BANDAR SERI BEGAWAN, 10 ogos 2007 - Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam membaharui tekad dan iltizam negara untuk terus bersama ASEAN yang menyambut hari ulang tahun penubuhannya ke 40 tahun pada Ogos 8, 2007 sangat di alu-alukan.
Dalam masa yang sama kita mengalu-alukan titah Baginda dan berbangga memperingati hari bersejarah tersebut, kita juga perlu mengambil iktibar dari mesej yang cuba Baginda sampaikan dalam konteks negara sebagai salah satu anggota keluarga ASEAN dan juga dalam konteks negara sebagai sebuah entiti negara dan bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Negara Brunei Darussalam telah ikut meniti perjalanan pertubuhan serantau ini selama lebih 20 tahun sejak menganggotainya pada 1984 sebaik sahaja negara kembali menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Dan dalam pelayaran bersama ASEAN selama 23 tahun ini, negara dibawah pimpinan bijaksana Baginda Sultan telah banyak menyumbang dan memainkan peranan-peranan penting menjayakan usaha pertubuhan serantau ini menuju kearah mencapai kepentingan bersama iaitu untuk memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, bebas dan sentosa.
Dalam masa yang sama negara juga banyak menimba ilmu dan pengalaman dari penyertaan aktifnya dalam ASEAN
sehingga membuatkannya sebagai sebuah anggota keluarga ASEAN yang digalati, berwibawa dan matang dalam bidang diplomasi serantau dan antarabangsa walaupun baru 23 tahun bersama ASEAN.
Harapan dan cabaran
Titah Baginda dalam meniti usia 40 tahun penubuhannya, ASEAN kini sudah jauh berubah dan penandatanganan Piagam ASEAN lewat tahun ini akan menandakan bermulanya era baru dalam sejarah moden rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun Baginda Sultan bertitah memberi ingatan ASEAN masih belum melaksanakan sepenuhnya impian rantau ini iaitu membentuk rantau Asia Tenggara yang kekal aman, bebas dan sentosa.
"Itulah tugasan yang menanti kita sekarang. Beta sentiasa berharap dapat menyertai pemimpin-pemimpin serantau pada Persidangan Kemuncak kita di Singapura tahun ini bagi menerima cabaran melaksanakan tugas itu," tegas Baginda dalam perutusan khas sempena sambutan ulang tahun ke-40 Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang diedarkan oleh Istana Nurul Iman kemarin.
Teladan dari sejarah penubuhan ASEAN
Baginda Sultan menambah titah, dalam melaksanakan tanggungjawab itu, para pemimpin ASEAN sekali lagi akan mengimbas teladan yang ditinggalkan oleh pengasas ASEAN empat puluh tahun lalu.
Menurut Baginda Sultan, ketika penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967 dulu, dunia dibayangi zaman penuh bahaya Perang Dingin dan negara-negara Asia Tenggara menjadi medan peperangan paling sengit.
Baginda Sultan bertitah ketika awal penubuhannya, rantau Asia Tenggara juga dibayangi "teori domino" iaitu satu kejatuhan akan membawa kejatuhan menyeluruh.
"Pandangan jauh para pemimpin serantaulah yang membolehkan kita menangkis takdir itu, titah Baginda menambah ASEAN lah yang menyediakan cengkaman mendalam bagi memastikan kita tidak mungkin gugur.
"Atas sebab itulah hari ini kita menghargai para pemimpin terdahulu," titah baginda.
Peralihan dari medan peperangan ke medan keamanan
Ketika penubuhannya, ASEAN dianggotai lima negara tetapi hari ini berjumlah 10 buah iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Baginda Sultan bertitah jika dulu dunia menghampiri rantau ini untuk berperang tetapi kini dunia menyertai rantau ini demi persahabatan dan keamanan dan jika dulu masa depan ASEAN ditentukan oleh pihak lain, kini rantau ini menentukan dan mencorakkan masa depannya dengan penuh yakin dan berani.
Sekarang adalah masa menghargai jasa pemimpin-pemimpin lama yang berpandangan jauh dan juga masa untuk merasa bangga dengan segala pencapaian ASEAN setakat ini, titah baginda.
"Inilah juga masanya untuk kita terus melihat ke arah masa depan bagi memberi harapan kepada lima ratus juta penduduk yang diwakilinya," titah Baginda Sultan mengenai peranan masa depan ASEAN.
Bersedia menghadapi cabaran mendatang
Dalam konteks Negara Brunei sebagai sebuah entiti bangsa yang merdeka lagi berdaulat, titah perutsuan Baginda Sultan mengajak kita untuk sama-sama memandang jauh kehadapan dengan penuh kesedaran akan cabaran-cabaran hebat yang mendatang dalam usaha kita berpakat-pakat bersama rakan ASEAN yang lain untuk menjadikan masyarakat Tenggara Asia sebagai sebuah masyarakat yang hidup harmoni dengan semangat setiakawan dan kekeluargaan.
