Harapan Wawasan Brunei 2035 Berjaya

  • ISU PENDIDIKAN, WAWASAN DR SAEDON DAN WAWASAN 2035
 
 

Harapan dan doa seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam amat tinggi agar Kerajaan Kebawah Duli yang Maha Mulia akan berjaya membawa negara ke mercu kegemilangan 27 tahun dari sekarang seperti yang disasarkan didalam Perancanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam atau dikenali Wawasan Brunei 2035.

Seperti yang diwar-warkan negara bercita-cita untuk menempatkan diri dalam kalangan 10 negara-negara teratas di dunia seperti Luxembourg, Norway, Switzerland, United States, Denmark, Iceland, Japan, Sweden, Ireland dan United Kingdom.

Untuk mencapai taraf sedemikian, Brunei harus mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan tinggi, berilmu, berkemahiran dan bertamadun. Rakyat dan penduduk perlu berupaya menikmati kualiti hidup yang tinggi serta mempunyai pendapatan per kapita yang teratas setara dengan 10 negara teratas dunia.

Inilah di antara kriteria yang perlu dipenuhi oleh Brunei untuk layak menduduki tangga 10 teratas di kalangan negara-negara maju. Brunei hanya mempunyai 27 tahun sahaja untuk  merealisasikan Wawasan Brunei 2035 tersebut.

Dalam jangka waktu yang singkat ini terdapat banyak hambatan yang boleh menjejaskan perjalanan menuju ke arah matlamat yang dicita-citakan.

Lapan strategi telah dikenalpasti sebagai garispandu pelan tindakan menjayakan usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Strategi tersebut ialah Strategi Pendidikan, Strategi Ekonomi, Strategi Keselamatan, Strategi Pembangunan Institusi, Strategi Pembangunan Perniagaan Tempatan, Strategi Pembangunan Infrastruktur, Strategi Jaminan Sosial dan Strategi Alam Sekitar.

Strategi-strategi yang digariskan memang nampak elok apatah lagi semuanya menjurus ke arah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang terbilang dengan rakyat dan penduduk yang berilmu, berkemahiran, bertamadun; rakyat dan penduduknya menikmati pendapatan per kapita yang tinggi dan kualiti hidup yang tinggi.

Maknanya 27 tahun dari sekarang anak-anak kita yang sekarang ini masih di bangku sekolah rendah akan menjadi orang dewasa; yang sudah dewasa pula akan tergolong menjadi masyarakat pertengahan umur dan yang pertengahan umur tergolong dalam kategori warga emas.

Kemungkinan ketika itu tampuk pemerintahan dan pengurusan negara akan dikemudikan oleh DYTM Paduka Seri Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah selaku Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke 30.

Jika semua matlamat Wawasan Brunei 2035 tercapai, pemimpin-pemimpin negara tidak perlu risau kerana pada ketika itu kemungkinan negara sudah berada di aras negara yang aman, makmur, selamat dan sejahtera. Mungkin tidak ada lagi yang tergolong dalam kategori miskin, menganggur, tidak berumah, sakit jiwa, pencuri/penjenayah dan sebagainya seperti yang kita saksikan pada hari ini.

Maka apabila kita membayangkan senario kehidupan masa depan ini kita rasa teruja dan berharap ianya menjadi satu kenyataan.

Kita turut rasa teruja apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah,"Wawasan ini (hendaklah) lengkap dengan keperluan teknikal, kewangan dan lain-lain keperluan strategik supaya wawasan ini nanti menjadi kenyataan dalam tempoh tiga puluh tahun ke hadapan yang merupakan masa pertukaran satu generasi kepada generasi selanjutnya".

Harapan Baginda Sultan adalah harapan rakyat. Dalam hal ini Parti Pembangunan Bangsa (NDP) selaku pelantar politik rakyat yang telah berazam dan bertekad menyokong dan membantu Baginda Sultan dan Kerajaan terus berusaha membantu memastikan Wawasan Brunei 2035 menjadi kenyataan.

Untuk itu NDP dengan keupayaan yang ada akan terus mengambil langkah aktif dan proaktif mengongsikan pandangan, saranan dan kritikan membangun serta maklumat-maklumat yang menggambarkan aspirasi rakyat akar umbi yang boleh membantu ke arah kejayaan wawasan tersebut.

