LIMBARUH HIJAU 14 APRIL 2008 - RAMAI jemaah yang hadir untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat di mesjid-mesjid seluruh negara baru-baru ini rasa tersinggung apabila isu tunggakan bayaran bil air sejumlah lebih BND 50 juta dilaungkan menerusi mimbar mesjid.
Mereka tersinggung kerana mimbar mesjid yang mulia itu sekali lagi diperalatkan untuk menagih hutang dari rakyat. Dari bil letrik, tunggakan pembayaran balik skim perumahan dan sekarang tunggakan bil air semuanya sudah diumumkan kepada ramai melalui mimbar mesjid.
"Entah apa lagi yang akan disiarkan melalui mimbar yang mulia itu di masa-masa akan datang", keluh beberapa ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang meluahkan rasa terkilan mereka kepada Aspirasi-NDP terhadap amalan menggunakan mimbar mesjid untuk menagih hutang.
"Kita rasa terhina dan malu dengan langkah sedimikain. Apakah tidak ada jalan lain lagi untuk menggalakkan rakyat yang berhutang untuk melunaskan pembayaran bil-bil yang tertunggak", ujar mereka sambil meluahkan rasa kesal dengan langkah tersebut yang mereka lihat serupa dengan perbuatan peras ugut.
Imam-imam dalam teks khutbah yang dibacakan selain mendedahkan hutang rakyat kepada kerajaan yang tertungak hingga mencecah lebih BND 50 juta bagi pembayaran bil air juga mengingatkan umat Islam pentingnya melunaskan segala hutang piutang sebelum mati kerana mereka yang gagal bila mati nanti roh mereka akan tergantung dan tidak diangkat ke syurga. .
"Saya rasa risau dengan kenyataan ini dan dapat membayangkan betapa ramainya roh-roh rakyat dan penduduk Islam di negara ini terutama mereka yang miskin dan muflis yang masih tergantung-gantung di awang-awangan kerana mereka tidak mampu membayar hutang-hutang sebelum meninggal dunia", ujar sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP meluahkan rasa sedihnya mengenangkan nasib rakyat-rakyat yang miskin dan kurang mampu untuk menyara hidup apatah lagi untuk melunaskan pembayaran bulanan perkhidmatan letrik dan air.
"Orang-orang kaya dan berada pula sangat beruntung kerana roh-roh mereka pasti terus terangkat ke syurga", katanya lagi.
Sebilangan pemerhati yang turut memberikan pandangan juga turut meluahkan rasa kesal mereka terhadap khutbah tersebut dan berpendapat ianya tidak adil dan telus dengan jumlah yang dinyatakan.
"Sepatutnya khutbah tersebut menyenaraikan kumpulan-kumpulan rakyat yang berhutang dengan jelasnya bukannya dengan merangkum jumlah BND 50 juta kepada rakyat sahaja".
"Pasti terdapat mesjid-mesjid, surau-surau, kedai-kedai, bagunan komersial, hotel-hotel, syarikat-syarikat swasta, sekolah-sekolah dan bangunan-bangunan kerajaan serta mini-mini istana juga turut berhutang kepada kerajaan dan pasti penggunaan air mereka lebih tinggi dari rakyat biasa yang hanya memiliki rumah sederhana besar", ujar mereka lagi.
"Mungkin sejumlah besar dari BND 50 juta tersebut merupakan hutang golongan mereka yang memilki rumah mewah, mini-mini istana, bangunan-bangunan komresial dan lain-lain. Justeru ketelusan dalam hal ini penting kerana ianya memberikan gambaran sebenar kedudukan jumlah hutang yang sebegitu besar".
Mereka juga berpendapat pihak-pihak tertentu yang memperalatkan mimbar mesjid untuk menagih hutang dari rakyat sepatutnya berlaku adil kerana walaupun benar rakyat gagal melunaskan tunggakan bil air, mereka yang berkenaan sendiri pun telah gagal untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pengutipan pembayaran bil air yang berkesan hingga jumlah tunggakan melambung sebegitu tinggi.
"Dalam erti kata yang lain mereka gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kepada negara, bangsa dan raja hingga bil-bil air berbulan-bulan dan ada yang bertahun hingga jumlah bil air mencecah ratusan dan ribuan ringgit baru dikirimkan kepada pengguna".
"Bayangkan betapa kelalain mereka mengemaskinikan bil-bil air setiap bulan menyusahkan rakyat terutama mereka yang miskin dan berpendapatan rendah".
"Apa hal dengan roh-roh mereka yang tidak adil, tidak amanah dan menyusahkan rakyat ini?. Mereka jangan lupa mereka pun masih berhutang kepada Allah, negara , bangsa dan raja kerana mereka gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka", tegas mereka lagi.
"Sepatutnya mimbar mesjid mengambil peluang untuk mengingatkan mereka ini bahawa roh mereka pun belum tentu terangkat ke syurga selagi mereka masih berhutang kepada negara, bangsa dan raja dengan mengabaikan tugas dan tanggunjawab mereka untuk menjamin kesejahteraan rakyat", taambah mereka lagi. (MHO)
Jelaskan hutang bil air atau roh 'tergantung'