Arus perubahan in akan terus memberikan tekanan kepada negara dan bangsa kita seperti juga ianya akan terus memberikan tekanan-tekanan yang sama kepada negara-negara ahli yang lain seperti Myanmar.
Dalam masa yang sama kita juga bersama ASEAN akan terus menghadapi tekanan kuat dari perubahan-perubahan hebat yang dibawa oleh angin badai globalisasi yang bukan sahaja coba mendemokrasikan ekonomi dunia tetapi juga coba mendemokrasikan jiwa raga masyarakat ASEAN dengan teori demokrsi yang dipelopori oleh pihak yang menggangap diri mereka punya monoploi dalam mendefinsaikan demokrasi.
Tekanan ini dihebatkan lagi dengan kempen meletakkan isu hak asasi manusia sejagat sebagai agenda dalam menglobalisasikan penduduk di rantau Asia Tenggara ini.
Dalam masa yang sama kita juga menyedari akan hakikat bahawa dalam keghairahan membentukj ASEAN sebagai 10 negara satu masyarakat, terdapat juga langkah unilateral sebilangan anggota-anggota pertubuhan serantau ini untuk menjamin masa depan negara mereka masing-masing melalui pakta ekonomi dua hala dengan kuasa-kuasa ekonomi besar dunia yang lain.
Walaupun begitu, Brunei seperti yang dititahkan oleh Baginda Sultan menaruh harapan yang tinggi agar cita-cita menjadikan rantau Asia Tenggara yang dijelamai oleh lima ratus juta manusia dari pelbagai rupa bangsa dengan beragai-bagai peggangan ugama dan kepercayaan, adat dan budaya serta tahap ekonomi yang berbeza-beza, menjadi sebuah rantau yang kekal aman, bebas dan setosa menjadi kenyataan.
Kita berharap masyarakat di rantau Asia Tenggara ini akan akhirnya dapat hidup bersama dengan harmoni dan dengan semangat setiakawan yang kental hingga boleh menjadi benteng pertahanan awal untuk menangkis asakan-asakan pengaruh negatif yang boleh melunturkan nilai-nilai murni masyarakat ASEAN.
Itulah harapan besar bangsa kita yang hanya 'sekubit' dari lima ratus juta penghuni rantau Tenggara Asia ini dan kita menyedari untuk mencapai impian mulia ini, apatah lagi dengan adanya badai bergelora era globasiasi berterusan menghambat rantau ini, ia setentunya merupakan satu cabaran besar yang perlu ditangani dengan matang dan bijaksana oleh semua anggota ASEAN sebagai sebuah masyarakat besar yang mempunyai kepentingan bersama.
Kalau dulunya dalam pertengahan abad 20 di zaman Perang Dingin, rantau ini telah diasakkan dengan teori domino yang dipromosikan oleh Amerika Syarikat sebagai satu justifikasi kepada dasarnya untuk campur tangan memerangi penyebaran pengaruh komunis seluruh dunia.
Sekarang kita di awal abad 21 ini pula sedang diasakkan dengan isu globalisasi yang kompleks yang membawa bersamanya persaigan hebat untuk warga dunia terus bermaya dalam konsep pasaran bebas terbuka di perkampongan global tanpa sempadan ini.
Di era Perang Dingin itu Negara Brunei Darusslam juga tidak terlepas dari menerima hambatan teori domino itu.
Pihak penjajah ketika itu mengambil kesempatan menggunakan teori domino Amerika Syarikat untuk menghancurkan hubungan erat antara rakyat dan Istana.
Perjuangan rakyat bersama istana untuk mendapatkan kembali dari penjajah kemerdekaan dan kedaulatan negara dan bangsa dimusnahkan dengan meracuni fikiran istana dengan diayah bahawa perjuangan rakyat ada kaitan dengan komunis.
Semua ini telah dirancang dengan teliti demi mencapai matlamat untuk mempertahankan kepentingan politik dan ekonomi penjajah dan
Shell yang ketika itu bergantung kepada hasil minyak negara yang lumayan untuk menjana ekonomi negara mereka yang hampir lumpuh disebabkan kejatuhan mata wang sterling ketika itu. Bagi Shell pula hasil minyak menyumbang sejumlah 20 peratus kepada pendapatannya.
Ayahnda Yasin Affandy, 85 tahun, salah seorang pejuang kemerdekaan bangsa yang masih hidup, masih punya ingatan kuat bagaimana perjuangan beliau dan rakan-rakan musnah oleh teori domino ini dan impaknya kepada semangat kesatuan antara rakyat dengan istana sehingga melambatkan negara untuk mendapatkan kembali kemerdekaan dan kedaulatannya dari penjajah.
Justeru beliau menyifatkan negara sekarang masih berada dalam 'injury time'.
Setentunya masa yang ada begitu sedikit dan perlu digunakan sebaiknya untuk negara memperbaiki dan melaksanakan banyak perkara yang telah banyak ketinggalan disebabkan kerosakkan yang disenghajakan oleh penjajah untuk melambatkan negara dan bangsa maju kehadapan.
