LIMBARUH HIJAU 22 APRIL 2008 - RAKYAT Brunei kecewa dan risau meyaksikan keutuhan wilayah Negara yang terancam berikutan terdapatnya kerja-kerja pembangunan yang pesat di kawasan-kawasan persempadanan yang dipertikai Brunei dengan Sarawak, Malaysia yang belum selesai.
Perkara ini dibangkitkan oleh beberapa peserta forum bertajuk 'Isu-isu Globalisasi, Pembangunan dan Demokrasi' yang telah berlangsung di Anjung Syura, dewan mesyuarat markas pusat Parti Pembangunan Bangsa (NDP) di Jerudong pada Sabtu baru ini.
 |
Isu keutuhan wilayah berbangkit ketika ahli panel forum, Professor Madya Abdul Razak Ahmad, pensyarah dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membahaskan topik 'Keselamatan Negara dan Ancaman Non-Tradisional - Prespektif Malaysia'.
Di sesi tersebut beberapa peserta telah meminta pandangan dari ahli panel forum yang terdiri dari sdr Mohd. Izani Mohd Zain dan Professor Abdul Razak Ahmad berhubung kedudukan dan prospek tuntutan Brunei keatas Limbang dan pertikaian sempadan di kawasan Baram, Sarawak.
Menurut pandangan Professor Abdul Razak, anak muda kelahiran Sandakan Sabah itu, isu tuntutan Brunei keatas Limbang khususnya setentunya merupakan perkara rumit antara Brunei dan Malaysia.
Brunei dan Malaysia boleh dikatakan merupakan dua negara yang bersaudara. Dalam hal menyelesaikan masalah berbangkit antara dua negara ianya umpama 'cubit peha kanan, peha kiri terasa'.
|
Justeru, menurut pandangan Professor Abdul Razak kedua negara tidak ada pilihan lain selain menyelesaikan masalah tersebut melalui perundinagn atas semangat persaudaraan tadi.
Katanya ada 3 pilihan bagi Brunei untuk penyelesaian isu tuntutannya keatas Limbang. Pertama melalui Mahkamah Antarabangsa (International Court of Law) , kedua melalui referendum atau pemungutan suara rakyat dan ketiga melalui perundingan. Menurutnya prospek penyelesaian terbaik
|
|
bagi kedua-dua belah pihak jelas lebih cendrung kepada penyelesaian melalui meja perundingan.
Sementara itu di perkembangan yang lain, Brunei dan Malaysia telah menubuhkan Suruhanjaya Bersama (Joint-Comission) 12 tahun lepas, antaranya bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan tali persaudaraan, persefahaman dan kerjasama dua hala anatara kedua-dua buah negara. Suruhanjaya tersebut juga dibentuk agar dapat dijadikan pelantar perundingan dua hala dalam menangani isu-isu berbangkit, seperti isu sempadan yang boleh menjejaskan hubungan dua hala jika sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Justeru penubuhan Suruhanjaya Berasama tersebut telah memberikan harapan kepada rakyat Brunei agar isu tuntutan Brunei keatas Limbang akan dapat diselesaikan dengan baiknya.
Akan tetapi sehingga kini belum terdapat sebarang perkembangan yang menggalakkan. Juga kurang jelas sama ada isu tuntutan Brunei keatas Limbang dan isu sempadan lain yang dipertikaikan (selain dari isu tuntutan bertindih di Zon Ekonomi Eksklusif-EEZ) pernah dibawa ke meja perundingan di Suruhanjaya Bersama yang sudah 11 kali berunding sejak 11 tahun lalu.
Dan ini sangat mengecewakan rakyat terutama sekali penduduk di kawasan-kawasan pendalaman berdekatan kawasan Limbang dan pengunjung-pengunjung Brunei ke Limbang yang setiap hari menyakisakan kerja-kerja pembangunan berjalan rancak dikawasan-kawasan yang dipertikaikan Brunei.
Walaupun demikian rakyat masih menaruh harapan isu tersebut akan dapat dirundingkan lagi di mesyuarat Ke 12 Suruhanjaya tersebut yang dijangka akan diadakan di Kuala Lumpur Ogos ini.
Rakyat melihat perlunya isu ini diselesaikan dengan segera dan berharap pihak-pihak tertentu di Brunei akan lebih telus demi untuk meyakinkan rakyat bahawa keutuhan wilayah Negara Brunei Darussalam terjamin dibawah jagaan mereka yang memeggang amanah menyelesaikan isu tersebut.
Rakyat melihat isu keutuhan wilayah ini sebagai aspek yang sangat penting kepada keutuhan keselamatan negara dan survival bangsa masa depan.
NDP khusunya melihat dan berharap integriti seluruh wilayah Brunei Darussalam hendaklah di jaga dan di pertahankan dengan sesungguh hati, jiwa dan raga.
Kegagalan menjaga integriti wilayah akan membawa kepada perpecahan negara dan paling tidak akan menyebabkan wilayah kita semakin terhakis.
|