EKONOMI dunia akan menyusut tahun ini untuk pertama kalinya sejak 1945. Berikutan itu, sesetengah ahli ekonomi bimbang krisis semasa boleh menjadi permulaan kepada berakhirnya globalisasi. Keadaan ekonomi yang sukar ini dikaitkan dengan usaha perlindungan dengan setiap negara saling menyalahi dan masing-masing mempertahankan langkah diambil di negara sendiri.
Pada 1930-an, polisi ‘mengemis daripada negara jiran’ memburukkan lagi keadaan. Jika pemimpin politik tidak menentang tindakan itu, tidak mustahil sejarah lalu boleh berulang. Ironinya, prospek yang suram itu tidak menggambarkan berakhirnya globalisasi yang ditafsirkan sebagai peningkatan rangkaian kebergantungan di seluruh dunia.
Globalisasi itu sendiri ada beberapa dimensi, walaupun ahli ekonomi kerap menggambarkannya sebagai sama saja, bentuk masalah sejagat lain juga ada kesan pentingnya - bukan semuanya berbahaya dalam kehidupan seharian kita.
Jika dilihat, masalah sejagat yang tertua adalah alam sekitar. Contohnya, wabak cacar yang direkodkan di Mesir pada 1350 sebelum Masihi. Ia menyerang China pada Tahun Masihi 49, Eropah selepas 700, Amerika Syarikat (1520) dan Australia (1989). Wabak Bubonik itu berasal dari Asia, tetapi merebak dan membunuh kira-kira satu perempat hingga satu pertiga penduduk Eropah pada abad ke-14.
Orang Eropah membawa penyakit itu ke Amerika pada abad ke-15 dan 16 yang memusnahkan 95 peratus penduduk pribuminya. Pada 1918, wabak selesema burung membunuh kira-kira 40 juta penduduk di seluruh dunia, lebih teruk daripada perang dunia. Sesetengah ahli sains hari ini meramalkan penyebaran wabak selesema itu akan berulang.
Sejak 1973, sejumlah 30 penyakit berjangkit yang sebelum ini tidak diketahui atau dikenali muncul. Penyakit biasa yang kita kenali pula merebak dalam bentuk baru yang terbukti kebal ubat-ubatan. Selepas 20 tahun penemuan HIV/Aids pada 1980, ia sudah membunuh 20 juta orang dan menjangkiti lebih 40 juta orang di seluruh dunia.
Sesetengah pakar meramalkan jumlah itu akan meningkat dua kali ganda pada 2010. Penyebaran spesies asing flora dan fauna ke tempat baru pula memusnahkan spesies tempatan yang boleh menyebabkan kerugian ekonomi mencecah beratus-ratus bilion dolar setahun.
Perubahan cuaca global sudah pasti memberi kesan dalam kehidupan manusia di pelosok dunia. Ribuan saintis lebih 100 negara, baru-baru ini melaporkan ada bukti baru yang kukuh menunjukkan masalah pemanasan yang berlaku sejak 50 tahun lalu disebabkan aktiviti manusia.
Purata suhu global pada abad ke-21 juga diramal meningkat antara 2.5 hingga 10 darjah Fahrenheit. Kesannya pula berbeza - ada terlalu banyak air di sesetengah wilayah, manakala di tempat lain pula sumber ini tidak mencukupi.
Kesannya termasuk ribut taufan, banjir, kemarau dan tanah runtuh. Suhu yang meningkat menyebabkan kecelaruan cuaca, memanjangkan musim panas di banyak wilayah, selain mencairkan glasier atau ais. Tahap peningkatan paras laut sejak abad lalu pula, 10 kali lebih cepat berbanding purata tahap kenaikan paras laut sejak tiga alaf lalu.
Tidak ketinggalan, globalisasi ketenteraan yang mengandungi rangkaian saling bergantung apabila wujudnya ancaman kekerasan. Perang dunia pada abad ke-20 misalnya, boleh menjadi rujukan. Era globalisasi ekonomi mencecah kemuncaknya pada 1914 dan terbantut akibat perang dunia. Tetapi, ketika integrasi ekonomi tidak mencapai kekuatannya seperti tahap pada 1914 sehinggalah setengah abad kemudian, kesejagatan ketenteraan pula berkembang ketika globalisasi ekonomi menyusut.
Ketika era Perang Dingin, strategi saling bergantung antara Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union disifatkan penting dan turut diperakui. Ini menghasilkan pakatan yang merentasi dunia biarpun baik AS dan Russia boleh menggunakan peluru antara benua untuk memusnahkan satu sama lain dalam masa 30 minit.
Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan kerana ia bukan saja baru, tetapi tahap dan potensi meningkatnya konflik hasil saling kebergantungan tentera itu sebegitu besar.
Hari ini, al-Qaeda dan kumpulan pengganas lain yang merentas sempadan negara, membentuk operasi rangkaian global yang mencabar pendekatan konvensional kepada pertahanan kebangsaan menerusi apa dikenali sebagai ‘peperangan asimetrik.’
Akhirnya, globalisasi sosial merangkumi penyebaran manusia, budaya, imej dan idea. Penghijrahan adalah contoh paling ketara. Pada abad ke-19, kira-kira 80 juta orang merentasi lautan mencari tempat baru, jauh lebih banyak berbanding abad ke-20. Pada awal abad ke-20, 32 juta rakyat AS (11.5 peratus daripada jumlah penduduk) adalah berketurunan asing. Selain itu, kira-kira 30 juta pelawat iaitu pelajar, ahli perniagaan dan pelancong, mengunjungi negara itu setiap tahun.
Idea juga aspek yang tidak kurang pentingnya dalam kesejagatan sosial. Teknologi memudahkan pergerakan fizikal, tetapi reaksi politik tempatan yang menentang kehadiran pendatang, kian ketara biarpun sebelum krisis ekonomi berlaku.
Apa yang menjadi bahaya pada masa ini adalah reaksi perlindungan jangka pendek krisis ekonomi yang boleh membantu menangani globalisasi ekonomi yang berkembang dan mengeluarkan beratus-ratus juta orang daripada kemiskinan sejak setengah abad lalu. Tetapi, perlindungan saja tidak mungkin dapat mengekang masalah globalisasi lain.
Teknologi moden juga memungkinkan penyakit merebak lebih cepat berbanding zaman sebelumnya. Perjalanan yang mudah ditambah pula keadaan ekonomi yang sukar menjadikan kehadiran pendatang boleh mencecah ke tahap melangkaui faedah ekonomi. Juga, tempoh sukar ekonomi boleh memburukkan hubungan antara kerajaan, selain konflik tempatan yang boleh mengundang keganasan.
Pada masa sama, pengganas yang merentasi sempadan akan terus memanfaatkan teknologi maklumat moden seperti internet. Ketika kemelesetan ekonomi berkemungkinan memperlahankan tahap pelepasan gas rumah hijau, ia juga boleh menjejaskan pembiayaan program yang diperlukan bagi menangani masalah ini.
Oleh itu, selagi kerajaan tidak bekerjasama untuk merangsang ekonomi mereka dan mengelak dasar perlindungan, dunia mungkin berdepan krisis ekonomi semasa yang bukan menamatkan masalah globalisasi, tetapi juga semua jenis kebaikan dan menjadikan keadaan dunia yang lebih buruk. (Dipetik dari Berita Harian Malaysia)
Penulis ialah profesor di Universiti
Harvard iaitu antara sarjana berpengaruh dalam perhubungan antarabangsa sejak 20 tahun lalu
|