JERUDONG 08 APRIL 2008 - Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) telah mengadakan lawatan ke Institusi Penjara Wanita di Jerudong kelmarin 5hb April 2008, salah satu kegiatan program ilmu yang dianjurkan berterusan sepanjang tahun.
Rombongan yang disertai seramai hampir 30 orang itu telah diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat Dayang Hajah Saemah Haji Kepli. Turut sama menyertai lawatan itu ialah Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan NDP Dr Dyg Hjh Rayah Haji Mohd Ali serta ahli-ahli Exco Hawa Pusat dan ahli-ahli jawatankuasa penggeraknya.
 |
Lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman ahli-ahli wanita NDP di samping untuk mengeratkan lagi hubungan siratulrahim dengan agensi-agensi Kerajaan.
Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pegawai Yang Menjaga Penjara Wanita Puan Salwa binti Haji Salleh dan Ketua Warder 124 Zainab binti Hassan merangkap Ketua Perhubungan Awam Penjara Wanita dan Pegawai Perhubungan Awam Warder Wanita 493 Siti Habibah binti Haji Mahbub.
Semasa lawatan rombongan juga telah berpeluang mendengarkan taklimat mengenai dengan operasi
|
penjara tersebut yang telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Menjaga Penjara Wanita Puan Salwa dan seterusnya dibukakan untuk sesi soal jawab.
Penjara Wanita telah ditubuhkan pada 1hb Mac 1954 sama dengan tertubuhnya Penjara Jerudong Lelaki, dan bangunan penjara wanita sekarang telah mula beroperasi pada 1hb Februari 1980 dan pada 8hb Februari 2002 Penjara Wanita telah menjadi sebuah institusi yang berasingan dan diketuai oleh seorang Pegawai Yang Menjaga Wanita.
 |
Institusi itu melaksanakan hukuman dan perintah sepertimana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, dan menerima semua peringkat atau jenis banduan wanita, dari orang yang ditahan sementara, banduan yang di hukum penjara sehari kepada yang menerima hukuman seumur hayat dan hukuman mati.
Banduan-banduan wanita yang ditahan di penjara tersebut turut diberikan berbagai latihan vokasional seperti perusahaan tangan, kantin, kedai runcit, pertanian, seni taman dan tenunan serta latihan-latihan fizikal seperti berkawad, bersukan dan bersenam kesemuanya itu antara lain adalah untuk membantu mereka mempunyai disiplin diri setelah dibebaskan serta pemulihan moral dan akhlak menerusi pendidikan agama, aktiviti sivik melalui program-program ceramah dan kaunseling.
|
 |
Banduan wanita juga disediakan skim pendapatan melalui tingkatan kemahiran A hingga C dengan gaji $1.50 hingga $2.50 bagi keperluan mereka untuk membeli beberapa keperluan seperti syampoo dan sebagainya yang hanya diberikan kepada mereka semasa hari pertama dimasukkan ke dalam penjara.
Beliau juga memberitahu jumlah banduan pada masa ini di penjara itu ialah seramai 42 orang terdiri di kalangan warga tempatan dan orang asing.
|
Banduan-banduan wanita itu juga turut menghasilkan berbagai produk antaranya hasil kraftangan, tenunan dan sebagainya yang dijual melalui tempahan daripada orang luar serta di pamerkan oleh pihak institusi tersebut di majlis-majlis tertentu.
Ketika menjawab pertanyaan Ketua Himpunan Wanita mengenai dengan apakah perlaksanaan institusi tersebut sejauh ini pada memastikan banduan-banduan yang sudah dibebaskan supaya terus menjadi masyarakat yang berguna dan bertanggungjawab bagi merealisasikan misi institusi sebagai tempat pemulihan, Puan Salwa menjelaskan bahawa institusi itu baru saja menubuhkan satu perkhidmatan yang dinamakan “After Care” yang ditubuhkan pada tahun lepas.
Menurutnya perkhidmatan itu dilaksanakan secara berterusan memantau banduan-banduan tempatan yang sudah dibebaskan supaya tidak mengulangi lagi kesalahan mereka dan terus hidup sempurna bersama masyarakat yang lain terutama kaum keluarga mereka.
“Di samping itu institusi juga sedang dalam perancangan akan membuka sebuah Koperasi Jabatan Penjara dan mengusahakannya di sebuah tapak tanah dan peluang perniagaan akan dibukakan kepada bekas-bekas banduan” ujarnya.
Rombongan juga telah berpeluang menyaksikan demonstrasi sebatan yang telah ditunjukkan oleh pegawai penjara seterusnya melawat ke Galeri Penjara Wanita yang mempamerkan berbagai barangan hasil buatan banduan-banduan wanita, bilik tahanan, bilik gantung serta melawat bilik latihan vokasional di mana banduan-banduan dilatih dengan berbagai kemahiran dan hasil daripada itu dijualkan.
Dengan adanya perasaan ingin memberikan sokongan kepada banduan-banduan itu rombongan Hawa juga telah berbelanja membeli berbagai produk yang dihasilkan untuk di jual di akhir lawatan tersebut.