Penjaja-penjaja Pasar Seria menggigit jari, menghitung hari

 
 

PASARNEKA SERIA 30 APRIL 2008 - BERBAGAI usaha telah dilaksanakan untuk menarik minat penduduk-penduduk Seria dan Kuala Belait agar selalu berbelanja di Pasar Baru Seria di Lorong Tiga yang sejak terbina lebih sepuluh tahun lalu tidak diminati ramai walaupun bangunannya cantik dan kemudahan-kemudahan awam yang terdapat didalamnya cukup selesa dan moden.

Contohnya di tahun-tahun kebelakangan ini berbagai program dan aktiviti telah dibuat seperti pesta jualan "Pasar Riuh' dan 'Karnival di Pasarneka Seria' serta aktiviti riadah dan lain-lain lagi.

Juga tidak kurang setiap tahun kawasan pasar Seria digunakan untuk pesta-pesta hari karaian negara dan di jadikan kawasan jualan musim Ramadhan. Semuanya dilakukan semata-mata untuk membantu meningkatkan minat orang ramai untuk terus berkunjung ke pasar Seria.

Sedihnya orang ramai hanya berpusu-pusu di

musim ada acara-acara promosi sedimikian. Dan malangnya, rata-rata yang berkunjung ke pasar Seria di musim-musim tersebut dan ketika ada keramaian hanya hadir untuk menyaksikan acara-acara yang diadakan dan berbelanja untuk makan minum dan membeli belah dari peniaga-peniaga luar yang ikut serta menjayakan acara-acara bermusim itu.

Tidak disangkalkan peniaga-peniaga tetap yang berjaja di pasar Seria turut juga mendapat limpahan dari kehadiran pengunjung-pengunjung di musim-musim tertentu. Akan tetapi setelah habis musim-musim tersebut, pasarneka Seria kembali seperti biasa, senyap dan sunyi.

Keadaan yang membimbangkan inilah yang nampaknya mendorog pihak-pihak tertentu mencari jalan lain lagi untuk memajukan pasar Seria dan sekaligus menyelamatkan

penghuni-penghuninya yang terdiri dari peniaga-peniaga tempatan kecil, nelayan dan peladang dari lingkup bersama pasar yang indah itu.

Formula terkini yang dihasilkan setelah perundingan dibuat antara agensi kerajaan yang berkenaan dengan peniaga-peniaga terkenal dan pemaju-pemaju di Belait pada Mei 2006 ialah untuk memberikan peluang kepada sektor swasta mengambil tanggunjawab yang sama memajukan pasar Seria.

Maka lahirlah sebuah Pasar Raya moden yang terletak di sebelah bangunan khas untuk menjual daging dan ayam yang telah lama konsong di pasarneka Seria.

Memang tidak disangkalkan sepanjang hampir 2 bulan sejak Pasar Raya tersebut beroperasi jumlah pengunjung ke pasar Seria semakin meningkat. Tetapi malangnya penjaja-penjaja lain belum dapat merasakan nikmat formula baru itu.

Sekarang timbul kekhuatiran dikalangan mereka, formula baru yang telah di war-warkan boleh membantu menarik minat pengunjung untuk berbelanja dikawasan mereka, akan sebaliknya memusnahkan perniagaan mereka yang dari seawal lagi sudah singap-singap separuh nyawa.

Ini memandangkan sejak 2 bulan ini, pengunjung-pengunjung yang datang ke pasar Seria hanya singgah ke Pasar Raya baru itu untuk berbelanja. Tidak ramai yang bersedia untuk masuk ke dalam kawasan lain untuk membeli belah.

Ini membuatkan mereka khuatir mereka juga akan mengalami nasib yang sama seperti keluarga dan kawan-kawan mereka yang terdahulu yang terpaksa gulung tikar apabila di pindah dari pasar lama di kawasan bandar Seria ke Lorong Tiga, kawasan terletaknya pasar Seria sekarang.

Pasar Seria lama dulunya merupakan kawasan yang sibuk yang menjadi tumpuan penduduk di Seria dan Kuala Belait untuk berbelanja membeli sayur-sayuran, buah-buahan, ikan daging dan ayam dan lain-lain keperluan. Ianya juga menjadi tumpuan pembekal-pembekal, nelayan dan peladang-peladang.

Di pasar lama inilah lahir banyak pengusaha-pengusaha Melayu yang berjaya di zaman itu dan koperasi-koperasi Melayu yang sebilangannya masih beroperasi.

Malangnya pasar Seria lama yang berjaya memainkan peranan sebagai pemangkin kejayaan pengusaha-pengusaha tempatan dimusnahkan atas alasan untuk mencantikkan bandar Seria dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar Seria.

Ianya dirubuh dan dipindah ke Lorong Tiga.

Sejak itu ramai penjaja asal pasar Seria lama lingkup kerana orang ramai tidak mahu ikut berpindah membeli belah di pasar baru. Mereka lebih senang dan selesa mendapatkan barang-barang keperluan mereka seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ayam di kedai-kedai runcit dan pasar-pasar raya moden yang mengambil kesempatan menjaja barang-barang keperluan tersebut setelah pasar lama di pindah.

Masalah lalu lintas di kawasan pasar lama yang telah dijadikan antara alasan memindah pasar lama ke kawasan baru tetap sama seperti dulu dan sekarang semakin teruk apabila sebuah bangunan gerai makan dibina ditapak pasar lama itu.

Di pasar baru pula keadaan perniagaan pengusaha-penusaha tempatan tetap sama seperti mula-mula mereka di pindah kesana, sunyi dan senyap kecuali di kawasan Pasar Raya baru tersebut.

Seperti awalnya mereka masih lagi menggigit jari menghitung hari seperti menuggu buah belum gugur.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.