Seperti yang disarankan oleh Baginda Sultan kita perlu mengambil teladan dari pemimpin-pemimpin yang terdahulu dan dalam masa yang sama terus melihat ke arah masa depan bagi memberi harapan kepada lima ratus juta penduduk yang diwakili.
Senario cabaran masa hadapan
Dalam masa-masa mendatang ini berbagai cabaran hebat akan terus negara hadapi sebagai negara merdeka dan berdaulat yang inginkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan berterusan dinikmati oleh rakyat dan penduduknya yang hidup dalam rantau ini bersama dengan lima ratus juta penduduk yang lain.
Dalam asakan-asakan gelombang globalisasi yang tidak mengenal sempadan, peggangan ugama, kepercayaan dan budaya apakah negara mampu bertahan untuk terus wujud sebagai sebuah negara dan bangsa yang merdeka, berdaulat dan bebas dari tekanan dan pengaruh yang boleh mengkompromikan
nilai-nilai mulia dan budaya yang selama ini menjadi kekuatan kepada keutuhan kesatuan bangsa dan negara?
Bayangkan dalam senario hari ini di mana kuasa besar Amerika terus meningkatkan kegigihannya untuk terus bertahan sebagai satu-satunya kuasa besar dunia dan dengan kebangkitan Cina dan India sebagai dua kuasa ekonomi besar dunia yang baru, setentunya cabaran menjadi lebih hebat lagi bagi Amerika untuk terus mempertahankan kedudukannya.
Tidak keterlaluan jika kita ramalkan kemungkinan akan muncul lagi satu era Perang Dingin, bukan dalam perlumbaan senjata, akan tetapi dalam perlumbaan ekonomi antara kuasa-kuasa besar yang bersaing untuk terus tetap dalam kedudukan utama mereka menguasai ekonomi dunia.
Dalam era globalisasi ini yang membawa bersamanya konsep pasaran bebas terbuka dan teknologi infokomunikasi yang canggih, perkara ini tidak mustahil dan jika ianya berlaku kita akan mengahadapi implikasi sosial yang teruk seperti penghijrahan rakyat-rakyat Cina dan perusahaan-perusahan mereka, contohnya, ke rantau Tenggara Asia ini apabila sekiranya eknomi mereka lumpuh akibat ditumpaskan oleh Amerika dengan menggunakan kekuatan pengaruh ekonomi nya.
Apakah negara bersedia mengahadap kebanjiran mendadak rakyat-rakyat asing ke negara ini? Apakah persediaan kita untuk menghadpai kemungkinan-kemungkinan seperti ini?
Negara-negara ASEAN termasuk Brunei bukan tidak pernah menghadapai krisis ekonomi akibat gelombang globalisasi ini. Pada tahun 1997 krisis kewangan yang bermula dari Tahiland, seperti juga teori domino, telah satu persatu menjatuhkan ekonomi-ekonomi beberapa negara-negara anggota ASEAN.
Beberapa kerajaan di rantau ini juga turut tumbang, beberapa pemimpin-pemimpin negara terjejas hilang jawatan, berpuluh ribu orang hilang pekerjaan dan berpuluh ribu yang lain menajdi papa kedana akibat krisis kewangan tersebut yang menyebabkan banyak pelabur-pelabur golong tikar bantal meninggalkan rantau ini untuk mencoba nasib di rantau yang lebih selamat.
Negara sendiri tidak kebal dari merasa kehangatan krisis kewanagn ini yang ketika itu juga sedang berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan kembali wang berbillion ringgit yang hilang dalam krisis Amedeo.
Makanya Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dalam kesempeatan ini ingin membaharui tekad dan iltizam untuk terus menyokong dan mendokong titah Baginda Sultan membaharui komitmen untuk terus bersama ASEAN menuju kearah menjadikan rantau ini berkekalan aman, selamat, bebas berkecuali dan sentosa.
Dalam konteks Negara Brunei, NDP akan terus menyokong dan mendokong segala usaha untuk memastikan negara terus berdiri tegak sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, bebas dan berkecuali.
NDP menyedari sejak Negara Brunei Darussalam kembali merdeka dan berdaulat pada 01 Januari 1984, ianya tidak terlindung daripada tiupan gelombang hak asasi manusia, demokrasi dan globalisasiyang sarat menyebabkannya terpaksa mengemudi bahtera kenegaraan mengikut arus gelombang tersebut agar ia tidak kelihatan jelek pada pandangan dan pendapat umum dunia.
Dari itu dengan penuh rasa sedar dan insaf, NDP berasa bertanggungjawab untuk menghadapi fenomena ini agar Negara Brunei Darussalam tidak terperangkap dengan tekanan dari mana-mana pihak juapun sehingga boleh membawa kesan negatif pada negara dan rakyat pada jangka masa yang panjang, insya Allah.
|