Suatu hari ditahun 1972, Kedutaan Malaysia di Jakarta mendapat satu alamat di Bogor.
Bagaimana memastikan ia alamat terbaru Azahari yang sah?
Pegawai kedutaan memberi tambang kepada seorang pelajar Malaysia di Jakarta yang pernah belajar di Bogor yang sekembalinya ke tanahair bertugas di Markaz Tarbiyah Parti Islam Semalaysia (PAS) di Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Maka pergilah pelajar Malaysia tersebut meriki alamat tersebut di Bogor.
Memang benar ia alamat Azahari.
Seorang Pegawai kedutaan Malaysia di Jakarta kemudian datang menyusul ke gobok Azahari meninjau pandangannya, apakah beliau masih berminat untuk bergiat semula dalam politik kemerdekaan Brunei?
Jelas, minat politiknya tidak pernah luput malah sentiasa memandang ke hadapan bahawa suatu hari nanti Brunei pasti akan terlepas dari cengkaman penjajahan.
Tetapi apa yang dapat dibuat oleh beliau seorang diri?
Semua rakan-rakannya berada dalam tahanan. Tahanan bak api dalam sekam yang demi hari ke hari memamah usia mereka. Harapan mereka dibebaskan tidak menampakkan sebarang jalan mudah.
Suasana di Brunei ketika itu tidak ubah seperti ‘police state’ justeru apakah yang dapat dibuatnya seorang diri?
Tetapi kalau rakan-rakannya dalam tahanan dapat dibebaskan, maka sudah tentu beliau bersedia mengaktifkan semula PRB dari luar.
Demikianlah mesej yang disampaikan oleh Azahari kepada Pegawai Kedutaan Malaysia itu.
Azahari sememangnya seorang yang berjiwa besar dan mempunyai hemah politik yang amat tinggi.
Apabila beliau diberitahu bahawa Tun Abdul Razak berhajat menemuinya dan menyarankan supaya dia kembali memulihkan PRB.
Azahari tidak menolak, tetapi kata Azahari, Tun Abdul Razak mesti terlebih dahulu memenuhi pra syaratnya iaitu, Tun Abdul Razak mesti menunjukkan keikhlasannya dengan mengeluarkan rakan-rakannya dari tahanan Berakas di Brunei terlebih dahulu.
Kedua Azahari mahu Tun Abdul Razak dan pemimpin-pemimpin Malaysia menganggapnya sebagai teman seperjuangan dan bukannya seorang tawanan atau dari kalangan mereka yang kalah dalam peperangan.
Dan ketiga Kuala Lumpur mesti bersedia menjadi hos perjuangan PRB seterusnya.
Itulah pra syarat yang dituntut oleh Azahari sebelum memulakan rundingan bagaimana hendak meneruskan perjuangan kemerdekaan Brunei dari luar negeri.
Seperti pegangan Tun Abdul Razak, Azahari teguh berpendirian bahawa pada hakikatnya KDYMM Sultan juga mahukan kemerdekaan, cumanya Inggeris begitu ketat mengepung Baginda sehingga tidak boleh membuat keputusan sendiri.
Sultan bukan sekali-kali musuhnya malah sering dilahirkan kepada teman-teman akan keyakinannya betapa KDYMM Sultan Hj. Omar Ali Saifuddien dan KDYMM Sultan Hj Hassanal Bolkiah sendiri sememangnya mahukan kemerdekaan bagi Brunei.
Perbezaan antara mereka cumanya baginda tidak bersedia memasukkan Sarawak dan Sabah ke dalam lingkungan wilayah kedaulatannya.
Justeru, tidak ada sebab lagi untuk Baginda berdua tidak mahu merdeka kerana PRB telah menggugurkan perjuangannya menuntut wilayah Sarawak dan Sabah kembali kepangkuan Brunei berikutan keduanya telah memilih untuk merdeka dalam Malaysia.
Yang menjadi halangan besar menjarakkan Baginda berdua dengan Azahari dan PRB ialah penjajah Inggeris selaku Kuasa Pentadbir di Brunei dan konco-konconya.
Mereka amat senang dengan status quo kuasa yang ada tanpa sebarang cabaran dari mana-mana pihak. Utusan itu pulang membawa mesej dari Azahari kepada Tun Abdul Razak.