Dalam konteks ini dan di awal perjalanan ini NDP dalam masa sama teruja dengan wawasan tersebut berasa risau atas kemungkinan negara akan menghadapi masalah mencapai matlamat wawasan berkenaan melihatkan beberapa aspek penting melibatkan jaminan survival bangsa dan keutuhan agama Islam seperti keciciran.

NDP risau dalam langkah menuju ke arah Wawasan Brunei 2035, kedaulatan dan idealisme falsafah Melayu Islam Beraja akan dikompromi, hak rakyat Melayu Brunei dan ketuanan Melayu akan terabai serta kesejahteraan dan keharmonian rakyat dan penduduk tidak terjamin lalu akan runtuh dan punahlah sisa-sisa sebuah tamaddun yang dulunya memiliki wilayah melebihi satu juta kilometer persegi .

NDP turut mengongsikan kerisauan Kebawah DYMM terhadap kelemahan jentera pengurusan, pentadbiran serta sistem penyampaian yang selama lebih dua dekad ini  masih dilihat gagal mencapai matlamat pembinaan sebuah negara bangsa seperti yang diharapkan oleh Baginda Sultan dan rakyat biasa.

Dari titah-titah rasmi Kebawah DYMM semasa sambutan hari kebangsaan dan Keputeraan Baginda sejak tujuh tahun lalu, tidak kurang  12 kali  Baginda Sultan  menegur dan menasihatkan agar elit-elit pentadbir  meningkatkan usaha memantapkan sistem pengurusan, pentadbiran dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Sehubungan dengan itu, kerisauan NDP ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Dr Richard Leete, Pegawai Kanan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mengenai kelemahan sistem pendidikan negara sejauh ini.

Dr Richard Leete berpendapat negara perlu meningkatkan usaha untuk memajukan bidang pendidikan tertinggi. Brunei, menurut beliau, perlu menghasilkan lebih ramai rakyat dan penduduk yang berpendidikan tinggi, berkemahiran serta seramai-ramainya  graduan-graduan universiti dan, bukannya sekadar lulusan Tingkatan 3, 5 atau Tingakatan 6 sahaja atau berkelulusan vokasional.

Apa yang dikatakan oleh Dr Richard Leete itu memang tepat.  Pandangan beliau ini telah disedari lebih awal oleh Dr Mahmud Saedon bila mana beliau diamanahkan untuk memegang jawatan naib canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) 10 tahun lalu.
 
Atas semangat cintakan bangsa dan negara dan dengan iltizam untuk melihat Brunei mempunyai ramai rakyat dan penduduk yang berilmu dan berkualiti tinggi, beliau telah membukakan seluas-luasnya peluang di UBD kepada rakyat dan penduduk mendapat pelajaran, pendidikan, berkelulusan akademik dan profesional yang tinggi.

Malangnya keikhlasan beliau dipersoalkan dan dicurigai. Bermacam-macam tuduhan dan fitnah ditimpakan ke atas beliau oleh sesetengah kalangan.  Beliau ditohmah sebagai mempunyai agenda politik bagi menggerakkan kebangkitan graduan dan para ilmuan untuk menjatuhkan kerajaan. Allah Maha Mengetahui.

Keadaan ini antara sebab membuatkan Allahyarham tersingkir dari UBD lalu meletakkan beliau dalam keadaan yang amat tertekan hingga ke akhir hayatnya. Beliau kembali ke rahmatullah dengan keadaan tertekan dan membawa bersamanya wawasan dan  cita-cita mulia untuk membangun bangsa dan negara yang dicintainya melalui pendidikan.

Mudah-mudahan jua kerisauan NDP terhadap masa depan Institusi kesultanan Brunei Darussalam dan rakyat Brunei yang dicintai ini, tidak  akan menghadapi nasib yang sama dengan NDP “terhukum mati” , lalu  berkubur dengan cita-cita mulia untuk menyokong dan membantu Kebawah DYMM melonjakkan negara menjadi sebuah negara maju berpaksikan falsafah  negara Melayu, Islam Beraja, aman dan sejahtera serta sentiasa mendapat keampunan Allah. 


Wallahu alam –MMO

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.