Fitrah Perjuangan

 
 

Tekanan, sekatan, kekangan, ugutan, penindasan, penganiayaan dan apa jua tindakan seumpanya adalah fitrah dalam perjuangan. Selagi besar dan luasnya dimensi perjuangan itu, lagi besarlah bentuk-bentuk cabaran yang dihadapi.

Fitrah penentangan kepada perjuangan ini telah digariskan di dalam Al Quran melalui kisah-kisah perjuangan para anbiya.

Bentuk-bentuk tekanan, sekatan, ugutan dan penindasan itu boleh datang dalam berbagai bentuk dan dari berbagai golongan. Ianya boleh berupa penderaan mental dan fizikal, penafian hak, penganiayaan dan apa saja bentuk ketidakadilan.

Penentangan boleh datang dari kaum-kerabat seperti yang dihadapi oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., dari isteri dan  anak sendiri seperti yang dihadapi oleh Nabi Nuh a.s. dan Nabi Lut a.s., dari pemerintah seperti yang dihadapi oleh Nabi Musa a.s. yang berdepan dengan Firaun dan Haman, dan kaum sendiri seperti yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Saleh a.s.

Bentuk-bentuk cabaran yang digalurkan dalam Al Quran itu adalah untuk kita mengambil iktibar dan dijadikan pegangan dalam sesuatu perjuangan yang kita yakini adalah benar. Kalau para Nabi tidak pernah berasa kecewa dan putus asa dengan segala bentuk penentangan yang dihadapi, sewajarnyalah kita juga berpegang dengan sifat-sifat yang sama.

Kisah Zun-Nun atau Nabi Yunus a.s. yang marah dan lantas meninggalkan kaumnya harus dijadikan panduan dan dorongan agar kita tetap teguh dan bersabar dalam menghadapi apa jua bentuk dugaan dalam perjuangan. Apakah dengan meninggalkan perjuangan kita akan terlepas dari segala bentuk cabaran dan kesulitan?

Kita juga mesti mengambil iktibar dan yakin sepenuhya dengan janji Allah bahawa, “Telah datang kebenaran, lenyaplah kebatilan, sesungguhnya kebatilan itu pasti lenyap” (Al-Isra’, ayat 81). Maknanya selagi kita berada di atas landasan kebenaran dan keadilan, kita tidak perlu takut, gusar, goyah atau terkilan dengan segala bentuk cubaan, ugutan dan kekangan yang dihadapkan kepada kita. Sebaliknya janji Allah ini harus membakar semangat kita untuk berjuang dengan lebih gigih kerana akhirnya kita akan mengecapi nikmat kejayaan.

Perjuangan secara organisasi seperti pertubuhan politik, misalnya NDP, menuntut kepada hubungan pelbagai hala dengan pelbagai pihak sama ada pihak berkuasa atau organisasi yang lain. Prinsip perhubungan ini mestilah berasas kepada rasa saling hormat-menghormati tidak kira kedudukan atau saiz organisasi tersebut.

Pihak yang memiliki kedudukan dan kuasa tidak sewajarnya membentuk pola hubungan bagaikan mentimun dengan durian. Pola hubungan yang sedemikian akan sentiasa merugikan satu pihak dan ini merupakan satu bentuk ketidakadilan yang nyata! Barangkali inilah gambaran situasi yang berlaku kebelakangan ini terhadap NDP yang mengakibatkan Setiausaha Agung dan Penolong beliau “terpaksa” mengambil cuti protes.

Dalam soal hubungan pelbagai hala ini, kita wajib beramal dengan adab yang dianjurkan oleh Al Quran. Al Quran menganjurkan agar satu-satu hubungan tidak disisipi dan dinodai dengan buruk sangka, syak, mengintip dan mencari-cari kesalahan serta keaiban.

Selama NDP wujud sebagai organisasi yang sah berdaftar, tidak putus-putus NDP dihadapkan dengan segala bentuk karenah, tekanan, sekatan, kekangan dan gangguan. Ini merupakan siri tindakan yang penuh prejudis dan menyimpang dari adab yang dianjurkan oleh Al Quran.

Rantaian tindakan yang begitu terancang menyebabkan NDP dan keseluruhan ahlinya berasa tidak dilayan dengan adab dan susila yang sepatutnya. Jika tidak masakan segala pergerakan, kegiatan dan tindak-tanduk NDP sentiasa diawasi dengan penuh kecurigaan.

Di kalangan ahli-ahli NDP sering dibangkitkan persoalan sejauh mana kebebasan yang diberikan kepada kita sebagai sebuah organisasi politik atau sebagai individu. Kita musykil apakah kebebasan itu wujud sekiranya segala kegiatan, walau sekecil mana sekalipun, perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu.

