yang dihayati semua pihak.

Dalam sistem antarabangsa global kini, setiap negara harus menjaga kepentingan masing-masing bagi menjamin kelangsungan kedaulatan dan kepentingan-kepentingan nasional tercapai.

Negara yang gagal bertindak sewajarnya akan berdepan kemungkinan kehilangan kuasa, kedaulatan dan mungkin juga ‘existence’. (Buzan, 1991:294).

Sebarang tindakan yang diambil oleh negara mestilah mengambil kira berbagai faktor kepentingan dalaman atau luaran dan bentuk ancaman yang sedang serta akan dihadapi.

Dalam erti kata lain, kita memerlukan strategi yang mantap dan memandang ke hadapan untuk menghadapi ancaman terutama di dalam dunia alaf ke 21 ini.

Menyedari bahawa Brunei kini juga berada di alaf berbeza, ahli-ahli NDP diajak supaya membuka horizon pemikiran dalam mendefinisikan istilah ‘threat’ atau ancaman.

Dalam konteks semasa, keselamatan tidak hanya perlu dilihat dalam konteks sempit menjurus kepada keselamatan dari ancaman tradisional, iaitu ketenteraan semata-mata.

Adalah tidak memadai sekiranya sesebuah negara hanya memberikan perhatian kepada aspek ketenteraan, dengan melupakan aspek lain seperti ekonomi, sosial, pendidikan, alam sekitar, human security dan lain-lain lagi.

Fokus kita mestilah bersifat menyeluruh di mana ancaman dianalisis secara komprehensif.

Sekiranya dulu aspek ketenteraan menjadi prioriti utama, sekarang kita juga wajar membuka mata kepada aspek human security atau keselamatan individu.

Aspek-aspek baru ini terkandung dalam kerangka konsep keselamatan menyeluruh atau comprehensive security.

Ini barangkali selari dengan saranan Laporan The Commission on Global Governance (1995), yang menyebut seperti berikut ; "The concept of global security must be broadened from the traditional focus on the security of states to include the security of people and the security of the planet."

Dalam konteks negara yang secara fizikalnya dikelilingi oleh negara yang secara relatifnya lebih besar, aspek keselamatan menyeluruh amat perlu ditekankan.

Negara-negara jiran sebagai contoh telah menggagaskan idea ini kerana menyedari kepentingannya kepada strategi mempertahankan negara.

Malaysia menggagaskan pertahanan menyeluruh (HANRUH) mewujudkan kestabilan politik, kekuatan ekonomi dan sekurang-kurangnya memiliki ketenteraan yang mencukupi.

Singapura pula tampil dengan konsep ‘total defence’ yang menggabungkan aspek ancaman tradisional dan non-tradisional termasuklah ‘psychological defence’, military deterrence dan kemampuan pertahanan sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan nasional.

Indonesia pula memperkenalkan konsep ‘nasional resilient’ yang mengambil kira aspek ideologi, politik, ekonomi, sosio-budaya dan ketenteraan (Acharya, 2001).

Dalam konteks pendekatan sistem pertahanan Negara kita hari ini, kita perhatikan bahawa Kementerian Pertahanan sedang mengambil pendekatan proaktif menggabungkan pelbagai aspek tradisi dan bukan tradisi ke dalam strategi keselamatan menyeluruh negara Brunei.

Tabik hormat buat Kementerian Pertahanan Brunei yang telah mengambil langkah bijak dengan satu kerangka strategi yang memberikan penekanan kepada aspek mempertingkatkan kepimpinan berkualiti melalui program pendidikan terancang kepada pegawai-pegawai mudanya di samping menubuhkan dua lagi institusi penting iaitu Jabatan Agama Islam Tentera dan Performance Optimisation Centre sebagai persediaan mapan ke arah sistem pertahanan lebih berkesan terutama sekali ketika kita berhadapan dengan ancaman globalisasi.

Pendekatan Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam ini, bertepatan dengan Firman Allah dalam Surah al-Anfal (60) yang bermaksud : “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk mengerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahui nya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiayai”.

Semoga Allah SWT sentiasa melindungi seluruh anggota Angkatan Tentera Diraja Brunei dari sebarang bahaya, dan dikurniakanNya segala kekuatan dan keimanan. Amin Ya Rabbal Alamin.

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.