Kira-kira setahun kemudian, menjelang tengah malam, sekitar pukul 10.30 malam, 12 Julai 1973, bot yang sarat dengan 11 penumpang, antaranya lapan orang rakan Azahari yang telah ditahan lebih 10 tahun di Kem Tahanan Berakas mendarat di jeti Limbang, Sarawak.
Salah seorang dari sebelas pelarian itu ialah warga Malaysia, Warder Mat Desa yang menolong operasi pembebasan dari dalam kem tahanan.
Kira-kira pukul 9.25 malam pada tarikh yang sama, mereka menaiki bot nelayan dari Pengkalan Sibabau, di kuala Sungai Brunei.
Selamat tinggal Brunei untuk sementara. Hati yang gemuruh sejak beberapa jam melewati “operation liberty” itu serta merta segar setelah menghirup udara bebas di Limbang.
Mereka amat bersyukur lalu mencium pasir-pasir bumi Limbang.
Alangkah nikmatnya kebebasan bagi lapan orang tahanan tersebut setelah berjaya membebaskan diri dari puaka tahanan penjajah di Kem Tahanan Berakas.
Hanya orang yang pernah menderita kesengsaraan ditahan, benar-benar mengetahui manisnya nikmat kebebasan dan kemerdekaan.
Jika kemerdekaan untuk mereka yang berlapan orang ini sudah dirasakan satu rahmat, maka bagaimana pula rahmatnya kebahagiaan kemerdekaan negara Brunei yang mereka perjuangkan bersama PRB?
Nun di Bogor, beribu batu dari Limbang, Azahari bagaikan tidak percaya apa yang dituturkannya secara spontan setahun lalu kepada Pegawai Kedutaan Malaysia supaya rakan-rakannya dibebaskan dahulu sebagai pra syarat pertama sebelum Tun Abdul Razak menemuinya dan membincangkan secara serius soal penerusan perjuangan kemerdekaan Brunei itu kini tertunai.
Tuntutan awal Azahari itu kini menjadi kenyataan. Azahari menerima maklumat bahawa rakan-rakan seperjuangannya termasuk pemimpin tertinggi PRB seperti Zaini Haji Ahmad dan Yasin Affandy, Setiausaha Agung PRB, telah berjaya menyelamatkan diri dari Kem Tahanan Berakas dan sedang berada di Wilayah Sarawak.
Ia satu kegembiraan paling besar yang pertama kali dirasanya setelah sebelas tahun dikecewakan oleh peristiwa Revolusi 8 Disember 1962 yang kecundang itu.
Bagi Azahari, apa yang berlaku itu bagaikan satu mimpi di siang hari.
Hanya beberapa bulan lalu, Azahari bersama Jais Abbas, orang kanannya yang paling setia pergi ke Jakarta kerana dijemput untuk berbincang sesuatu di Kedutaan Malaysia, di Jalan Imam Bonjol.
Dalam terik panas matahari itu, mereka melangkahkan kaki untuk bertemu seorang Pegawai Kedutaan Malaysia yang mempunyai hubungan langsung dengan Tun Abdul Razak.
Pegawai inilah yang kemudiannya memainkan peranan besar menghubungkan Azahari dengan Tun Hj Abd Rahman Yaakub dan Tun Datu Mustapha Harun selaku wakil peribadi Tun Razak.
Sekarang, rakan-rakannya sudah menghirup udara bebas di Kuala Lumpur dan kini hanya menunggu masa untuk ditemukan. Azahari sudah pun bersiap untuk bergerak.
Pada hakikatnya PRB sudah hidup semula. Bukankah aneh namanya?
Sebelas tahun dulu, kerajaan Tanah Melayu bersekongkol dengan Inggeris mengirimkan bantuan untuk menghancurkan PRB di Brunei, tetapi sekarang Malaysia yang ditentang bermati-matian oleh Azahari dulu datang pula memberi tapak kepada beliau menghidupkan semula PRB.
Itulah politik, semalam bermusuh, hari ini menjadi kawan. Semalam berkawan, hari ini bermusuh. (bersambung)
Bertongkat Paruh Terbang Jua