LIMBARUH HIJAU 26 APRIL 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sedang membuat kajian untuk mengenalpasti potensi membangunkan dan memajukan Lembah Ukong sebagai sebuah kawasan pertanian yang boleh menyumbang kearah menangani isu keselamatan permakanan, isu kemiskinan dan juga masalah banjir dipersekitaran kawasan tersebut.
Perkara ini diketengahkan disatu sesi muzakarah yang dihadiri oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP dan beberapa ahli-ahli NDP dari Biro Perkembangan Industri Asas Tani (PIAT) serta dua pakar perunding bidang ekonomi pertanian dan kemajuan desa dari Malaysia.

Awang Abdullah Bahjou, ahli Lembaga Penasihat NDP yang berasal dari Mukim Ukong sedang memberikan taklimat mengenai kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir. Menurut beliau Mukim Tanjung Maya, Ukong dan Rambai merupakan antara kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir. Tahun 2008 lepas sahaja sebanyak 8 kali banjir berlaku di kawasan-kawasan tersebut
|
Sesi muzakarah berlangsung pada Rabu baru lepas di Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong.
Di sesi muzakarah tersebut sdr Morshidi menjelaskan harapan NDP untuk menyediakan cadangan-cadangan pembangunan menyeluruh bagi lembah Ukong sebaik kajian selesai dibuat.
Aspirasi-NDP dimaklumkan usaha tersebut merupakan kesinambungan usul yang telah dibentangkan dan diluluskan di Kongres Agung Tahunan NDP ke-3 tahun lepas.
Usul tersebut menyentuh masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Daerah Ulu Tutong yang pada tahun 2008 sahaja sebanyak empat kali mengalami banjir.
Banjir yang melanda ini telah banyak membawa kesulitan dan kesengsaraan kepada mereka sama ada dari segi fizikal atau emosinal.
Banjir yang berulangkali setiap tahun itu juga telah banyak menjejaskan punca pendapatan dan usaha penduduk-penduduk di Ulu Tutong dan mengakibatkan beban kewangan selain menyebabkan mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan dan ketakutan.
Kongres NDP tahun lepas mengambil ketetapan supaya Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan yang berkaitan menunjukkan kepekaan dan keperihatinan terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kampong-kampung luar bandar yang sering dilanda banjir.
Antara lain NDP di Kongres tersebut juga mengesa agar Kementerian Pembangunan mengambil tindakan segera dalam melaksanakan projek pendalaman dan pembersihan Sungai Tutong dan anak-anak sungainya yang dipercayai menjadi punca banjir disebabkan air lambat surut.
Dari hasil penyeledikkan awal, NDP mendapati rata-rata penduduk berpandangan banjir tersebut boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya boleh dikurangkan jika sekiranya infrastruktur seperti sistem perparitan dan pembentungan dibuat dan di selenggara dengan baik.
Menurut penduduk di lembah Ukong, banjir yang melanda di beberapa kawasan itu adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya sungai yang semakin cetek, anak-anak sungai yang tidak dibersihkan, ketiadaan parit besar di kiri kanan jalan utama dan jalan kecil di kawasan tersebut sedangkan permukaan jalan raya lebih tinggi dari permukaan lain.
Dari tinjauan NDP, masalah banjir di kawasan-kawasan terlibat boleh dikurangkan jika pihak-pihak berkenaan mengambil langkah-langkah segera upamanya meningkatkan keupayaan pengurusan sungai-sungai, mendalamkan sungai-sungai yang sudah cetek, membersihkan secara konsisten anak-anak sungai dan tali-tali air, membina longkang-longkang besar (monsoon drain) di kiri kanan jalan dan membaik pulih sistem pembentungan / saliran dan perparitan yang sedia ada.
Penyelenggaraan sungai-sungai, tali-tali air dan parit-parit hendaklah dilakukan secara berjadual terutama sekali di kawasan-kawasan mudah banjir. Kealpaan dalam menyelenggara boleh mengakibatkan banjir, banjir kilat yang berulang dan mungkin lebih teruk dari semusim ke semusim.
Semua pihak hendaklah secara bersepadu mengurus fenomena ini dengan penuh tanggungjawab seperti mencegah pemendapan dan hakisan tebing-tebing sungai, mendalamkan dasar sungai, membisaikan (mencantikkan) pemandangan sekitar sungai, membina kunci-kunci air di tempat-tempat perlu dan seumpamanya untuk mencegah banjir.
Dalam masa sama NDP juga yakin masalah banjir boleh dikawal dan dikurangkan malah lembah Ukong yang dianggap lembah pahit ini boleh bertukar wajah bukan sahaja menjadi pengeluar padi terbesar malahan pengeluar sago sebagai makanan asas kedua penting bagi negara serta lain-lain hasil pertanian terbesar negara sekali gus menjadi lombong emas jika ada kemahuan dan “political will” untuk mentransformasikan keadaan itu sebagai peluang.
Atas keyakinan inilah NDP mengambil inisiatif membuat kajian tersebut semata-mata untuk menyumbangkan buah fikiran dan cadangan-cadangan membina yang boleh membantu kerajaan menyelesaikan masalah banjir di Ulu Tutong dan sekali gus membantu merelisasikan agenda keselamatan permakanan dan agenda menangani isu kemiskinan, walluhwa'alam.