BUKIT TUAU 17 APRIL 2009 -
Seramai 45 orang ahli NDP yang berhalangan untuk hadir di mesyuarat tahunan ranting masing-masing tempoh hari diberikan kesempatan membuang undi pada 15 April baru lalu. Ini selaras dengan Aturan dan Peraturan Pemilihan Umum (AP 004/008) yang menghendaki SPU memberikan tempoh 2 minggu untuk mengutip undi tertunda selepas tarikh rasmi pembuangan undi bagi setiap ranting dijalankan.
Suruhanjaya Pemilihan Umum (SPU) melaksanakan AP 004/008 ini untuk memberikan kesempatan kepada ahli-ahli, yang berhalangan untuk hadir pada tarikh rasmi pembungan undi dijalankan, dapat menunaikan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan pemilihan ahli Majlis Tertinggi secara demokrasi.
Pemilihan tersebut diadakan di markas Badan Perhubungan Daerah Temburong di Bukit Tuau.
Sejak awal pagi lagi mereka telah menghadirkan diri ke pusat pembuangan undi bagi memilih dari barisan 10 calun-calun untuk menduduki 7 kerusi Majlis Tertinggi Daerah Brunei-Muara yang dipertandingkan.
Pemilihan tersebut dikendalikan oleh pihak Suruhanjaya Pemilihan Umum yang diketuai oleh pengerusinya Sdra. Haji Wan Zin bin Tengku Ali serta dibantu oleh tujuh orang ahli suruhanjaya berkenaan.
Menyaksikan pemilihan berkenaan ayahanda presiden dan Naib Presiden Temburong serta Ketua Himpunan Hal Ehwal Non-Muslim.
Salah seorang pengundi yang hadir apabila ditanya apakah perasaannya dapat hadir mengundi pagi itu berkata ia mengingatkannya kepada pilihan raya yang pernah diadakan kira-kira lebih empat puluh tahun dahulu dimana beliau juga turut hadir mengundi bersama rakan-rakan sebaya bagi memilih wakil rakyat untuk mewakili mereka bagi peringkat negara dan daerah.
Seorang ahli juga melahirkan rasa gembira dan syukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun hanya pada peringkat parti, namun ianya penting bagi menentukan bahawa pemimpin yang dipilih adalah pilihan ahli akar umbi bukan ditunjuk dan dipilih oleh kepimpinan parti.
“Inilah salah satu proses demokrasi yang dilaksanakan oleh parti” tegasnya lagi.
Proses pilihan raya NDP ini amat berbeza dengan pilihan raya yang lazim kita lihat dan dengar. Bagi NDP pemilihan untuk memlilih wakil pemimpin dalam satu tempuh yang ditentukan adalah langkah baik bagi memberikan mereka peluang memikir . menilai dan memilih calon yang benar-benar layak .
Masa depan parti bukan hanya ditentukan oleh undi sehari oleh ahli-ahli.
Justeru itu NDP memberikan peluang sedemikian supaya ahli tidak tersalah pilih. (Laporan Juned Ramli)