FORUM ISU-ISU GLOBALISASI, ISLAM DAN DEMOKRASI

Institusi Raja dan demokrasi

 
 

LIMBARUH HIJAU 21 APRIL 2008 - Peranan institusi Raja dalam konteks pembangunan Negara moden merupakan antara topik perbincangan di sesi forum 'Isu-Isu Globalisasi, Islam dan Demokrasi ' baru-baru ini.

Dari pengalaman Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, amalan demokrasi yang sihat dalam kehidupan berbangsa dan bernegara merupakan antara elemen penting memperkukuh institusi Raja di negara tersebut

Perkara ini ditekankan oleh Professor Madya Abdul Razak Ahmad dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) disesi forum satu hari tersebut yang telah berlangsung di Anjung Syura, dewan mesyuarat Parti Pembangunan Bangsa (NDP).

Forum yang telah mempersembahkan 4 tajuk perbincangan berkisar 'Isu-Isu Globalisasi, Islam dan Demokrasi' dianjurkan oleh ION-E Communications dengan kerjasama NDP.

Menurut Professor Abdul Razak konsep pembangunan Negara moden sedang melalui proses pemikiran semula yang menuntut kearah pemerintahan yang berintegriti serta ‘accountable’, proses pembangunan yang mapan dan lestari, hak kebebasan untuk bersuara, berpersatuan serta keterlibatan setiap warga dalam proses pemerintahan Negara.

Dalam masa sama kita juga diajak melihat dimana letaknya peranan institusi Raja dalam proses melaksanakan konsep pembangunan Negara moden ini.

Pengalaman Malayisa selepas Pilihan Raya Umum ke 12, tambahnya, telah menyaksikan bagaimana institusi Raja dalam sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan di negeri-negeri Melayu telah dapat memainkan peranan penting sebagai pelindung kepada kepentingan bangsa Melayu dan rakyat jelata yang lain selaras dengan semangat perlembagaan negara.

Institusi Raja contohya, atas semangat memelihara ketuanan Melayu, kepentingan rakyat umum dan negara berpandukan perlembagaan negara, telah dapat memainkan peranan dalam proses membuat keputusan atas perlantikkan Menteri-Menteri Besar di beberapa buah negeri yang telah melalui pergolakkan peralihan tampuk pimpinan.

Dari pengalaman tersebut institusi Raja, tambahnya, dapat dilihat bukan sahaja sebagai pelindung bahkan sebagai penyelamat bangsa dan negara dari amalan-amalan demokrasi dan proses politik yang boleh membawa negara kedalam keadaan yang tidak stabil.

Seperti juga yang telah dititahkan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah sempena sambutan Hari Keputeraan ke-80 baginda di Istana Iskandariah baru-baru ini kepentingan negeri dan rakyat hendaklah mengatasi kepentingan politik kepartian.

Sultan Azlan Shah dalam titah baginda melihat perlunya institusi Raja bijaksana memberi tafsiran kepada semangat yang terkandung dalam konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Kedua-duanya tidak seharusnya dijadikan instrumen menghalalkan cara jika perkara yang dinasihatkan itu sama sekali bertentangan dengan undang-undang dan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan, titah Sultan Azlan Shah.

Sehubungan dengan perbincangan topik tersebut, beberapa peserta forum juga turut melihat perlunya institusi Raja di Negara Brunei Darussalam terus dipelihara dan diperkukuhkan dalam masa sama membangun sebuah negara bangsa yang maju dan moden.

Mereka juga sependapat amalan demokrasi selagi ianya tidak bercanggah dengan perlembagaan negara dan syarak, merupakan antara elemen penting dalam usaha memastikan survival institusi Raja terus terjamin.

Konsep Negara moden sekarang menuntut kearah pemerintahan yang berintegriti serta ‘accountable’ dengan memberikan rakyat hak kebebasan untuk bersuara, berpersatuan serta keterlibatan setiap warga dalam proses pemerintahan Negara.

Dalam konteks Brunei, mereka melihat bahawa falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) yang telah menjadi peggangan dalam berbangsa dan bernegara sejak zaman berzaman perlu bergerak mengikut arus perubahan ini agar ianya terus relevan dan tidak tinggal menjadi adat budaya sahaja dan ideologi yang boleh membelenggu konsep pembangunan Negara moden tersebut.

Dalam erti kata lain mereka sependapat perlunya MIB diperkukuhkan dengan menginstitusikan falsafah MIB tersebut dalam semua proses membangun sebuah Negara moden yang kukuh dan dinamik termasuk dalam pengamalan demokrasi di negara ini sesuai dengan tuntutan pembangunan Negara moden di era globalisasi ini.

Dari sudut pengamalan demokrasi pula, mereka melihat perlunya pengamal-pengamal demokrasi matang dan berpendidikan agar demokrasi yang diamalkan dapat menyumbang kearah keutuhan bangsa dan negara serta keutuhan institusi Raja dan keta'at setiaan rakyat kepada Raja bukan sebaliknya.

Dalam masa sama perlunya rakyat bersahsiah tinggi dalam melalui proses politik, mereka juga berpandangan perlunya institusi Raja bergerak kearah yang sama.

Mereka berpendapat kerabat-kerabat dan orang-orang bergelar, contohnya, perlu terus bersahsiah tinggi dan bergerak kehadapan mengikut arus perubahan agar dapat mengukuhkan lagi institusi Raja dalam proses melaksanakan sistem demokrasi di negara ini.

Ini menuntut mereka untuk memastikan mereka tidak dilihat sebagai simbol kebesaran institusi Raja sahaja dan perhiasan majlis-majlis kebesaran negara.

Dalam hubungan ini KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 2 tahun lepas pernah menekankan,"adalah menjadi kewajiban dan tanggungjawab semua orang-orang yang disampirkan gelaran untuk terus menanai, menyokong dan membantu raja dalam semua aspek bagi kepentingan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara jua".

Mereka bersetuju pengamalan demokrasi itu, selagi ianya tidak bercanggah dengan perlembagaan negara (berkenaan konsep syura) dan Syariat Islam, perlu bukan sahaja untuk menjayakan usaha membangun Negara moden akan tetapi bagi memastikan surival institusi Raja terjamin.

Untuk itu semangat persefahaman antara rakyat dan institusi Raja perlu diperkukuhkan melalui 'process of engagement' dua hala.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.