Jelaskan hutang bil air atau roh 'tergantung'

 
 
Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Tunggakan bil air secara menyeluruh di negara ini melebihi $55 juta dan akan terus meningkat jika bil berkenaan gagal dijelaskan secepat mungkin.

Imam dalam khutbah hari ini menyeru orang ramai tidak melupakan kewajipan mereka kepada kerajaan dengan menjelaskan bil air mereka sebagai tanda ucapan terima kasih kepada kerajaan atas kemudahan bekalan air yang disediakan pada harga yang termurah dirantau ini.

Perbuatan melambatkan pembayaran bil air hanya menyusahkan diri sendiri dan mendatangkan beban kerana hutang akan bertambah banyak hingga akhirnya susah untuk dilangsaikan, jelas imam sambil menyarankan adalah lebih ringan jika tuntutan bil air itu dijelaskan pada setiap bulan.

Imam menegaskan hutang tetap hutang dan adalah wajib dibayar sambil mengingatkan kematian pasti tiba, maka sesiapa yang mati dalam keadaan menanggung hutang, rohnya akan tergantung iaitu dihalang dari tempat yang mulia.

"Di negara ini kita sangat beruntung kerana masih dapat menikmati sumber bekalan air yang bersih dan mencukupi lebih-lebih lagi kerajaan mengambil langkah menjaga dan memelihara sistem bekalan air di seluruh negara pada tahap yang tinggi dan terjamin," kata imam.

"Semua itu dapat dicapai melalui pengendalian projek yang bertujuan untuk mempertingkatkan keselamatan dan keupayaan kapasiti sumber air di empangan."

Imam berkata kini hampir 100 peratus penduduk negara ini menerima bekalan air bersih yang mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sedangkan ada negara lain di dunia yang masih mengalami masalah kekurangan bekalan air bersih hingga menyebabkan timbul pelbagai wabak penyakit dan kematian.

Imam bagaimanapun mengingatkan kadar penggunaan air di negara ini masih di antara yang tertinggi di rantau ini iaitu sebanyak 450 liter setiap orang sehari berbanding hanya 160 liter setiap orang sehari di negara jiran.

Imam menyeru seluruh rakyat dan penduduk negara ini mengamalkan sifat berjimat cermat dalam penggunaan air kerana itu adalah pembaziran yang merugikan diri sendiri, orang lain dan juga negara serta dilarang dalam Islam.(MP)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.