Ambil langkah mantapkan HAWA

 
 
LIMBARUH HIJAU DISEMBER 24, 2006: Sebagai langkah bagi memperkasa gerakkan Himpunan Wanita NDP (HAWA) seluruh ahli-ahli wanita perlulah menanamkan sikap kesepaduan dan faham memahami seterusnya serentak menyusun langkah yang proaktif.

Walaupun baru hampir setahun selepas di bentuk, ianya sudah mampu menggerakkan beberapa aktiviti termasuk kegiatan kemasyarakatan, keagamaan dan ekonomi.

Bagaimanapun ianya perlu lebih di mantapkan lagi bagi mencapai kejayaan yang cemerlang.

Ahli-ahli membincangkan langkah memantapkan lagi HAWA

“Kita perlu menyusun acara-acara secara lebih teratur bagi mempastikan bukan saja untuk peningkatan taraf wanita tetapi juga bagi lebih memperkasakan diri agar mampu bersaing dengan apa jua bentuk cabaran yang di hadapi di masa-masa akan datang".

"Kearah itu kita perlukan kekuatan dalam, kesepaduan dan sentiasa saling hormat menghormati”.

“Allah SWT telah berfirman, Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang dalam pasukan yang teratur seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh (As-Saff :4)”.

“Allah SWT juga berfirman: Hendaklah ada sesuatu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan, menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, itulah golongan orang yang mencapai kemenangan” (Ali Imran : 104).

Perkara ini di nyatakan oleh Ketua Himpunan Wanita NDP semasa ucapan alu-aluannya mempengerusikan Mesyuarat Himpunan Wanita kali Keempat di adakan di Markas Pusat Limbaruh Hijau di Jalan Jerudong pada hari Khamis 21hb Disember 2006.

Antara agenda yang di bincangkan dalam perjumpaan itu termasuklah mendengarkan laporan daripada Exco HAWA seterusnya laporan-laporan kegiatan dan pergerakkan daripada Ketua-Ketua 11 Wanita setiap ranting yang telah ditubuhkan seluruh daerah.

Antara laporan yang dibentangkan termasuklah penubuhan pasukan dikir dan tausyeh oleh HAWA NDP bermula daripada daerah Belait dan akan di bentuk pula di daerah Brunei Muara seterusnya di Tutong dan Temburong.

Dyg Halimah Janai dalam pembentangan laporannya juga turut menyentuh tentang kepantasan gerakkan wanita-wanita NDP dalam apa jua rancangan kegiatan yang di ungkayahkan setiap masa di seluruh negara.

HAWA perlu dimantapkan lagi

Beliau juga meminta kerjasama kepada semua yang hadir supaya sama-sama memberikan sokongan kepada Projek Jejak Ehsan HAWA NDP dengan mendapatkan lebih banyak lagi kutipan pakaian terpakai dan sebagainya untuk di sumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan.

Selain itu beliau turut meminta mereka agar sentiasa peka dengan masyarakat yang memerlukan, termasuklah di kalangan ahli-ahli.

Menyahut kepada laporan itu Dyg Hjah Raiyah bte Haji Salim, wakil daripada Kampung Air menyatakan terdapat sebuah keluarga empat orang adik beradik yang hidup serba kekurangan di kampungnya.

Salah seorang daripada adik beradik itu telah berumahtanggan dan mempunyai seramai 11 orang anak, tetapi telah ditakdirkan jodohnya pula bukan rakyat negara ini dan pendapatan hanya daripada hasil hasil menangkap ikan.

Sehubungan itu, HAWA NDP akan bergerak pantas memanjangkan laporan mengenai perkara itu kepada Biro Kemasyarakatan dan Kebajikan NDP.

Dalam perkembangan yang lain perjumpaan juga turut membincangkan tentang beberapa aktiviti yang dijangka akan di susun dalam masa terdekat termasuk acara-acara bersempena dengan perayaan-perayaan Hari Kebangsaan, Ulangtahun Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam selain membincangkan jadual-jadual di adakan bengkel-bengkel kemahiran dalam bidang ekonomi seperti pembuatan kueh-mueh, hiasan bunga telur, bilik pengantin dan sebagainya.

Seramai lebih 20 orang di kalangan ahli-ahli Exco dan Ketua-Ketua 11 Wanita yang menghadiri mesyuarat berkenaan yang antara lain juga bertujuan untuk saling bertukar-tukar pandangan dan informasi yang difikirkan berkaedah bagi gerakkan aktiviti secara berterusan.(HAWA)

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.