|
LIMBARUH HIJAU 21 APRIL 2009 - WALAUPUN Rabiaulawal, bulan kelahiran nabi Muhammad SAW telah berakhir namun ianya tidak menghalang Himpunan Wanita (HAWA NDP) dengan kerjasama Biro KeKWA dan Biro KeKIN untuk mengadakan majlis sambutan khusus bagi memperingati ulang tahun kelahiran baginda. Mengingati nabi Muhammad SAW tidak bermusim malah kita digalakkan supaya sentiasa berselawat keatas baginda pada setiap hari dan ganjarannya amat besar. |
Acara berkebajikkan tersebut diadakan di Masjid Sultan Syarif Ali, Sengkurong. Hampir seratus orang ahli NDP menghadirinya.
Turut sama hadir Presiden ayahanda Haji Muhammad Yasin Abdul Rahman, Pengerusi Tetap Saudara Haji Abdul Rahman bin Mohd. Yusof, Timbalan Pengerusi Tetap Saudara Haji Metussin bin Haji Ibrahim serta beberapa orang ahli Majlis Tertinggi parti.
Acara dimulakan dengan ucapan Pengerusi Majlis, Hajah Saemah Haji Kepli, Ketua Himpunan Wanita (HAWA) yang menerangkan tujuan majlis berkenaan diadakan.
Beliau seterusnya tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pihak yang berkuasa khususnya Jabatan Hal Ehwal Masjid yang telah bermurah hati meminjamkan masjid berkenaan. Manakala Tetamu Kehormat ialah Dayang Hajah Sainah binte Mohd. Yusof, isteri kepada Pengerusi Tetap NDP.
Beliau mengucapkan terima kasih kerana diberikan penghormatan dan menyeru supaya ahli-ahli NDP khususnya wanita supaya akan dapat meneruskan perjuangan terutama dalam membela kaum waniita dalam semua bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lainnya.
Majlis diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah Ustazah Hajah Rogayah bte Begawan Pehin Khatib Dato Haji Wahid.
Dalam ceramahnya beliau antaranya menyentuh mengenai sembahyang sunat tasbih yang mempunyai banyak kelebihan. Bagi mereka yang mengerjakan sembahyang berkenaan seolah-olah mereka mendaftar sebagai ahli syurga.
Alangkah beruntungnya jika seseorang itu dapat melakukannya sekali pun jika sebulan sekali atau sekurang-kurangnya sekali seumor hidup. Pahalanya memenuhi langit dan bumi, diberi duapuluh kebajikan, diampunkan duapuluh dosa dan pahalanya juga sama seperti memerdekakan duapuluh hamba.
Selain itu ustazah penceramah juga menyentuh supaya kita sentiasa mengekalkan wudhu sebagai amalan harian kerana ianya dapat menghapuskan dosa dan maksiat.
Turut juga menyerikan sambutan berkenaan ialah persembahan dikir oleh Kumpulan Dikir Usrah Muslimah dan beberapa kumpulan dikir jemputan.
Diakhir acara diadakan pula tepung tawar bagi meraikan dan mengucapkan selamat kepada salah seorang ahli parti yang baru memeluk ugama Islam iaitu Saudara Muhammad Abdullah Peter bin Abdullah Saging.
Beliau mula terpikat dengan Islam sejak menjadi ahli parti lebih-lebih lagi setelah membaca manifesto NDP dan menyertai aktiviti parti yang bukan hanya bergiat dalam bidang politik tetapi juga dalam bidang-bidang lain khususnya dakwah Islamiah yang mudah difahami dan memberikan kesan dalam jiwanya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Tetamu Kehormat oleh Pengerusi Majlis dan kepada saudara baru Muhammad Abdullah Peter bin Abdullah Saging masing-masing oleh Dr. Hajah Rayah Mohd. Ali, Ketua Biro KeKWA dan Hajah Armah Haji Othman, Ketua Biro KeKIN. (Laporan Juned Ramli)