Ini tidak mempamerkan keterbukaan dan ketelusan yang kita harapkan. Suasana ini seolah-olah satu percubaan untuk mewujudkan persekitaran politik seperti kata pepatah bagaikan kerbau dicucuk hidung. Segala gerak dan langkah perlu diatur mengikut kehendak pihak yang berkuasa dan bukan berdasar kepada kehendak, tuntutan dan kebebasan hak-hak organisasi dan ahli-ahlinya mengikut lunas-lunas demokrasi.

 

Kelahiran NDP adalah untuk menyemarakkan pembaharuan politik yang sihat setelah lebih empat dekad proses politik di Brunei ketandusan. Meluluskan penubuhan NDP dan memulihkan semula Majlis Mesyuarat Negeri adalah isyarat nyata Brunei menuju pembaharuan politik.

Menanai keadaan ini seperti menatang minyak yang penuh. Kita melihat usaha kearah pembaharuan politik ini satu peluang untuk kita berkhidmat kepada raja, bangsa dan Negara kerana Allah melalui pelantar parti politik.

Sejak ditubuhkan dua setengah tahun lalu NDP berusaha mengamalkan pendekatan politik yang berhemah, bertata susila dan sentiasa berpegang kepada prinsip pematuhan kepada peraturan dan undang-undang yang relevan.

Namun kita melihat bahawa untuk menjayakan pembaharuan politik yang dihasrat oleh Kebawah DYMM bukan saja perlu dipandu oleh penguat kuasaan undang-undang-undang dan peraturan yang ketat, tetapi juga sewajarnya memberi ruang keatas prinsip kebebasan yang disaluti  keharmonian.

Percayalah, NDP jujur berpegang dengan bai’ahnya didalam perlembagaan parti. NDP tidak mengharapkan ganjaran kedudukan dan imbuhan cumanya kita amat berhajat kepada kefahaman dan keprihatinan dari pihak berwajib agar segala usaha dan pendekatan kita diganjari dengan kesantunan yang sama taranya serta mengiktiraf, bahawa kami ini juga rakyat Kebawah DYMM.  

Perkembangan mutakhir dan tindakan yang terbaru oleh pihak berkuasa terhadap NDP merupakan kelangsungan dalam siri usaha-usaha yang boleh ditafsirkan sebagai perancangan untuk membantutkan pertumbuhan NDP dan kesuburan proses pembaharuan politik secara amnya.

Dalam tempoh yang panjang, berterusannya episod-episod yang sedemikian pastinya akan merugikan rakyat dan negara dan seterusnya menggagalkan hasrat mencapai Wawasan 2035.

Salah satu dapatan dalam Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang hasil daripada konsultasi dengan rakyat ialah harapan rakyat untuk mengekalkan kestabilan politik. Yang kita persoalkan sekarang apakah pengertian “kestabilan politik” pada kacamata pihak berkuasa?

Adakah apabila bila tidak wujud organisasi politik yang menjadi pelantar kepada suara rakyat, lantas tiada pertembungan dan percambahan pendapat yang sihat dan dinamik, maka lahirlah persekitaran yang nampak tenang dan statik tanpa adanya arus dan gelombang politik. Lalu adakah ini yang dikatakan “kestabilan politik” yang kita war-warkan?

Adakah masuk akal dan munasabah bahawa kita boleh berjaya mencapai status kestabilan politik tanpa adanya proses dan penghayatan politik sihat yang melibatkan penyertaan rakyat secara aktif?

Kita sebagai rakyat Brunei berpegang kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja. Melayu menggambarkan sifat-sifat lemah-lembut, sopan santun, berbudi bahasa yang tinggi dan luhur. Islam adalah kesempurnaan mutlak sebagai cara hidup. Beraja adalah lambang kepimpinan yang memayungi dan melindungi kemaslahatan rakyat jelata.

Segala sifat-sifat mahmudiah ini seharusnya menjadi teras kepada amalan kita dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sama ada kita di pihak pemerintah yang berkuasa atau di pihak rakyat yang mempunyai suara. Justeru tidak sepatutnya wujud satu bentuk persaingan atau kecurigaan yang membawa kepada tindakan dan amalan yang boleh ditafsirkan sebagai menekan, menyekat, mengugut, menindas, mengekang dan menganiaya terhadap pihak yang lain.

Perbezaan pendapat dan pendekatan akan tetap wujud dalam mana-mana masyarakat sekalipun, dan ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk penentangan. Dalam hubungan ini Islam menggariskan kaedah penyelesaian sebarang konflik iaitu dengan  berlaku adil dan berihsan, memberikan apa jua hak kepada mereka yang berhak serta sentiasa mematuhi anjuran Allah melalui maksud ayat berikut:

“Apabila kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, kembalilah kepada Allah dan RasulNya.”  (An-Nisa’, ayat 59) (MMO)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.