BELAIT 24 APRIL 2009 - DENGAR-DENGAR satu rancangan sedang diusahakan untuk memajukan semula Kuala Balai sebagai Pusat Eko
Pelancongan Budaya Daerah Belait.
 |
Menurut berita satu perjumpaan telah diadakan awal bulan Mac lepas di Dewan Qiyadah Pejabat Daerah Belait bagi merangka strategi melaksanakan perancangan tersebut.
Perjumpaan tersebut dilaporkan telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Jamain bin Momin.
Antara yang hadir diperjumpaan tersebut ialah Pengarah Syarikat SHA-ZAN Sendirian Berhad, Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari Ahmad, pegawai-pegawai kanan Jabatan Daerah Belait, wakil daripada Bahagian Pelancongan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Jawatankuasa Projek Eko Pelancongan Kuala Balai, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Penghulu Mukim Kuala Belait dan Ketua Kampong Mumong, wakil penduduk Kampong Kuala Balai dan Puak Belait.
|
Kononnya perjumpaan tersebut merupakan usaha bagi menyokong Pejabat Daerah Belait dan beberapa pihak serta Puak Belait untuk mengembangmajukan Kuala Balai dan seterusnya dijadikan sebagai tempat riadah dan destinasi pelancongan.
Hebat dan ianya akan merupakan satu perancangan yang memang hebat jika ia tidak tinggal rancangan separuh jalan seperti apa yang berlaku hampir sepuloh tahun lalu.
Ya, hampir sepuloh tahun lalu pada tahun 2000 Kuala Balai telah awal-awal lagi dikenalpasti sebagai kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan.
Kuala Balai pada tahun 1920an dulu merupakan pusat pentadbiran awal Daerah Belait. Kawasan Kuala Balai mempunyai ladang kebun buah-buahan tempatan serta hutan tropika dan rumbia yang subur yang dahulunya menjadi sumber perusahaan Ambolong. Justeru ia merupakan khazanah warisan negara yang perlu dipelihara.
Semangat dan kesedaran untuk mengekal dan memelihara salah satu warisan nasional ini berkobar-kobar dikalangan ahli-ahli jawatankuasa ad hoc ketika itu.
Mereka merasa terpanggil untuk menghidupkan semula suasana perkampungan Puak Belait di Kuala Balai.
Cita-cita awal ialah untuk memajukan dan menjadikan Kuala Balai sebagai tumpuan bagi para pengkaji, para pelajar, graduan dan pencinta alam semula jadi untuk membuat kajian dan penyeledikkan yang boleh menyumbang kearah meningkatkan lagi kesedaran akan kepentingan untuk melindung dan memelihara hutan tropika serta tumbuh-tumbuhan dan binatang liar, di samping membantu mengekalkan warisan nasional budaya.
Projek Pusat Eko Pelancongan Budaya Daerah Belait pun mula dilaksanakan bulan Mei 2000 dengan disokong sepenuhnya oleh Pegawai Daerah Belait ketika itu, Dato Paduka Awang Haji Abd. Ghani Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abd. Rahim.
Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk merealisasikan harapan murni itu dengan membina prasarana serta tapak Pusat Eko Pelancongan tersebut diatas tanah kekal Awang Ura bin Ahmad seluas 10 hektar sementara 10 ekar lagi dirancang untuk pembinaan lanjut di kawasan seberang sungai.
Peringkat awal projek dimulakan dengan kerja mengumpul, merekod serta mendokumentasikan segala aspek budaya, adat resam, cerita rakyat, bahasa, sejarah Puak Belait dan seterusnya mendapat ilham untuk menjadikan Kuala Balai sebagai salah satu lagi destinasi menarik di Daerah Belait bagi mendukung seruan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini khususnya dan Negara Brunei Darussalam amnya, di samping memperkembang majukan industri pelancongan.
