LIMBARUH HIJAU APRIL 26 2008 - Terdapat sesetengah golongan berpandangan bahawa demokrasi merupakan ciptaan Barat dan hadiah palsu imperialis Barat kepada juhala' Islam, justeru ianya mesti ditolak jauh-jauh.
Mereka berpendapat demokrasi ialah ideologi sesat dan menyesatkan justeru adalah menjadi kewajiban bagi setiap umat Islam menentangnya.
Dalam masa sama ada pula yang berpendapat Islam itu senidiri tidak menolak demokrasi kerana semangat yang dibawanya tidak bercanggah dengan tuntutan Islam yang memberikan kebebasan kepada manusia untuk membuat pilihan.
Perbahasan mengenai Islam dan demokrasi tidak disangkalkan selalu menimbulkan kontroversi yang boleh sahaja membinggungkan dan mengelirukan tambahan lagi dimasa kini tiupan kencang angin demokrasi dari Barat yang tidak henti-henti meniupkan perubahan kepada dunia Islam termasuk Brunei.
 |
"Dalam membincangkan konsep Islam dan demokrasi, kita tidak boleh terikat dengan definisi yang rigid dan kaku", sdr Mohd Izani Mohd Zain, pensyarah dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru mengingatkan peserta-peserta forum 'Isu-Isu Globalisasi, Pembangunan dan Demokrasi' yang berlangsung di Anjung Syura, dewam mesyuarat markas pusat Parti Pembangunan Bangsa di Jerudong.
"Sebagai contohnya, Islam tidak boleh dibincangkan dengan demokrasi jika sistem politik ciptaan barat itu disorot dari sudut kebebasan individu dan kedaulatan manusia semata-mata. Begitu juga demokrasi tidak boleh dibincangkan dengan konsep politik Islam jika konsep tersebut dilihat hanya dari sudut kedaulatan Allah semata-mata", jelas sdr Mohd Izani.
Justeru katanya, perbincangan Islam dan demokrasi harus dimulakan dengan mencari titik temu antara kedua-dua sistem tersebut.
|
"Walau bagaimanapun, pencarian titik temu itu bukanlah bermaksud untuk mencapai kesimpulan bahawa Islam dan demokrasi itu adalah sama. Namun apa yang boleh kita katakan ialah Islam dan demokrasi mempunyai beberapa persamaan yang boleh dihubungkaitkan", tegasnya lagi.
Tambahnya antara perkara yang boleh ditawarkan dalam Islam ialah shura (perundingan), ba'ya (janji ketaatan bersama), ijma' (persemuafakatan), ijtihad (penterjemahan) dan maslaha (kepentingan awam) kepelbagaian (al-ta’addudiyyah), pertangungjawaban awam (al-mas’uliyyah), ketelusan (shafafiyya) (Haddad,1995).
"Kesemua prinsip tersebut dapat menunjukkan bahawa Islam tidak kurang dalam landasan-landasan asas yang serasi dengan aturcara dan matlamat demokratik", bahasnya di froum tersebut.
Sementara itu pendapat yang dibentangkan oleh sdr Mohd Izani tersebut telah mengajak peserta-peserta forum yang terdiri dari ahli-ahli Lembaga Penasihat dan Majlis Tertinngi NDP serta ahli-ahli parti yang lain untuk melihat pendirian NDP mengenai perkara yang sama.
Dalam konteks pengamalan demokrasi, NDP berpendapat ianya boleh di terimapakai selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Justeru konsep syura dalam Islam adalah menjadi pegangan NDP dalam membuat segala keputusan.