Amaran tegas tapi rambang-rambang

 
 

LIMBARUH HIJAU 1 NOVEMBER 2007 - Tindakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) menepis khabar angin dan fitnah yang menurut JKDN tersebar luas baru-baru ini dikhuatiri boleh menimbulkan spekulasi, keresahan dan kegelisahan dikalangan orang ramai yang masih dalam kegelapan mengenai dengan isu khabar angin yang dimaksudkan.

JKDN dalam satu siaran akhbar yang disiarkan oleh Pelita Brunei pada 31 Oktober telah memaklumkan bahawa khabar-khabar angin yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggunjawab akhir-akhir ini adalah tidak berasas dan tidak mempunyai kebenaran.

JKDN juga mengeluarkan amaran kepada orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan khabar angin tersebut akan akibat dari hasil perbuatan mereka yang buruk itu.

Akan tetapi JKDN tidak menyatakan dalam siaran akhbar itu dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan khabar angin dan fitnah yang disebarkan itu dan dikhuatiri kenyataan yang kurang maklumat jelas ini boleh menimbulkan banyak lagi tanda tanya dan spekulasi.

Siaran akhbar itu juga boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan kerana orang ramai tidak jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan khabar angin dan fitnah yang disebutkan itu.

Perkara ini mudah berlaku kerana naluri semualjadi manusia itu memangnya selalu ingin tahu apa yang mereka tidak tahu dan kurang jelas.

Dan dalam hal ini dengan menyebarluas dan mengumumkan melalui media massa isu penyebaran fitnah dan khabar angin yang kurang jelas setentunya boleh memberangsang lagi naluri ingin tahu orang ramai yang sebelum ini mungkin tidak perasan wujudnya khabar angin dan fitnah disebarluaskan di negara kita ini.

Memang tidak disangkalkan amaran itu merupakan satu peringatan keras dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang boleh menggunakan kuasa ISA untuk menahan sesiapa yang terlibat tanpa bicara.

Dari itu amaran tersebut sangat mengerunkan dan tidak disangkalkan strategi itu boleh menuju kearah mengawal keadaan dan disebaliknya ia juga boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan kepada orang ramai.

Persoalannya apakah langkah tersebut betul-betul berkesan bukan sahaja dalam usaha meredakan keadaan tapi juga sebagai langkah 'damage control' kerana lazimnya dalam suasana ketakutan ini fitnah dan khabar angin yang sebelumnya tersebar luas secara terbuka dan lantang di kedai-kedai kopi atau majlis perkahwinan akan masih tersebar juga tetapi secara berbisik-bisik.

Justeru Parti Pembangunan Bangsa (NDP) berpandangan ada baiknya pihak-pihak tertentu menilai semula strategi yang digunakan dalam menanggani masalah penyebarluasan fitnah dan khabar angin yang tidak berasas ini yang sejak dulu lagi sudah menjadi amalan masyarakat dimana sahaja mereka berada.

Antaranya perlu setiap langkah yang diambil itu jelas dan tidak rambang-rambang yang hanya boleh mengundang lebih banyak lagi spekulasi dan fitnah.

Penting juga setiap langkah yang diambil itu tidak akan menimbulkan keresahan dan kegelisahan dikalangan orang ramai yang mana suasana demikian akhirnya akan menjejaskan kepercayaanan dan keyakinan rakyat kepada pihak kerajaan yang akan mereka lihat sebagai autocratic.

Biralah langkah yang diambil berbentuk nasihat yang boleh benar-benar mematikan khabar angin dan fitnah dari terus berkembang untuk menjadi spekulasi yang lebih liar yang akhirnya memerlukan usaha yang lebih besar dan berkesan untuk mengawal kerosakkan akibat penyebaran khabar angin tersebut.

Pihak-pihak tertentu juga, contohnya boleh mengambil langkah awal (counter measures) menangani satu-satu isu khabar angin dan fitnah sebelum ia diluar kawalan dengan menyebar luaskan maklumat positif yang boleh membetulkan persepsi umum yang kurang tepat yang menjadi sumber penyebab tersebarnya berita palsu dan fitnah tersebut.

Dalam hal ini NDP akan sentiasa besedia membantu segala usaha untuk menyebarluaskan apa-apa maklumat kepada ahli-ahlinya di mukim-mukim dan kampong-kampong sebagai langkah membenteras fitnah dan khabar angin dari terus tersebar luas.

Apa yang merisaukan NDP kegaggalan kita menangani isu penyebarluasan khabar angin dan fitnah ini dengan cekap boleh mengundang masalah yang lebih besar iaitu sekiranya terjadi penahanan orang yang tidak berdosa yang juga turut difitnah oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab kerana didorong oleh perasaan hasad dengki dan permusuhan.

Jika ini berlaku ianya akan menarik perhatian pihak pemerhati antarabangsa dan Hak Asasi Manusia antarabangsa dan dengan sendirinya kita akan meletakkan negara kita dikedudukan yang boleh mengancam kesejahteraan dan kedaulatan negara kita.

Dengan itu kita menaruh harapan apa jua langkah-langkah yang diambil untuk menangani isu penyebaran berita angin dan fitnah ini biarlah umpama 'ikan biar dapat, serampang jangan pukah' atau 'biar ular mati, kayu tiada patah'

HANYA FITNAH TAK BERASAS
Fitnah boleh pecah-belah perpaduan sesama insan

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.