WASHINGTON: Krisis makanan dunia semakin meruncing dengan sekurang-kurangnya tiga negara pengeluar utama beras bertindak menguatkuasakan larangan eksport, menyebabkan harga komoditi itu melambung di pasaran antarabangsa, semalam.
Langkah Vietnam, Brazil dan India menyekat eksport beras bagi menjamin bekalan mencukupi untuk rakyatnya juga mencetuskan kebimbangan sehingga mendorong mereka menyorok bahan itu, manakala beberapa negara lain menaikkan harganya.
Di Thailand yang juga pengeksport utama beras dunia, harga makanan ruji itu meningkat kepada kira-kira AS$1,000 (RM3,150) setan semalam, iaitu kenaikan kira-kira 70 peratus sepanjang tempoh empat bulan tahun ini.
Malah, harga beras putih 100 peratus gred B Thailand yang menjadi penanda aras dunia, dijangka melonjak sehingga AS$1,300 (RM4,095) setan berikutan permintaan negara pengimport nombor satunya, Filipina yang dilapor menghadapi kekurangan bekalan 500,000 tan, minggu lalu.
Seorang pegawai Bank Dunia berkata, Thailand yang membekalkan sepertiga bekalan beras dunia mungkin mengehadkan jualannya tahun ini, manakala bekalan gandum, jagung dan kacang soya juga semakin sukar diperoleh, menyebabkan ketegangan di beberapa negara termasuk Haiti dan Mesir.
"Kita sebenarnya tidak mengambil berat infrastruktur pengeluaran beras dan mengabaikan penyelidikan teknologi pengeluaran padi sejak 15 tahun lalu," kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa di Filipina, Robert Zeigler dalam satu temu bual, semalam.
Di Vietnam, pengeksport kedua terbesar dunia, harga beras mencecah lebih AS$1,200 (RM3,780) setan, menyebabkannya mengambil langkah melarang eksport sehingga Jun depan bagi menstabilkan harga serta meredakan inflasi.
Iran dan Indonesia yang lazimnya membeli beras Thailand sehingga sejuta tan setahun, belum membuat pesanan tahun ini berikutan harganya yang meningkat, manakala Brazil dan India turut menyusuli langkah Vietnam menguatkuasakan larangan eksport.
Peningkatan harga beras yang ketara dalam tempoh seminggu juga menyebabkan beberapa negara Asia cemas mengenai kemungkinan berlakunya krisis makanan yang boleh menjurus kepada kekacauan kerana sehingga ini tiada tanda harga makanan akan turun. Agensi