BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 2 Jamadilawwal 1432 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menyokong sepenuhnya inisiatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menaik taraf Kampong Air demi kepentingan keselamatan dan keselesaan para penduduk-penduduk yang tinggal di Kampung Air selain untuk meningkatkan imej Kampung Air sebagai sebuah warisan dan khazanah yang dapat dibanggakan dan berdaya tahan bagi generasi-generasi yang akan datang.
Ini kerana inisiatif Baginda tersebut selaras dengan wawasan NDP, bak kata pepatah walaupun tidak tidur sebantal namun mimpi baginda dan rakyat tetap sama.
Dalam Manifesto Politik NDP 2006 - 2016 dan seterusnya diusulkan di kongres-kongres tahunan parti sejak 5 tahun kebelankangan ini, NDP telah mencadangkan dan telah berikrar untuk menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM dalam sebarang usaha untuk merancang dan melaksanakan dasar pembangunan bandar, dan di dalam kerangka ini, Parti Pembangunan mempersembahkan wawasannya seperti berikut :
- Meningkatkan imej dan konsep Kampung Air dengan kemudahan rumah tumpangan dan perhotelan, bank dan premis perniagaan, dan mengikis imej orang tidak bertanah dan miskin dan menjadikannya kawasan tarikan pelancong dan peniaga sebagai mercu tanda keunikan Negara Brunei Darussalam;
- menjadikan Kampung Air sebagai pusat perdagangan. Sudah ratusan tahun konsep satu kampung satu produk diamalkan di Kampung Air. Umpamanya Kampung Saba adalah pengeluar bahan makanan laut, Kampung Lorong Sikuna adalah pengeluar tenunan songket yang popular. Kampung Pandai Besi adalah pengeluar produk dari bahan logam seperti parang dan pisau. Kampung Burong Pingai sebagai pengeluar makanan kuih-muih tradisional dan Kampung Sungai Kedayan sebagai pengeluar produk perak dan emas. Justeru itu, Parti Pembangunan menyeru supaya dikaji kemungkinan konsep ini dapat dihidupkan semula dan diberi nafas baru. Ia bukan saja mampu menjana ekonomi pengusaha tempatan tetapi juga boleh menjadi tarikan pelancong yang unik di dunia.
Alhamdullilah nampaknya 'mimpi' Baginda Sultan dan NDP tentang masa depan Kampong Air hampir menjadi kenyataan.
Untuk itu izinkan NDP berdatang sembah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kehadapan majlis Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda untuk menaik taraf Kampong Air dan seterusnya menaja secara peribadi projek perintis menaik taraf Kampong Air.
Sementara itu kearah mencapai matlamat tersebut, menurut Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, baginda telah menitahkan bagi pembentukan sebuah Jawatankuasa Pandu yang keahliannya terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Jawatankuasa pandu ini akan bertanggungjawab dalam merangka pelan tindakan termasuk menyediakan reka bentuk rumah-rumah yang akan dibina, infrastruktur dan kemudahan-kemudahan lain serta penyediaan peruntukan perundangan yang bersesuaian bagi membolehkan penggeranan dikeluarkan ke atas rumah-rumah berkenaan.
Projek Perintis Menaik Taraf Kampung Air ini, meurut Pehin Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi, merupakan inisiatif Kebawah DYMM yang sangat perihatin terhadap hal ehwal kesejahteraan rakyat dan penduduk yang tinggal di Kampung Air.
Baginda, jelas Pehin Suyoi di Majlis Penandatanganan Projek Perintis Menaik Taraf Kampung Air yang diadakan di Istana Nurul Iman kelmarin, ingin melihat tahap pembangunan di Kampung Air akan lebih teratur, selesa dan selamat untuk didiami oleh rakyat baginda, di samping akan dapat memberikan gambaran baik serta mempertingkatkan imej Kampung Air sebagai sebuah warisan dan khazanah yang dapat dibanggakan dan berdaya tahan bagi generasi-generasi yang akan datang.