Projek Pusat tersebut Fasa I telah pun dibina hasil kerja gotong royong, kerjasama dan sokongan dari pelbagai peringkat dengan membina prasarana Rumah Budaya Puak Belait, laluan papan menuju ke Rumah Budaya, jeti, tandas sementara, papan tanda, pentas dan tempat letak kereta.
Satu ketika dulu Kuala Balai kembali ceria. Persatuan-persatuab belia mengunakan kawasan tersebut untuk membuat aktiviti-aktiviti berkebajikkan. Persembahan-persembahan budaya juga sering diadakan bagi pelancong-palancong yang berkunjung ke Kuala Balai.
Malangnya projek yang menelan belanja berjuta ringgit ini merupakan projek 'angat-angat tahi ayam'.
Projek Fasa pertama, seperti yang disaksikan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) bersama rombongan yang terdiri dari dua pakar perunding dari Kuala Lumpur dan beberapa ahli-ahli parti yang berkunjung ke Kuala Balai Rabu kelmarin, sudah hancur lebur.
Rumah Budaya Puak Belait, laluan papan menuju ke Rumah Budaya, jeti, tandas sementara, papan tanda, pentas dan tempat letak kereta yang dibina sepuloh tahun lalu tidak berupa lagi. Semuanya hancur!!!.
Sedih, sedih dan sangat menyedihkan. Lebih menyedihkan apabila mendapat tahu diperjumpaan yang disebutkan awal tadi 'angan-angan' untuk membelanjakan BND 1 juta ringgit lagi bagi melaksanakan fasa kedua projek tersebut.
Dalam perancangan Fasa II dicadangan pembinaan Pusat Kajian, Kawasan Perkhemahan, Pusat Informasi, landskap, pembinaan pengembaraan trek melalui hutan dan kemudahan lainnya.
Kononnya antara matlamat prasarana fasa II ini bagi memelihara warisan budaya rakyat, menjadi pusat penyelidikan dan kajian akademik serta mewujudkan prasarana interaktif, pusat tarikan pelawat dalam dan luar negeri di samping mempelbagai dan memperkembang kegiatan eko-pelancongan serta kegiatan ekonomi negara.
Jika projek tersebut siap kononnya akan boleh memberi pelbagai faedah antaranya kepelbagaian ekonomi, peluang pekerjaan dan peluang perusahaan yang dikendalikan oleh pengusaha kecil dan sederhana (SME)
Mahu dikatakan rancangan baru ini melucukan mungkin tidak tepat kerana semasa rombongan NDP melawat perasaan yang dialami ialah kesedihan. Sedih kerana memikirkan pembanziran wang negara dalam projek yang telah hampir sepuloh tahun dibina sepatutnya sekarang sudah berjaya melihatkan hasil yang dicita-citakan.
Sedih memikirkan kerana sekarang sudah ada cadangan untuk membelanjakan BND 1 juta lagi bagi memajukan projek yang sudah gagal itu.
Sepatutnya perkara utama yang perlu ditangani dari awal lagi ialah isu pengurusan berterusan, pemeliharaan dan 'sustainability' projek sedemikian.
Ide untuk memulihara dan memajukkan Kuala Balai sebagai pust eko pelancongan selaras dengan hasrat untuk memeliharanya sebagai khazanah warisan negara memang wajar dan tidak dipersoalkan.
Persoalannya kenapa sudah hampir sepuloh tahun ditinggalkan dan diabaikan baru hendak dimajukan semula?
Apakah kita sudah ada atau baru terjumpa satu formula dan strategi yang cukup mantap untuk mempastikan projek tersebut tidak lagi menjadi projek angat-angat tahi ayam?.
Apakah kita sudah ada formula dan strategi yang cukup mantap untuk mempastikan bajet BND 1 juta yang akan dipohonkan tidak akan terbuang begitu sahaja, masuk kocek pemaju-pemaju yang bakal mendapat projek baru ini?
NDP penuh berharap pihak-pihak berkenaan akan memberikan perhatian yang serious kepada isu agar tidak menjadi bahan ketawa rakyat yang sentiasa peka akan perkembangan dan kemajuan negara. (MHO) |