LIMBARUH HIJAU 14 APRIL 2008 - PENGARAH Eksekutif Pusat Penyelidikkan Strategi dan Dasar (CSPS) Negara Brunei Darussalam telah turut meluahkan pandangan mengenai keupayaan jentera Kerajaan memacu masa depan kemajuan ekonomi negara yang sekarang melalui proses pemulihan untuk mempertahankan pendapatan per kapita dari terus menurun.
Sejak Rancangan Kemajuan Negara ke 6 kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga telah berada ditahap yang rendah.
Di musim RKN 6 bagi tahun 1991 - 1995 contohnya, kadar KDNK hanya 3.2 peratus. Ianya menurun kepada 1.3 peraus di musim RKN 7 bagi tahun 1996 - 2000 dan meningkat sedikit kepada 2.1 peratus di musim RKN ke 8 bagi tahu 2001 - 2005. Dalam masa sama negara-negara di Asia menikmati kadar pertumbuhan 5 ke 8 peratus setahun.
Di musim RKN ke 9 bagi tahun 2007 - 2012 ini iaitu program terbaru pembangunan negara kearah mencapai Wawasan Brunei 2035, terdapat kekhuatiran bahawa negara mungkin akan menghadapi masalah yang sama memandangkan jentera kerajaan yang telah gagal selama 15 tahun kebelakangan ini sejak 1991 belum lagi dapat dibaikpulih sepenuhnya.
Walaupun peta laluan kearah Wawasan Brunei 2035 nampak hebat, keadaan sebenar menunjukkan jentera kerajaan belumlah bersedia untuk membawa negara kearah matlamat menjadi sebuah negara gemilang dan terbilang diseluruh dunia yang mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta mempunyai pendapatan per kapita yang teratas setara dengan 10 negara teratas dunia dalam masa 27 tahun dari sekarang.
"Mempelbagai ekonomi, mempertingkat keberkesanan jentera pengurusan dan pentadbiran Kerajaan serta membangunkan sumber insan merupakan antara kunci utama usaha yang perlu dilaksanakan untuk mengelakkan kadar pendapatan per kapita negara ini dari terus menurun, kata Dr Azharaini Mohd Jamil merujuk kepada penurunan pendapatan per kapita negara yang telah didedahkan di satu forum anjuran London School of Economies baru-baru ini.
Laporan terbaru WTO (Pertubuhan Perdaggangan Dunia - World Trade Organisations) menunjukkan kadar per kapita negara pada $41,000. Walaupun dalam perkiraan piawaian Asia kadar ini masih dikira agak tinggi, namun menurut susunan tangga dunia, Brunei telah jatuh ke tangga ke 34.
"Setentunya mempertingkatkan keberkesanan jentera Kerajaan adalah kunci utama segalanya. Dalam usaha menarik pelaburan asing langsung untuk melabur di negara ini perlukan keberkesanan dan untuk mewujudkan keberkesanan bergantung kepada usaha memajukan sumber insan di negara ini", ujarnya lagi.
Dr Azharaini melihat penurunan pendapatan per kapita tersebut disebabkan kelembaban ekonomi negara.
"Perkembangan ekonomi negara sangat pelahan dan ini menyebabkan kurangnya aktiviti ekonomi dipasaran tempatan. Peruntukkan (bajet pembangunan) tidak digunakan sepenuhnya mungkin disebabkan oleh kurang keberkesanan jentera kerajaan tersebut", katanya memberikan pandangan.
Walaupun demikian mempertingkatkan keberkesanan jentera (pengurusan dan pentadbiran) kerajaan hanya merupakan salah satu kunci menangani masalah penurunan pendapatan per kapita negara.
Kita menaruh harapan usaha mempelbagai ekonomi melalui perlaksanaan projek Taman Industri Sungai Liang dan Pelabuhan Pindah Kapal (Transhipment) Pulau Muara Besar berjaya merubah gambaran ekonomi masa depan, tambah Dr Azharaini.
Sementara itu seorang pakar bidang kejuruteraan dalam temu bual baru-baru ini dengan sebuah akhbar tempatan, juga turut terkilan dengan kegagalan Kerajaan kebelakangan ini dalam usaha mempelbagai ekonomi negara terutama sejak kemelesetan ekonomi dunia pada 1996.
