Seramai 13 orang ahli-ahli Biro Hal Ehwal Pengguna NDP dengan diketuai oleh Hj Metussin Hj Ibrahim, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Negeri Sabah bermula 21-26 Mac 2010 baru lalu.
Semasa lawatan ke Sabah, rombongan juga berpeluang mengadakan kunjungan kehormat kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj Yahya Hussin, merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
Didalam kunjungan kehormat tersebut, Ketua Biro Pengguna telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai tujuan rombongan untuk menimba pengalaman disamping mempelajari dan bertukar-tukar pendapat didalam peranan serta fungsi Biro Pengguna yang khususnya didalam soal-soal hak keselamatan pengguna.
Didalam taklimat balas YB Timb Ketua Menteri Sabah mengalu-alukan dan berterima kasih atas kunjungan ahli-ahli rombongan Biro Pengguna NDP dari Negara Brunei Darussalam.
YB selaku Menteri Pertanian Sabah berharap akan banyak lagi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dari Brunei berkunjung kenegeri Sabah. Taklimat itu telah berlangsung diruang persidangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Kota Kinabalu.
Sementara itu rombongan Biro Pengguna juga membuat beberapa kunjungan dan lawatan ke kementerian-kementerian yang bersangkut paut dengan hal ehwal pengguna, seperti kunjungan kehormat kepada Yang Berbahagia, Tun Datuk Seri Panglima (DR) Haji Sakaran Dandai, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).
Dihari berikutnya rombongan Biro Pengguna juga membuat kunjungan kepada Yang Berbahagia, Datuk Patrick Sindu, Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang diadakan diruang ligar Marina Club, Sutera Harbour Sabah.
Semasa taklimat itu Datuk Patrick menerangkan peranan dan fungsi Persatuan Pengguna Sabah.
Rombongan seterusnya membuat kunjungan kepada, Tuan Haji Khairan Utoh, Pengarah SIRIM Seluruh Sabah Malaysia.
Didalam taklimat tersebut Pengarah SIRIM, Tuan Hj Khairan telah mengalu-alukan kedatangan rombongan Biro Pengguna NDP dari Brunei Darussalam. Beliau memberikan taklimat mengenai peranan SIRIM dalam memelihara keselamatan pengguna terutamanya dalam pengeluaran, cara proses serta pemakaian barangan dan produk-produk.
Selain membuat kunjungan muhibbah, rombongan juga melawat ke tempat KO-NELAYAN Tuaran Sabah untuk meninjau secara dekat proses pembenihan anak-anak ikan dan udang.
Rombongan ahli Biro Pengguna berkesempatan meninjau dibeberapa tempat pembenihan dan kolam-kolam menternak seperti ikan telipia merah, ikan keli afrika, uadang putih dan udang harimau. Laporan Erin Kisar