LIMBARUH HIJAU 24 APRIL 2008 - KONFLIK besenjata di Mindanao yang telah berkurangan sejak kehadiran Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) 4 tahun lalu dengan di ketuai Malaysia mungkin akan
bergolak semula berikutan keputusan Malaysia untuk tidak meneruskan misinya disana.
Brunei juga mungkin akan mengikuti jejak Malaysia, menurut laporan akhbar Borneo Bulletin bertarikh 23 April 2008 yang menyebutkan seorang jurucakap Kementerian Pertahanan sebagai berkata demikian.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di Mindanao sejak 2004 sebagai sebahagian daripada IMT yang terdiri daripada 41 pegawai ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disokong oleh 10 pegawai tentera dari Brunei Darussalam dan lima dari Libya.
Pada masa ini, pasukan itu telah diperluaskan meliputi anggota dari Kanada dan Jepun.
Dalam misi itu, pasukan pengaman Malaysia membentuk sebahagian besar kontinjen dalam IMT dengan peserta lain dari Brunei dan Libya.
IMT memainkan peranan kritikal bagi menyokong rundingan damai kerajaan Filipina dan MILF dan meneruskan momentum bagi resolusi penyelesaian konflik di Mindanao.
Akan tetapi proses damai yang berusia 7 tahun itu terhenti sejak setahun lalu apabila Manila dan MILF gagal mencapai persetujuan tentang isu wilayah warisan umat Islam.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dalam mengesahkan langkah Malaysia untuk tidak lagi menghantar pasukan pemantau ke Mindanao selepas mandat bagi pasukan sedia ada berakhir pada September tahun ini, membayangkan kekecwaaan Malaysia terhadap proses rundingan damai tersebut yang menurut beliau perlukan kerjasama erat dari kedua-dua belah pihak.
Berikutan perkembangan di Mindanao ini, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) turut risau dengan langkah Malaysia dan juga Brunei untuk mengundur diri dari Pasukan Pemantau Antarabangsa itu.
NDP risau kekosongan akan berlaku jika IMT mengundur diri dan ini akan memberikan ruang kepada pergolakkan baru konfik bersenjata di Mindanao yang sudah mulai reda sejak kehadiran IMT disana.
NDP melihat jika kekacauan mula meningkat di Mindanao ianya akan boleh mengancam ketenteraman di ranatu ini justeru NDP berharap pasukan-pasukan dalam IMT terutama Malaysia akan menilai semula keputusan untuk menamatkan misinya di Mindanao.
NDP juga berharap Manila dan MILF akan berusaha dengan lebih gigih untuk menyelamatkan proses damai yang sudah hampir mencapai kejayaan itu dari terbantut berpanjangan demi kepentingan keamanan dan keselamatan semua pihak.