"Pada masa ini kita masih lagi beruntung dengan adanya kenaikkan harga minyak. Akan tetapi tidak sedimikain pada 1996, 1997 yang menunjukkan betapa negara terdedah kepada risiko disebabkan pergantungannya kepada satu dua sumber pendapatan sahaja".
"Makanya adalah sangat kritikal bagi Brunei menilai semula langkah-langkah mengurangkan pergantungan berterusan negara keatas sumber minyak dan gas, melihat semula inisiatif-inisiatf yang sudah diambil dan belum diambil serta pencapain-pencapaian yang telah dibuat dan belum dibuat".
"Bagi saya perencanaan akan tinggal perencanaan jika tidak didokong dengan tindakan dalam erti kata lain tindakan dalam menyediakan prasarana dan kemudahan yang bersesuaian bagi memudahkan kita mencapai matlamat yang diharapkan", kata jurutera tersebut yang tidak mahu namanya didedahkan.
Komentar pegawai kanan badan penyelidik kerajaan dan juga pandangan pakar bidang kejuruteraan tersbut menambahkan lagi kebimbangan NDP yang awal-awal lagi telah meluahkan kerisauan terhadap peta laluan Wawasan Brunei 2035 yang diumumkan kerajaan melalui Jawatankuasa Perencana Jangka Panjang Kemajuan Negara pada Februari lalu.
Kebimbangan NDP bukan setakat persoalan sama ada kita boleh mencapai matlamat wawasan yang disebutkan, tetapi terhadap kesan dan implikasinya kepada rakyat dan penduduk jika negara terus gagal melaksanakan program-program pembangunan negara dengan lebih efisyen dan berkesan.
Seperti apa yang dikatakan oleh Dr Richard Leete, seorang pegawai kanan UNDP baru-baru ini, sistem pendidikan Negara Brunei sahaja sejauh ini masih gagal untuk melahirkan masyarakat yang berpendidikan tinggi dengan secukupnya untuk membolehkan negara dikitiraf sebagai negara maju.
Hanya yang dapat dilahirkan oleh sistem pendidikan negara selama 24 tahun yang lalu ini ialah masyarakat yang majoriti berpendidikan rendah dan menengah sahaja.
Untuk Brunei menghasilkan lebih ramai rakyat berpendidikan tinggi mungkin memakan masa satu generasi lagi; itu pun jika sekiranya keberkesanan sistem pengurusan dan pentadbiran negara dapat dipulihbaik dan dipertingkatkan dari sekarang.
Dalam jangka waktu satu generasi ini merupakan saat genting bagi negara untuk bergerak pantas menuju matlamat yang dicita-citakan, menurut pandangan Dr Richard Leete merujuk kepada bagaimana Qatar sekarang yang berada d tangga ke 37 sudah bergerak seperti keretapi ekpress untuk naik ke tangga teratas dunia.
Seperti yang pernah dikatakan Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP dan Timbalan Presiden sdr Mahmud Morshidi Othman, negara sekarang berada dalam 'injury time' yang semakin singkat.
Rebah bangun masa depan bangsa dan negara bergantung penuh kepada keupayaan negara memulihkan, dalam jangka waktu kecederaaan ini, keadaan yang buruk dan mengecewakan ini yang telah dialami sejak Brunei merdeka 24 tahun lalu.
Kerana kegagalan sistem pengurusan dan pentadbiran dan kelekaan orang-orang gomen menjalankan tugas dan tanggunjawab kepada rakyat selama lebih dua dekad yang lalu, lebih 20,000 orang jatuh miskin, lebih 40,000 keluarga belum mempunyai rumah kediaman sendiri, lebih 30,000 rakyat dikhuatiri menghidap pelbagai jenis penaykit jiwa dengan lebih 6,000 sudah sah sakit jiwa manakala penyakit sosial dikalangan belia remaja turut meningkat, jumlah pengangguran mencecah lebih 7000, serta jumlah peniaga Melayu yang muflis juga turut meningkat.
Dapat dibayangkan jika dalam waktu kecederaan ini kita juga terus gagal, nauzubillah, berapa ramai lagi rakyat yang akan jatuh miskin, tidak berumah, menggangur, menjadi gila, rosak akhlak dan muflis.
Inilah yang menjadi kerisauan NDP dan atas kesedaran inilah NDP akan terus berazam dan berusaha dengan penuh ilitizam untuk membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan zuriat Baginda menyelamatkan negara dan bangsa dari kancah kehancuran ini. (MHO) |