Yang Berhormat menambah, walaupun Kampung Air merupakan salah satu tempat tarikan pelancong namun tidak semua rumah-rumah yang ada pada masa ini boleh dijadikan tempat untuk dilawati kerana ada di antaranya kurang mengizinkan dan kebanyakan rumah-rumah yang ada di sekitar Kampung Air boleh dikatakan dalam keadaan yang menyedihkan, tidak teratur, kurang elok dan tidak berperancangan.
Ke arah itu pelaksanaan Projek Perintis ini tambahnya akan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan sebagai Agensi Peneraju (Lead Agency) di mana projek ini akan melibatkan pembinaan sebanyak 65 buah rumah.
Kos pembinaan rumah-rumah tersebut jelasnya akan dibiayai sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Manakala kawasan yang akan terlibat dalam projek ini terangnya adalah kawasan lapang di Mukim Peramu dan Mukim Saba dan pelaksanaanya dijadualkan akan bermula pada bulan April dan dijangka akan siap pada penghujung tahun ini iaitu selama tujuh bulan.
Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Kewangan Kedua, Yang berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Nawawi.
Antara ciri-ciri rumah yang dibangunkan ialah penggunaan bahan binaan mesra alam pada dinding rumah bagi menggantikan bahan kayu yang lazim dipakai di Kampung Air di samping penyerapan kawasan landskap juga akan diadakan pada pusat-pusat titian penghubung.
Kedudukan jarak di antara rumah ke satu rumah yang lain pula mengambil kira jarak yang bersesuaian mengikut garis panduan bangunan yang ada bagi tujuan keselamatan di samping mengurangkan risiko kebakaran di Kampung Air.
Selain dari pembinaan rumah-rumah, projek tersebut juga akan melibatkan penyediaan infrastruktur yang komprehensif termasuk pembinaan rangkaian titian penghubung yang berintegrasi, kawasan terbuka dan perkhidmatan-perkhidmatan asas bangunan serta pembinaan loji rawatan kumbahan, bagi penggunaan sistem vakum pembetungan yang digunakan khas untuk projek ini.
Dalam projek ini, dua buah kawasan terbuka juga akan dibangunkan, bagi kemudahan penduduk kampung mengendalikan acara-acara keraian dan riadah.
Sementara sistem vakum pembetungan yang akan dibangunkan pada kawasan ini merupakan inisiatif kerajaan bagi mengadakan sistem pengurusan sisa pepejal di Kampung Air yang bersistematik dan bersih.
Sistem ini dirancang untuk diteruskan di masa akan datang pada semua kawasan-kawasan di Kampung Air, bagi memberikan impak yang besar dalam menjaga alam sekitar dan perairan Sungai Brunei.
Projek Perintis Menaik Taraf Kampung Air ini juga dihasratkan untuk dijadikan landasan awal yang diharap dapat dilaratkan kepada Kampung-kampung Air yang lain, dengan menyediakan prasarana dan kemudahan-kemudahan awam, yang dapat digunakan oleh penduduk di Kampung Air bagi menjana kualiti kehidupan yang lebih selamat, sempurna dan sihat.
Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, syarat-syarat pembangunan dan syarat-syarat perundangan pemilikan rumah-rumah di Kampung Air ini juga akan diteliti dan disusun bagi memastikan keadaan kawasan Kampung Air bersih, tersusun, dan pemilikan hartanah yang berupa rumah itu nanti akan dikhususkan untuk rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di Kampung Air.
Menandatangai kontrak bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Arkitek Haslinawati binti Haji Abd. Halim.
Manakala bagi pihak Syarikat Tobishima (Brunei) Sdn. Bhd. ditandatangani oleh Pengarah syarikat berkenaan, Tetsuya Shirasaki dan Pengurus Projek, Koji Tomoshige.
Majlis Penandatanganan disaksikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Projek Perintis Menaik Taraf Kampung Air. |