40 tahun membentuk masyarakat ASEAN

 
 

LIMBARUH HIJAU 23 NOVEMBER 2007 - SIDANG Kemuncak Asean ke-13 di Singapura berakhir dengan jayanya walaupun pada awalnya terdapat kekhuatiran mengenai isu hak asasi manusia di Myanmar akan menyasar agenda utama sidang tahunan Ketua-Ketua Negara Asean tersebut.

Di sidang tersebut dan sempena usia Asean 40 tahun Ketua-Ketua Negara Asean memetrai Piagam Asean.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyifatkannya sebagai "membawa permulaan baru bagi pertubuhan itu dan akan memastikan komitmen ASEAN dilaksanakan."

Menerusi Piagam mengandungi 13 Bab dan 55 Artikel, itu Asean buat kali pertama menggariskan landasan untuk memberikan perlindungan alam sekitar, hak asasi manusia dan mewujudkan blok ekonomi bebas di rantau itu.

Ia turut menggariskan kesungguhan negara anggota bersatu di bawah visi, identiti dan komuniti, tetapi pada masa sama menghormati prinsip asas kerjasama Asean untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota dan proses membuat keputusan berdasarkan konsensus.

Selain itu, Piagam Asean turut meletakkan sasaran memperkukuhkan amalan demokrasi dan menggalakkan hak asasi manusia dengan menubuhkan badan hak asasi manusia yang akan diputuskan kemudian oleh Menteri Luar.

Antara matlamat penting Piagam Asean ialah untuk mengekal dan meningkatkan keamanan dan keselamatan di rantau Asean, selain mengekalkan Asia Tenggara sebagai kawasan bebas senjata nuklear, selain mewujudkan pasaran dan pengekalan tunggal yang menjadikannya lebih berdaya saing dengan ekonomi yang lebih bersepadu menerusi aliran bebas barangan, perkhidmatan dan pelaburan selain memudahkan pergerakan tenaga kerja dan modal.

Itulah secara ringkas lembaran sejarah baru kejayaan yang dicapai Asean yang sudah berusai 40 tahun itu.

Akan tetapi apa yang dianggap sebagai satu kejayaan oleh Asean dilihat pula oleh sebilangan pemerhati politik dan pemanau hak asasi manusai sebagai satu kemenangan besar kepada elit pemerintah di Myanmar.

Myanmar di sidang tersebut telah berjaya memastikan bahawa isu Myanmar adalah urusan rumahtangga mereka dari itu 'jiran-jiran' atau mana-mana pihak luar tidaklah perlu mengambil kesempatan mengunakan sidang tersebut untuk turut campur dengan pertelingkahan mereka dalam negeri.

Ketegasan pendirian Myanmar ini berhasil menundukkan anggota keluarga Asean yang lain hingga usul bagi Ibrahim Gambari, Utusan Khas PBB untuk memberikan taklimat mengenai isu Myanmar disidang tersebut ditolak.

Pendirian Asean terhadap isu Myanmar tersebut setentunya dilihat oleh sebilangan pemerhati politik sebagai satu kelemahan. Ia dijadikan bahan bukti yang menunjukkan Piagam Asean yang baru dimetrai sebagai tanda mercu kejayaan Asean menuju kearah membentuk komuniti Asean yang disegani dan dihormati pada hakikatnya tidak mempunyai 'taring'.

Kumpulan pemantau hak asasi manusia, contohnya, kesal dengan langkah Asean tidak memasukkan tindakan sekatan atau penyingkiran terhadap anggota yang tidak mematuhi peruntukan Piagam, selain kritikan mereka kerana keengganan Asean mengenakan tindakan terhadap Myanmar yang didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Namun apa pun pandangan negatif pemerhati politk dan pemantau hak asasi manusia itu terhadap pakatan serantau tersebut, Asean tetap yakin bahawa Piagam Asean walaupun dilihat tidak bertaring ianya masih mempunyai lidah yang tajam untuk memastikan negara-negara anggota akur dengan piagam yang mengikat mereka sebagai satu komuniti yang bertamadun, harmoni, bersepadu serta menghormati hak asasi manusia, pembela keadilan, alam sekitar dan pengamal demokrasi yang sihat.

Sidang Kemuncak Asean ke-13 juga telah menyerlahkan komitmen dan kesepakatan 10 pemimpinnya untuk menjadikan pertubuhan berusia 40 tahun itu sebuah pertubuhan serantau yang penting dan berpengaruh dari segi politik, sosial serta ekonomi, sekali gus dihormati dan disegani negara rantau lain.

Pemeteraian piagam di sidang tersebut pula merupakan satu detik sejarah kepada ASEAN bagi merintis langkah ke hadapan yang lebih besar dan gemilang sesuai dengan impian pengasas awal penubuhan Asean yang tediri dari Indonesia, Malaysia, Philippines, Singapore dan Thailand pada 1967 iaitu 40 tahun yang lalu.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.